TINTA MINDA

“MALAYSIA TRULY ASIA”: MENYEMARAK PENJENAMAAN NEGARA SEMPENA TMM2026

10/10/2025 10:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Tan Poh Ling

Peluncuran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Sept di Melaka menandakan detik penting bagi industri pelancongan negara. Hal ini bukan sekadar sebuah kempen promosi tahunan, malah sebagai platform penjenamaan negara yang akan menentukan bagaimana dunia melihat Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


Mengangkat tema "Malaysia Truly Asia" dan lagu “Surreal Experinces” yang ikonik, kita mempunyai peluang besar untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di rantau Asia Tenggara dan dunia.

Tema tersebut bertujuan menonjolkan keindahan budaya, alam semula jadi dan daya tarikan global Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Laporan akhbar The Nation Thailand menunjukkan dalam tempoh Januari hingga Mac 2025, lebih 10.1 juta pelancong antarabangsa telah melawat negara ini, angka yang menobatkan Malaysia sebagai negara paling banyak dilawati di Asia Tenggara, mengatasi Thailand.

Kerajaan menyasarkan sejumlah 47 juta pelancong antarabangsa yang akan datang ke negara ini pada sepanjang tahun depan sempena TMM2026. Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding jangkaan 38 juta tahun ini.

Penjenamaan tersebut bukan hanya tentang memaparkan gambar pemandangan yang indah atau senarai lokasi menarik. Ia tentang mencipta identiti jenama yang konsisten, emosi yang berhubung dengan pelancong, dan pengalaman yang mudah diingati.


Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif yang unik – kepelbagaian budaya, warisan sejarah, hidangan gastronomi bertaraf dunia, dan landskap semula jadi dari pulau tropika hingga hutan hujan purba. Semua ini boleh dijadikan naratif penceritaan yang menggerakkan emosi pelancong, menjadikan mereka mahu datang, tinggal lebih lama, dan kembali semula ke negara ini. Mereka juga mungkin akan berkongsi pengalaman menarik semasa di negara ini, seterusnya mampu menarik minat bakal pelancongan untuk datang ke negara ini.

Kempen TMM2026 harus menekankan bahawa Malaysia bukan sekadar satu destinasi, tetapi jenama pengalaman. Naratif “Malaysia Truly Asia” perlu diperkasa dengan elemen moden – promosi digital yang berimpak tinggi, penceritaan video yang menghidupkan pengalaman tempatan, dan kolaborasi bersama pencipta kandungan global yang mempunyai jutaan pengikut.

Maskot Beruang Matahari Malaya

Pelancong hari ini mencari pengalaman yang autentik, boleh dikongsi di media sosial, dan mempunyai nilai kelestarian. Menurut laporan BERNAMA pada 27 Sept, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan bahawa kempen TMM2026 bukan sekadar menarik kedatangan pelancong tetapi bertujuan mencipta legasi yang diingati dunia, memacu ekonomi rakyat, dan mempamerkan Malaysia sebagai destinasi lestari, inklusif dan inovatif.

Kehadiran maskot Beruang Matahari Malaya adalah langkah penjenamaan yang tepat. Sebagai spesies asli Malaysia yang unik dan mesra, ia bukan sekadar simbol comel – ia adalah penanda jenama yang boleh membawa naratif tentang biodiversiti dan usaha pemuliharaan negara.

Berbanding penggunaan maskot tradisional seperti harimau atau burung enggang, beruang matahari membawa elemen yang segar, inklusif, dan mudah dijadikan bahan kempen di pelbagai platform digital.

Media dalam konteks TMM2026

Dalam hal promosi, media konvensional seperti televisyen, radio, akhbar, majalah, dan papan iklan masih memainkan peranan penting. Sebagai contoh, dokumentari khas tentang destinasi ikonik Malaysia, atau iklan bercetak dalam majalah penerbangan milik Malaysia, telah terbukti berkesan memperkenalkan keindahan alam semula jadi dan warisan negara kepada khalayak global.


Pada masa yang sama, media sosial berfungsi sebagai saluran interaktif yang semakin dominan dalam era digital. Misalnya, video TikTok #CutiCuti Malaysia berjaya meraih jutaan tontonan dengan kandungan kreatif daripada rakyat biasa yang memaparkan keaslian pengalaman mereka. Pempengaruh (influencer) antarabangsa seperti Trevor James (The Food Ranger) pula pernah menampilkan makanan jalanan Malaysia di YouTube, menarik jutaan penonton antarabangsa sekaligus memberi publisiti organik kepada negara.

Keberkesanan media konvensional dan media sosial ini amat penting kerana sasaran kempen TMM2026 adalah untuk menarik sejumlah besar pelancong antarabangsa dan domestik. Hal ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi memperkukuh identiti nasional. Setiap pelancong yang datang menjadi duta kecil yang membawa cerita tentang Malaysia pulang ke negara masing-masing.

Di samping itu, semua pihak berkepentingan seperti kerajaan, industri, komuniti setempat, malah rakyat biasa – harus berganding bahu memastikan pengalaman pelancong adalah positif. Kebersihan, keramahan dan keterbukaan kita menerima tetamu adalah sebahagian daripada jenama Malaysia yang perlu dijaga bersama.

Dengan cabaran persaingan serantau daripada negara jiran Thailand, Indonesia, dan Vietnam yang juga meningkatkan promosi pelancongan mereka, Malaysia perlu berfikir seperti pemasar jenama global. Kita harus menonjolkan kekuatan kita – kepelbagaian budaya Melayu, Cina, India dan etnik lain yang hidup harmoni, perayaan sepanjang tahun, serta inovasi kulinari dan seni moden yang menjadikan negara ini unik.

Jelas bahawa, kempen TMM2026 adalah peluang kita untuk menampilkan negara tercinta ini sebagai destinasi yang bukan hanya untuk dilawati, tetapi untuk dihayati. Marilah kita jadikan TMM2026 sebagai satu kempen penjenamaan yang menyatukan rakyat, menggerakkan industri, dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan di peta dunia.

-- BERNAMA

Dr Tan Poh Ling ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Sunway University dan Exco Biro Komunikasi Strategik dan Penjenamaan, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)