TINTA MINDA

MENGUKUH KERANGKA GOVERNANS BAHARU

01/06/2020 10:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Saifuddin Abdullah

[MERENTAS RUANG] - Bil 4, 1 Jun 2020
MENGUKUH KERANGKA GOVERNANS BARU
(KERAJAAN, PERNIAGAAN & MASYARAKAT SIVIL)

‘Kerangka Governans Baru’ ialah pendekatan yang lebih lengkap dalam menghayati konsep kepimpinan kolektif dan inklusif. Ia bermula dengan hakikat bahawa hari-hari di mana kerajaan mengetahui segalanya dan adalah segalanya telah berakhir. Kepimpinan kuat yang bersifat mendominasi dan diktator telah ditolak. Rakyat tidak mahu dianggap sekadar ‘penerima manfaat’ semata-mata. Sebaliknya, mereka mahu diiktiraf sebagai ‘penyumbang’. Rakyat atau pemegang-pemegang taruh di luar institusi kerajaan mahu diterima sebagai ‘rakan kongsi pembangunan’ bersama-sama dengan kerajaan. Demokrasi tidak terhad kepada pilihan raya sahaja. Demokrasi termasuk ‘demokrasi partisipatori’ dan ‘demokrasi deliberatif’. Kini, kita sedang berada dalam ‘fasa ketiga demokrasi’ di mana rakyat dan pemegang-pemegang taruh mahu supaya proses membuat keputusan diperluaskan. Inilah kefahaman saya tentang syura (perundingan).

Untuk mengilustrasi kerangka governans baru, bayangkan terdapat tiga gelang yang sama saiz dan saling terangkum seperti gelang-gelang dalam logo Olimpik. Tiga gelang tersebut melambangkang tiga sektor utama pembangunan, iaitu kerajaan, perniagaan (swasta) dan masyarakat sivil.

Kaedah terpenting melaksanakan kerangka ini ialah dengan mewujudkan platform perundingan (contohnya, majlis perundingan, jawatankuasa perundingan, dsb) dalam semua bidang dan di setiap peringkat (contohnya, nasional, negeri, daerah dan kampung).

Pengalaman pertama saya dengan kerangka ini ialah menganggotai Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada tahun 1986 hingga 2007, iaitu sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Presiden MBM dan Pengerusi Akademi Belia. MPBN dipengerusikan Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dianggotai perwakilan-perwakilan kementerian/agensi kerajaan, MBM, mahasiswa dan pakar-pakar belia, dengan urusetia-bersama antara KBS-MBM. Ia badan penasihat rasmi hal ehwal pembangunan belia kepada kerajaan. Perundangan, dasar-dasar dan program-program utama pembangunan belia dibincangkan di MPBN sebelum diangkat ke kabinet atau Parlimen.

Platform perundingan lain yang pernah saya anggotai ialah Majlis Pembangunan Ekonomi Negara Kedua, Majlis Teknologi Maklumat Negara dan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.

Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, saya menubuhkan majlis perundingan dengan Persatuan Perwakilan Mahasiswa dan persatuan-persatuan mahasiswa yang lain. Sebagai Ahli Parlimen, dulu, saya menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh, dan kini, Majlis Perundingan Indera Mahkota. Semasa di Kementerian Luar Negeri, saya menubuhkan Majlis Perundingan Dasar Luar, dan pada 9 Jun ini, akan meluncurkan Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia. Pendekatan yang sama akan dipraktiskan dalam dua Pasukan Petugas yang saya pengerusikan, iaitu untuk Ekonomi Digital dan Industri Kreatif.

Pada hari ini, walaupun semakin ramai telah mengamalkan perundingan, tetapi masih terdapat juga mereka yang kurang memahaminya. Lazimnya, masyarakat sivil yang lebih berminat akan perundingan.

Adakalanya keputusan dalam perundingan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya. Apa yang lebih buruk ialah adakalanya perundingan itu dibuat sekadar untuk pameran atau perhubungan awam sahaja. Ini kerana keputusan yang sebenar dibuat di platform lain. Kita hendaklah memperbaiki keadaan ini.

Untuk kerangka governans baru berjalan baik, semua pemegang taruh perlu memahami dan mematuhi beberapa perkara. Asasnya ialah perundingan. Ia perlu berlandaskan perundingan antara rakan kongsi yang setara. Maksud perundingan di sini ialah perbincangan yang formal dari segi struktur dan prosesnya, dengan kesepakatan tentang terma rujukan, tempoh masa, penilaian, terbuka dan telus sesama sektor dan anggota, dan seboleh-bolehnya, maklumat tentangnya terbuka kepada khalayak.

Perundingan melibatkan empat elemen penting: ‘pemberdayaan’, ‘perwakilan’, ‘partisipasi’ dan ‘deliberasi’.

Saya lahir daripada CSO. Sumbangan CSO amatlah besar. Kita perlu mempunyai data lengkap tentang sumbangannya terhadap pembangunan dalam pelbagai bidang, termasuk undang-undang dan dasar-dasar tertentu, serta dengan ukurannya dari segi KDNK. Pada masa yang sama, sesetengah CSO perlu meningkatkan profesionalisme. CSO perlu juga memahami kaedah berkerajaan.

Kerangka governas baru – perundingan – amat mustahak dan bermanfaat. Semua sektor dan pemegang taruh perlu sama-sama memperbaiki diri dan melaksanakannya dengan sebaik-baiknya.

-- BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)