Penularan pandemik COVID-19 merupakan satu tamparan hebat kepada kita semua. Ia mengubah corak hidup kita dalam menguruskan kehidupan dan aktiviti seharian dan pada masa yang sama, anjakan paradigma dalam bentuk pemikiran dan budaya kerja juga turut berubah. Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segala yang dirancangkan oleh pihak kerajaan dan agensi perlu disemak semula bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam memastikan inspirasi nasional tercapai perlu bertindak proaktif dengan mengenal pasti beberapa tindakan dan inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tahap produktiviti dan pencapaian organisasi tercapai.
Bertindak Proaktif
MPC perlu bertindak proaktif dengan menyusun semula gerak kerja dan cara menggunakan sumber yang terhad dalam memastikan tahap guna tenaga digunakan secara optimum. Dengan cabaran mental dan fizikal yang sedang dihadapi, MPC menyedari semua ini akan mengganggu perancangan dan sasaran yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dan sektor yang terlibat tidak terjejas teruk.
Beberapa teras utama dikenal pasti dan dibentangkan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk Malaysia bergerak ke hadapan. Setiap teras yang dibentangkan mempunyai objektif tersendiri dalam memastikan proses digitalisasi diteruskan dengan lebih efisien dan cekap. MPC meletakkan tiga teras utama dalam tempoh 2020 hingga 2024 yang mengandungi teras strategik, teras digital serta teras digital kerajaan dan MITI.
Kesemua teras yang bersifat mikro ini diteliti dan akan dilaksanakan agar setiap perlaksanaan, perancangan dan pencapaian adalah berteraskan proses transformasi digitalisasi. Dengan mengambil kira kepentingan IR4.0 dan kecerdasan buatan, pendekatan baharu ini akan menjadi teras dan tulang belakang utama proses transformasi digital yang dirancang dan dilaksanakan oleh MPC sepanjang tempoh empat tahun ini. Pendekatan secara holistik ini bukan sahaja mampu menjimatkan kos operasi, masa, proses dan tingkah laku pekerja malah ia dilihat akan memberikan kelebihan dalam membuat keputusan terutamanya yang melibatkan kecerdasan perniagaan yang akan lebih menjamin kepuasan pelanggan dan pemegang taruh.
Kebergantungan 50 peratus terhadap proses kerja manual dan pendekatan silo yang dipraktikan sebelum ini bukan lagi pendekatan yang bijak. Untuk kita maju ke hadapan, pendekatan yang baharu, segar dan holistik perlu dilaksanakan segera agar visi masa hadapan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Semua ini telah digariskan dalam Digital MPC Roadmap 2020-2024 bagi memastikan MPC terus ke hadapan dalam memenuhi aspirasi negara yang menekankan aspek produktiviti dan kelestarian.
Budaya Kerja Dalam Norma Baharu
Oleh itu, MPC telah menetapkan beberapa objektif penting dalam merangka satu set budaya kerja dalam norma baharu bagi memastikan semua staf terkoordinasi dalam satu koordinasi yang sinergi dan efisien. Oleh itu, setiap staf perlu kekal berfikiran positif dalam memastikan tekanan emosi tidak mengganggu rutin harian. Pada masa yang sama semua pihak perlu berubah iaitu mentransformasikan cara kerja dalam bentuk pendigitalan dan penggunaan teknologi komunikasi yang ada. Ini penting bagi memastikan setiap pekerja mampu bertindak proaktif dengan arahan kerja yang ditetapkan di samping meningkatkan produktiviti dalam kerangka kerja yang baharu.
Langkah ke hadapan menjadi fokus utama dengan memfokuskan aspek penilaian dan semakan semula operasi kerja yang sedia ada. Bagi memudahkan urusan kerja berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggunaan teknologi amat ditekankan dengan memastikan aspek integrasi dan saling hubungan dalam melihat prosedur kerja dalam norma baru ini. Proses digitalisasi yang berlaku dalam MPC hari ini bukan sahaja mengubah cara kerja tetapi mengoptimumkan tahap produktiviti dan inovasi digital yang mampu memberikan kesan positif kepada kualiti sesebuah kerja.
-- BERNAMA
Dr Suhaimee Saahar @ Saabar merupakan Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam