Meneliti dokumen Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020, ia jelas menunjukkan pertumbuhan sektor agromakanan pada 2017 menyumbang nilai yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu RM37.2 bilion serta jumlah perdagangan sebanyak RM83.0 bilion. Sepanjang 2020, sektor ini dijangka menyumbang sebanyak RM41.1 bilion kepada KDNK.
Sektor itu amat penting bukan sahaja dalam memastikan sekuriti makanan negara terjamin malah memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pendapatan kumpulan sasar, terutamanya golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan berasaskan agromakanan.
Menurut dokumen itu, bagi memastikan pembangunan agromakanan negara terus kompetitif, kerajaan memberi perhatian dengan melaksanakan reformasi bertujuan meningkatkan daya saing kumpulan sasar. Mereka disokong dengan penggunaan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti serta memperkasakan pemasaran pengeluaran agromakanan.
Namun, kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara telah menjejaskan banyak sektor ekonomi termasuk agromakanan. Bagi memulihkan sektor itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek pada 5 Jun lepas, mengumumkan bantuan dalam bentuk kemudahan pinjaman dana agromakanan sebanyak RM350 juta kepada pengusahanya.
Pengangguran belia
Melihat kepada besarnya potensi serta pentingnya sektor agromakanan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan, golongan belia yang berminat atau masih menganggur boleh menceburinya.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES) mengunjurkan pada 2020, belia di negara ini yang berusia 15 tahun hingga 30 tahun akan berjumlah lebih sembilan juta orang.
Dalam keadaan ketidaktentuan pasaran pekerjaan di negara ini akibat COVID-19 tentunya sukar untuk golongan belia termasuk lepasan universiti dan institusi pengajian tinggi mendapat pekerjaan makan gaji sesuai dengan kelulusan masing-masing pada tahun ini.
Hal ini kerana, maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia pada tahun ini dijangka mencecah sehingga 5.5 peratus atau 860,000 akibat pemberhentian pekerja. Jumlah penganggur pada Mac lepas meningkat 17.1 peratus kepada 610,000 orang.
Situasi sukar ini perlu diambil perhatian serius oleh golongan pencari kerja dalam kalangan belia. Mereka harus memikirkan strategi untuk melibatkan diri dalam bidang yang boleh menjana pendapatan sendiri khususnya industri agromakanan sebagai pilihan demi kelangsungan hidup masing-masing.
Prosumer dalam sektor agromakanan
Dalam konteks ini, mereka mempunyai tiga pilihan iaitu, pertama, sebagai pengusaha dan pengeluar agromakanan. Kedua sebagai pemasar dan penjual produk-produk tersebut atau, ketiga sebagai prosumer produk agromakanan.
Pertama, golongan belia boleh terlibat secara langsung sebagai pengusaha dan pengeluar agromakanan dengan memulakan projek secara individu atau kelompok di kawasan masing-masing di atas tanah persendirian, secara sewaan atau pajakan, tanah terbiar atau meneruskan usaha ibu bapa masing-masing.
Pengeluaran mereka akan dipasarkan oleh pihak lain sama ada agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan atau pemborong.
Kedua, golongan belia boleh terlibat dalam aspek pemasaran dan jualan sahaja iaitu sebagai usahawan agromakanan. Mereka boleh memasarkan secara konvensional atau mempromosi dan mengambil tempahan daripada pembeli secara dalam talian. Kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute mendapati golongan muda di negara ini lebih berminat dalam keusahawanan pertanian.
Ketiga, penglibatan belia sebagai prosumer iaitu gabungan pilihan pertama dan kedua dalam menghasilkan dan memasarkan produk agromakanan hasil usaha mereka sendiri. Prosumer mampu menjana pendapatan yang paling lumayan kerana penghasilan agromakanan dipromosi dan dijual oleh pengusaha sendiri tanpa menggunakan ‘orang tengah’.
Apakah maksud prosumer? Prosumer ialah individu yang menggunakan dan pada masa sama menghasilkan sesuatu produk itu. Istilah ini berasal dari “prosumption” iaitu istilah perniagaan era dot-com yang bermaksud "pengeluaran oleh pengguna”. Istilah ini dipopularkan pada 1980 oleh penulis terkenal, Alvin Toffler.
Konsep prosumer ini telah lama diamalkan di negara maju seperti Amerikat Syarikat, Eropah dan Jepun. Konsep perniagaan ini telah membantu ramai orang memulakan perniagaan dan berjaya meningkatkan ekonomi keluarga mereka hanya sebagai pekerja sambilan.
Generasi lama di negara ini dahulunya juga telah mempraktikkan prosumer dalam agromakanan apabila menjual hasil tanaman, ternakan atau perikanan lebihan daripada keperluan sendiri.
Peluang jana pendapatan
Pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tentunya sedia membuka peluang jika ada belia yang berminat dan aktif sebagai prosumer dalam industri agromakanan di negara ini.
Seperti laporan Bernama (13 Mei 2020), tahun ini kementerian itu membantu golongan usahawan muda agromakanan melalui Program Agropreneur Muda (PAM) dengan menyediakan bantuan geran dalam bentuk barangan bernilai sehingga RM20,000, dan Pembiayaan Khas Agropreneur Muda iaitu pinjaman sehingga RM200,000 melalui Agrobank dan TEKUN Nasional dengan kadar faedah dua peratus.
Difahamkan, inisiatif itu bertujuan membantu golongan belia sama ada untuk memulakan projek pertanian baharu atau untuk mengembangkan projek pertanian sedia ada. Tahun ini, Kementerian memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran untuk membangunkan seramai 1,200 orang agropreneur muda.
Maka, golongan belia yang cenderung terlibat dalam industri agromakanan harus merebut peluang yang diperuntukkan oleh kementerian itu sama ada sebagai pengusaha atau penjual atau prosumer dengan matlamat menjana pendapatan dan pada masa sama merancakkan industri agromakanan untuk keperluan tempatan dan pasaran eksport.
--BERNAMA
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.