Oleh Fakrulnizam Jafri
Perkembangan pantas yang berlaku dalam teknologi komunikasi dan maklumat menuntut kecerdasan minda yang tinggi dalam kalangan masyarakat ketika mendepani pelbagai isu dan fenomena terkini. Ilmu pengetahuan serta pemahaman yang tinggi dalam mengetahui sesuatu isu amat penting dalam masyarakat era teknologi digital. Komunikasi yang bertemakan kesihatan juga turut mendapat perhatian dan tempat di laman media sosial serta media arus perdana dewasa ini.
Peranan media massa yang meliputi media elektronik, media cetak dan media sosial perlu diperhebat fungsinya agar penonton, pendengar mahupun pengguna media massa tersebut lebih bijak dan matang mencerna setiap maklumat yang mereka terima.
Literasi atau celik media dalam kalangan setiap individu merentas sempadan usia, taraf pendidikan dan kedudukan amat ditagih ke arah mewujudkan masyarakat yang memiliki peradaban yang hebat dan disegani.
Kebolehan dalam mencari, mengetahui, menganalisis serta menilai sesuatu kandungan maklumat adalah berhubung rapat dengan celik media massa ketika mengakses isi kandungan maklumat di media berkenaan. Tahap literasi media terbaik membolehkan setiap individu dalam masyarakat meneliti dengan sebaik mungkin sesuatu bahan media agar mereka memproses maklumat dengan tepat dan berhemah.
Tanggungjawab sosial
Organisasi media yang menyampaikan maklumat dengan tepat, terkini dan sahih juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial yang baik kepada khalayak. Media massa yang bertindak sebagai pengawas terhadap sesuatu peristiwa, fenomena dan kejadian dalam sesebuah negara perlu lebih sensitif dan peka akan kesannya kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat umum. Misalnya, media massa perlu melaporkan serta memberi panduan yang tepat dan sahih berpandukan sumber diyakini iaitu pihak berkuasa.
Kegagalan menyampaikan maklumat yang tepat akan mencetus suasana panik dan ketidaktentuan dalam kalangan masyarakat umum yang keliru dalam menentukan situasi sebenar terhadap sesuatu isu yang timbul. Integrasi penyampaian sesuatu sumber maklumat yang tepat perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan kerap terhadap masyarakat dari semasa ke semasa merentasi platfom media capaian pengguna.
Media massa yang menjalankan fungsinya sebagai pemerhati sesuatu peristiwa turut berperanan sebagai pemberi amaran serta peringatan kepada masyarakat. Pengawasan media massa dalam bentuk amaran boleh digunakan ke atas sesuatu insiden bencana alam serta musibah yang melanda.
Misalnya laporan media berkenaan perkembangan terkini wabak COVID-19 yang diistiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini berikutan penularan virus itu pada skala besar hingga menyebabkan ratus ribu orang terkorban di seluruh dunia.
Sebarang bentuk peringatan yang dimainkan oleh media massa akan memberi peluang dan ruang kepada seluruh masyarakat agar lebih berhati-hati dan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan dalam menghadapi musibah yang berlaku ini.
Pengisian informatif
Media massa disaran menyediakan pengisian kandungan program yang lebih berkualiti, kreatif dan berinovasi sejajar dengan perkembangan era terknologi digital. Penumpuan pengguna yang terarah kepada media baharu sebagai platform mendapatkan sumber informasi, hiburan, pendidikan, pengawasan dan sebagainya telah melangkaui sempadan kotak pemikiran manusia.
Kandungan bahan media massa perlu dilaporkan dengan tepat dan bermutu akan membolehkan program dan saluran media massa arus perdana kekal signifikan dan relevan walaupun bersaing dengan media baharu yang didominasi oleh pengguna generasi muda yang lebih terkehadapan dalam literasi medianya.
Pengamal dan pemain media massa perlu memperkuatkan semangat dan mewujudkan sifat esprit de corps kerjasama berpasukan yang tinggi dalam mengharungi dunia ledakan teknologi komunikasi dan maklumat yang mencabar dan merentas sempadan.
Sahih dan menyakinkan
Kesahihan laporan media massa perlu diyakini oleh khalayak umum terutamanya melibatkan media arus perdana negara perlu menadi sandaran berasas sebagai sumber berita utama.
Pelbagai tafsiran yang memburukkan lagi keadaan seperti penyebaran serta penularan laporan atau berita palsu melalui paltform media baharu sosial media amat mendukacitakan. Segelintir masyarakat yang “nakal” dan tidak prihatin kepada sensitiviti dengan mengangkat faktor sensasi dan publisiti murahan menghakis budi pekerti dan akhlak terpuji.
Lebih menyedihkan apabila laporan palsu melibatkan isu kesihatan termasuk COVID-19 ditularkan tanpa rasa bersalah. Mereka yang berbuat demikian tidak peduli akan kesannya terhadap keselamatan dan kesejahteraan umum di negara ini.
--BERNAMA
Fakrulnizam Jafri merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.