Tidak pernah berlaku dalam sejarah, semua sekolah di Malaysia dan majoriti negara di dunia terpaksa ditutup serentak disebabkan penularan penyakit akibat sejenis virus. Bahaya COVID-19 ini memerlukan tindakan pantas kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak jangkitan.
Duduk di rumah, jarak sosial dan penjagaan kebersihan adalah mesej yang sentiasa diulang sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac 2020. Mengikut maklumat yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jarak fizikal dan sosial untuk mengekang penyebaran virus ini tidak akan berakhir dalam masa satu dua bulan tetapi menjangkau beberapa bulan, malah mungkin berlanjutan hingga ke setahun.
Mesej yang mudah – duduk di rumah – tetapi mempunyai impak yang sangat besar dalam setiap aspek kehidupan dan amalan seharian setiap individu. Wira negara yang kini bertarung di medan perang dengan musuh halimunan adalah mereka yang bertugas di barisan hadapan seperti bidang kesihatan, keselamatan, pertahanan dan pembersihan. Suasana luar biasa ini memerlukan tindakan yang luar daripada kebiasaan – belum ada pil, belum ada vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit ini kecuali perubahan dalam tingkah laku dan amalan seharian.
Dunia pendidikan tidak terkecuali dalam suasana luar biasa ini. Kalau kebiasaannya anak-anak ke sekolah dan institusi pendidikan lebih tinggi untuk menuntut ilmu, hari ini mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah demi memastikan nyawa mereka dan keluarga tidak terancam. Sekiranya jarak sosial seperti yang dikatakan oleh WHO perlu berlaku dalam jangka masa lebih panjang, adakah ini bermakna sesi pembelajaran formal tidak boleh berlaku?
Secara teorinya tentulah tidak kerana dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, kita sudah beranjak daripada penggunaan tenaga wap dalam Revolusi Industri 1.0 ke penggunaan tenaga elektrik, pengenalan internet dan kini dalam era kecerdasan buatan. Maklumat yang terdapat di hujung jari perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan bahawa sekiranya mereka tidak dapat hadir ke sekolah, sekolah perlu hadir kepada mereka dalam mod yang pelbagai, tertumpu dan terbeza.
Kaedah Pendidikan Berbeza
Persoalannya kini adalah mengenai pelaksanaan pendidikan negara semasa pandemik COVID-19 ini dan pasca COVID-19. Berhadapan dengan penyakit yang masih belum ada ubatnya, masyarakat pastinya perlu bersedia dengan amalan pendidikan yang berbeza daripada cara yang telah dilalui sebelum ini.
Apabila murid tidak dibenarkan keluar dari rumah dan pelajar institusi pendidikan tinggi diarahkan untuk tidak hadir ke kampus, pihak berwajib perlu memikirkan pendekatan lain bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dalam tempoh PKP ini. Bukan setakat amalan pendidikan, tetapi hala tuju pendidikan secara keseluruhannya perlu dilihat semula, supaya tidak tersasar daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menghasratkan pembangunan murid secara holistik.
Semasa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk Pendidikan Prasekolah dan Lepas Menengah dibangunkan, matlamatnya adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia. Laporan Tahunan PPPM yang diterbitkan saban tahun sejak 2013 menunjukkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat ini, terutamanya dalam aspek latihan guru pra dan dalam perkhidmatan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah meletakkan keperluan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan sebagai Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. KPM yang ketika itu diterajui oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya bahawa ICT akan membantu memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di negara ini. Murid sepatutnya mendapat akses kepada kandungan yang lebih luas, menarik, dan interaktif melalui peralatan yang lengkap. Yang penting kemudahan ICT ini akan menjadi sebahagian daripada kehidupan murid di sekolah, tanpa jurang pemisah antara bandar dengan luar bandar.
Satu perkara yang pasti adalah dalam amalan jarak fizikal, interaksi sesama manusia perlu dieratkan lagi melalui alat telekomunikasi. Secara idealnya, pembelajaran maya perlu diteruskan menggunakan pelbagai pendekatan, sama ada pembelajaran dalam talian secara bersemuka (synchronous learning) ataupun secara tidak bersemuka (asynchronous learning). Learning tools yang digunakan boleh disesuaikan mengikut keperluan pembelajaran; bagi mereka yang mempunyai akses internet boleh mengikuti kelas menggunakan Microsoft Teams, Facebook live atau Google Classroom. Interaksi juga boleh dilaksanakan melalui pelbagai aplikasi chat, yang membolehkan murid dan guru berbincang mengenai pembelajaran pada bila-bila masa. Amalan ini telah dibuktikan oleh institusi yang mengamalkan pembelajaran dalam talian sepenuhnya.
Atasi Kekangan
Isu timbul apabila dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh KPM semasa PKP menunjukkan terdapat kekangan dari segi akses kepada internet dan penggunaan peranti untuk pembelajaran.
Di peringkat sekolah, hampir 80 peratus pelajar sekolah menengah mempunyai telefon pintar diikuti sekitar 36 peratus murid sekolah rendah. Bagaimanapun, untuk peranti lain seperti tablet, komputer dan komputer riba, jumlah milikan adalah amat rendah iaitu sekitar hanya lima hingga 14 peratus. Di peringkat pendidikan tinggi, Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang tidak menggunakan pembelajaran atas talian secara sepenuhnya dalam pelaksanaan PdP tidak dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pembelajaran secara atas talian. Kementerian Pengajian Tinggi bertegas mengambil kira kepentingan pelajar supaya mereka tidak ketinggalan sekiranya mereka tidak mendapatkan akses kepada internet. Hakikatnya, sistem pendidikan negara kita masih lagi belum berupaya untuk menyokong sepenuhnya pembelajaran secara maya serta mod pembelajaran yang pelbagai.
Mungkin KPM perlu menimbangkan sama ada Anjakan 6 PPPM - mengupayakan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan - boleh menjadi penyelesaian kepada isu ini. KPM harus memikirkan juga sama ada sekolah boleh diberi autonomi dan bertanggungjawab membuat keputusan operasi tentang peruntukan kewangan dan pelaksanaan kurikulum dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19, yang akan berada dalam kehidupan manusia nampaknya untuk jangka masa lebih panjang.
Lonjakan 6 PPPM Pendidikan Tinggi 2015-2025 seharusnya dapat memacu institusi Pendidikan Tinggi membuat keputusan dari segi tadbir urus apabila mereka mempunyai autonomi penuh atau separa autonomi, justeru memungkinkan mereka menentukan cara terbaik untuk mendidik pelajar mereka dalam suasana luar biasa ini. Perancangan di bawah PPPM 2013-2025 dan PPPM PT 2015-2025 telah pun dibuat lebih lima tahun dahulu; sekarang tibalah masanya untuk kita laksanakan apa yang telah dirancangkan.
Ironinya, siapa sangka sejenis virus akan menjadi pemangkin kepada perubahan paradigma dan amalan dalam pendidikan.
-- BERNAMA
Dr Hayati Ismail merupakan Pengarah Kolej GENIUS Insan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)