PENA WANITA

WANITA DAN SASTERA

18/05/2020 09:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr. Zurinah Hassan

Pada 1973, saya menulis sebuah sajak berjudul ‘Salam Perempuan dari Penjara’.

Seorang Zurinah di kamar

saudara-saudara perempuannya.

Dia tidak berani keluar lagi

Ke padang yang melambainya

Di sini dia bisa memiliki apa saja

Kecuali dirinya sendiri

Dia mahu berkata

Tetapi tidak punya suara

Kerana bahasa seorang wanita

Telah menjadi berbahaya

Lalu ditawarkan puisi puisi sumbang dari kurungan

Terlalu banyak yang minta di sempurnakan

Sebelum angin petang

Meleraikan mawar di meja

Sebelum bayang-bayang terakhir

Berlalu dari jendela

Sebelum senja menyuramkan

Garis-garis di kaca

Garis-garis di muka

Dia dan saudara-saudara perempuannya

Dalam perarakan menuju hari mati

Sedang ketakutan telah lama

Membunuh mereka.

Sajak itu diterbitkan dalam kumpulan Di Sini Tiada Perhentian pada 1976 dan kemudian diterjemah ke bahasa Inggeris, Sepanyol, Rusia, Jepun dan Perancis.

Mengimbau kenangan

Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa PKP Bersyarat, saya kembali mengenang baris-baris sajak ini.

Sesungguhnya, PKP yang membelenggu kita bukanlah perkara baharu bagi wanita terutamanya gadis-gadis Melayu. Sudah berkurun lama mereka dipingit oleh adat resam untuk tidak keluar rumah sesuka hati kerana dianggap tidak manis berbuat demikian.

Begitulah keadaannya semasa saya sedang membesar di Tikam Batu, Kedah. Selain ke sekolah masa saya lebih banyak di rumah. Alat hiburan hanyalah radio yang menyiarkan lagu-lagu yang indah senikatanya.

Sering juga saya mendengar pantun dan syair. Dari sinilah saya mengenal keindahan bahasa dan mula ingin menulis puisi. Pada sekitar usia tiga belas tahun saya sudah mula menghantar sajak dan pantun ke radio dan akhbar. Walau badan terkurung namun, fikiran dan keinginan tidak dapat dibendung.

Menyulam minat

Saya mula mencintai buku dan mula asyik duduk di meja untuk menulis ketika orang tua-tua lebih suka melihat anak perempuan membantu kerja-kerja di dapur. Pada masa itu, untuk menanak nasi pun harus turun ke tanah mencari kayu api dan mengangkut air dari perigi.

Di rumah tiada bekalan elektrik dan saya membaca dengan api pelita. Saya cemburu kepada orang bandar yang boleh pergi ke perpustakaan dan rumah pun lengkap dengan kerusi meja untuk belajar dengan selesa. Namun, saya terus menulis walaupun tidak ada mesin taip. Saya hanya menulis sajak kerana boleh ditulis tangan dan dipos.

Setelah dewasa dan memiliki mesin taip, barulah saya mula mengarang cerpen. Bayangkan betapa susahnya, berjam-jam menaip dan bila menukar kalimat perlu menaip semula seluruh muka surat hingga terasa kebas bahu dan seperti akan putus urat-urat badan.

Evolusi penulisan sastera

Dunia penulisan telah banyak melalui perubahan. Lapangan ini menjadi semakin meriah dan ada pelbagai kategori pula.

Misalnya ada novel-novel serius dan ada novel-novel popular yang pernah mencapai zaman kegemilangannya. Ramai pengarang novel-novel popular terdiri daripada wanita. Pada suatu ketika, pasaran novel popular begitu subur sehingga pengarangnya dikatakan mampu membeli kereta secara tunai.

Pada masa ini, saya sering dijemput bercakap kepada khalayak khasnya generasi muda. Satu perkara menarik, penulis-penulis wanita muda dewasa ini datang daripada pelbagai profesion seperti jurutera, peguam dan doktor. Antara mereka yang menunjukkan potensi ialah Hidayu Hatta, Rebecca Ilham, Nasriah Abdul Salam, Nisah Harun. Ramai wanita meraih pelbagai Hadiah Sastera yang disediakan sama ada dalam puisi, novel atau cerpen, antaranya Raihani Mohd Saaid, Aminah Mokhtar, Ruhaini Mat Darin, Sri Rahayu, Salina Ibrahim.

Hari ini kerja-kerja mengarang dipermudah oleh komputer dan internet. Seorang pengarang yang memerlukan rujukan tidak perlu keluar mencari. Banyak pengetahuan dapat dicapai di hujung jari. Dan, pengetahuan ini akan memperkaya idea dan karya. Saya selalu menasihatkan agar peluang ini tidak dipersia-sia.

Kembangkan kreativiti

Jangan bimbang walaupun pasaran buku sedang terjejas. Kemahiran menulis tetap diperlukan. Setiap manusia perlu berkomunikasi dan alat komunikasi terpenting ialah bahasa.

Betapa canggih pun peralatan dan bertenaganya kuasa rangkaian, jika tersalah memilih perkataan akan membawa padah. E-mel dan segala media sosial hanya merupakan perantaraan. Maklumat mesti disampaikan dengan bahasa yang tersusun. Minda haruslah mengaturnya terlebih dahulu sebelum jari-jari bergerak laju.

Syarikat syarikat gergasi memerlukan kemahiran menulis dan menyebar iklan. Dunia hiburan berkembang di dalam talian, mengambil alih siaran daripada stesen televisyen konvensional.

Pelbagai filem, animasi, dokumentari dapat dinikmati di skrin peranti. Tetapi, semua itu bermula dengan penulisan skrip yang memerlukan bakat dan kreativiti.

Kemahiran menulis tetap diperlukan. Bakat dan kreativiti tidak mungkin ditukar ganti dengan sebarang mesin automasi.

Ini kerana karya sastera dapat membentuk jiwa dan membina peradaban bangsa.

--BERNAMA

Datuk Dr Zurinah Hassan merupakan penerima Anugerah Sastera Negara 2015. Beliau adalah wanita pertama Malaysia menerima anugerah itu yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)