PENA WANITA

KESIHATAN PLANET, KESIHATAN KITA: KUASA STEM DAN INOVASI RAKYAT

13/10/2025 08:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Nuruliza Roslan, Dr Widad Fadhullah, Dr Nurfarhana Mohd Yusof

Pendahuluan

Kesihatan manusia dan kesihatan bumi tidak dapat dipisahkan. Apa yang kita makan, udara yang kita hirup, dan air yang kita minum semuanya bergantung pada kestabilan ekosistem bumi.

Apabila bumi sakit - dengan pencemaran, bencana iklim, dan degradasi alam – kesihatan manusia turut terjejas. Inilah inti konsep Kesihatan Planet (Planetary Health), yang semakin mendesak untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Namun, berdepan realiti ini bukan mudah. Sumber kita terbatas, cabarannya besar, dan masa semakin suntuk.

Maka naratif yang wajar kita pegang adalah “berjuang dengan apa yang ada” - satu prinsip yang mengajar kita menggunakan ilmu, kreativiti dan sumber sedia ada untuk membina masa depan lebih sihat dan lestari.

Cabaran Iklim dan Realiti Tempatan

Malaysia tidak terkecuali daripada kesan perubahan iklim. Episod jerebu pada tahun 2015 merekodkan kepekatan PM2.5 setinggi 136 μg/m³, hampir empat kali ganda paras selamat antarabangsa.

Jerebu yang saban tahun melanda ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan hidup rakyat, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit respiratori kronik.

Di Kelantan, banjir besar pada tahun 2014 menyebabkan kerugian lebih RM1 bilion, memusnahkan sekolah, dan rumah.

Kajian mendapati corak hujan di Malaysia semakin tidak menentu, dengan hujan lebat berintensiti tinggi yang sering membawa kepada banjir kilat.

Selain kerugian ekonomi, bencana ini turut meningkatkan risiko penyakit bawaan air akibat gangguan sistem sanitasi.

UNICEF (2021) menegaskan bahawa kanak-kanak adalah antara golongan paling terkesan, bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal, tetapi juga mental akibat trauma, perpindahan, dan kehilangan ruang pembelajaran.

Kajian terkini di Malaysia juga mengesahkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada bencana berulang berdepan tekanan dan keresahan yang memberi kesan kepada perkembangan psikososial mereka.

Semua ini memberi gambaran jelas bahawa perubahan iklim adalah isu kesihatan awam, pembangunan negara, dan kini juga isu keadilan sosial.

Dalam konteks ini, bidang kejuruteraan kimia antara yang berperanan penting merekabentuk teknologi kawalan pencemaran udara, penapisan air, serta rawatan sisa bagi mengurangkan kesan langsung pencemaran terhadap kesihatan manusia.

Memahami Sains dalam Kehidupan Seharian

Untuk masyarakat awam, sains sering dilihat sesuatu yang rumit. Namun, hakikatnya sains wujud dalam setiap aspek kehidupan.

Menjaga sel tubuh melalui pemakanan sihat, meminum air bersih, dan menghirup udara segar adalah contoh paling asas bagaimana sains menyentuh kesejahteraan kita.

Apabila kita memahami bahawa udara tercemar boleh merosakkan paru-paru, atau air kotor menjadi punca penyakit, barulah timbul kesedaran untuk menjaga alam sekitar dengan lebih serius.

Dari pemahaman ringkas ini lahirlah rasa kebertanggungjawaban. Kesedaran kecil bahawa kesihatan kita berkait rapat dengan kesihatan bumi menimbulkan keyakinan bahawa setiap orang boleh berperanan.

Contoh inovasi mesra rakyat telah pun muncul daripada kefahaman asas ini. Pelajar di sekolah luar bandar menggunakan kit ujian air kos rendah untuk memantau kebersihan sungai berhampiran.

Komuniti bandar pula membangunkan sensor kualiti udara murah untuk mengesan tahap pencemaran tempatan.

Malah, penyelidik tempatan telah menghasilkan bioplastik mesra alam daripada sisa makanan atau sisa pertanian, sekaligus menawarkan alternatif mampu milik bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Inilah contoh sebenar bagaimana kita boleh berjuang dengan apa yang ada – menggunakan pengetahuan asas, kreativiti, dan sumber tempatan untuk menghasilkan solusi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Kuasa STEM: Dari Bilik Darjah ke Komuniti

STEM adalah senjata ampuh dalam menghadapi krisis iklim. Melalui sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, kita mampu memahami fenomena, menganalisis punca, dan mencipta penyelesaian.

Pelajar boleh memodelkan corak hujan, mencipta sistem amaran awal banjir, atau membangunkan teknologi penapisan air bagi kegunaan komuniti.

Namun, dalam konteks Malaysia, berjuang dengan apa yang ada bermaksud memanfaatkan sumber asas seperti makmal sekolah, data terbuka, dan kreativiti belia tanpa menunggu makmal canggih atau dana berjuta ringgit.

Program seperti “Doctor Planet Apprentice Programme: Guardians of Planetary Health” membuktikan bahawa pendedahan awal kepada STEM dapat melahirkan belia yang berani, peka dan inovatif.

Mereka tidak hanya mempelajari teori, tetapi menggunakannya untuk projek komuniti yang memberi kesan nyata kepada masyarakat sekeliling.

Sebagai contoh, pelajar merekabentuk system rawatan air mudah alih berasaskan membrane atau penyerap karbon aktif, hasil inspirasi daripada asas kejuruteraan kimia yang praktikal untuk komuniti.

Kesihatan Planet, Kesihatan Kita

Konsep Kesihatan Planet mengingatkan kita bahawa bumi dan manusia adalah satu ekosistem yang saling bergantung.

Pencemaran udara meningkatkan risiko strok dan jantung. Banjir berulang kali memusnahkan infrastruktur pendidikan, sekali gus mengekalkan jurang kemiskinan.

Suhu ekstrem pula mengurangkan produktiviti kerja serta menjejaskan kesihatan fizikal.

Paling terkesan adalah golongan rentan seperti Orang Asli, petani kecil, nelayan, dan keluarga berpendapatan rendah.

Mereka menanggung beban paling berat kerana kurang akses kepada perlindungan sosial dan infrastruktur kukuh.

Oleh itu, krisis iklim juga merupakan krisis keadilan sosial. Pendidikan STEM yang berorientasikan komuniti menjadi kunci untuk merapatkan jurang ini.

Apabila masyarakat terlibat secara langsung dalam projek “citizen science” seperti pemantauan kualiti sungai, pengumpulan data biodiversiti, atau pembangunan sistem tadahan air hujan, mereka bukan sahaja menambah ilmu tetapi juga diberi kuasa untuk bertindak dan memimpin perubahan.

Inovasi Mesra Rakyat sebagai Jalan Hadapan

Inovasi tidak semestinya mahal atau kompleks. Apa yang penting ialah ia mesra rakyat - mudah digunakan, berpatutan, dan inklusif.

Di Malaysia, kita sudah melihat contoh-contoh seperti aplikasi ramalan banjir komuniti yang memberi amaran awal kepada penduduk kampung, sistem tadahan air hujan kos rendah di Sabah dan Sarawak untuk memastikan bekalan air bersih, serta komposter mini rumah tangga yang membantu mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan sekali gus menurunkan pelepasan metana.

Apabila inovasi seperti ini diperluas, rakyat biasa tidak lagi hanya menjadi mangsa keadaan, tetapi turut menjadi sebahagian daripada penyelesai masalah.

Inilah semangat sebenar berjuang dengan apa yang ada – menjadikan keterbatasan sebagai peluang untuk mencipta solusi bersama.

Kesimpulan: Dari Kesedaran kepada Tindakan

Kesihatan Planet adalah refleksi kepada kesihatan manusia. Apa yang berlaku kepada bumi - jerebu, banjir, pencemaran - akhirnya kembali kepada tubuh kita sendiri.

Oleh itu, memahami sains bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk kehidupan yang lebih sihat dan bertanggungjawab.

Dari pengetahuan mudah seperti pemakanan seimbang, udara bersih dan air selamat, kita boleh bergerak ke arah inovasi teknologi yang mesra rakyat.

Apabila penyelidikan biologi sel, alam sekitar, dan kejuruteraan kimia digabungkan, kita bukan sahaja memahami kesan kesihatan, tetapi juga berupaya menghasilkan proses dan teknologi lestari yang praktikal untuk masyarakat.

Kesihatan Planet, Kesihatan Kita bukan sekadar slogan; ia adalah panggilan untuk setiap individu – pelajar, guru, belia, ibu bapa, saintis dan pembuat dasar – untuk bersama-sama berjuang dengan apa yang ada.

Hanya dengan kesedaran, empati dan inovasi, kita mampu membina masa depan yang lebih lestari, adil dan sihat.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Nuruliza Roslan ialah Penyelidik Biologi Sel, USIM, Dr Widad Fadhullah ialah Penyelidik Alam Sekitar, USM dan Dr Nurfarhana Mohd Yusof ialah Penyelidik Kejuruteraan Kimia, UiTM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)