NOTA KAMPUS

UNIVERSITI LESTARI

10/07/2020 08:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh

Masyarakat mungkin jarang mendengari tentang konsep universiti lestari namun ia bukan sesuatu yang amat asing bagi golongan yang terlibat dalam dunia akademik.

Sesebuah universiti lestari akan beroperasi secara lestari dengan komitmen menjaga alam sekitar, sosial dan ekonomi demi kesejahteraan masyarakat kini dan generasi akan datang.

Justeru, tidak hairanlah banyak universiti di serata dunia hari ini mengambil inisiatif menyokong dan melaksanakan konsep universiti lestari yang selari dengan agenda pembangunan lestari 2030.

Kepentingan universiti lestari

Perbincangan mengenai kepentingan universiti lestari bukan sesuatu yang baharu, contohnya pada tahun 1990 Deklarasi Talloires ditandatangani dan memberi fokus kepada peranan universiti dalam mencapai masa hadapan yang lestari dengan meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta penglibatan pemegang taruh dan pihak lain.

Sesebuah universiti yang lestari lazimnya memberikan komitmen terhadap operasi universiti yang menepati ciri-ciri kelestarian seperti mempunyai bangunan yang jimat tenaga dan air serta pakar dalam bidang kelestarian, menawarkan kursus yang berkaitan dengan kelestarian, serta menjalankan kajian-kajian kelestarian dan sebagainya.

Pengiktirafan dunia

Di Malaysia, terdapat universiti tempatan yang sememangnya sudah mempraktikkan konsep universiti lestari dan telah menerima pengiktirafan dunia atas usaha murni tersebut.

Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya telah sekian lama terkenal dengan jolokan “universiti dalam taman”.

Pada tahun 2019, USM telah menerima pengiktirafan sebagai universiti yang mengungguli kedudukan pertama di Malaysia dan kedudukan ke-49 pada peringkat dunia dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings. Penilaian dilakukan terhadap prestasi universiti dunia merangkumi 17 sasaran dalam agenda pembangunan lestari.

Pada tahun ini, USM masih menduduki tempat pertama di Malaysia dan tempat ke-65 pada peringkat dunia dalam THE University Global Impact Rankings. Pengiktirafan ini jelas menunjukkan komitmen yang amat baik oleh USM dalam melestarikan universiti itu.

Identiti universiti lestari

Universiti adalah platform melahirkan modal insan. Sehubungan itu, konsep universiti lestari sememangnya amat penting dalam melahirkan lebih ramai generasi pelajar yang peka tentang kepentingan kelestarian.

Sesebuah universiti lestari dapat memberi manfaat kepada staf universiti, komuniti setempat dan sebagainya.

Apabila sesebuah universiti dikenali dengan identiti universiti lestari, ia secara tidak langsung meningkatkan reputasi universiti berkenaan.

Kepercayaan pemegang taruh seperti pelajar dan komuniti akan meningkat dan seterusnya membentuk imej yang positif terhadap universiti.

Justeru, tidak hairanlah jika terdapat universiti yang mempromosikan amalan universiti lestari dalam bahan promosi mereka bagi menarik perhatian masyarakat. Ia sememangnya satu strategi pemasaran yang lazim dilakukan bukan sahaja oleh universiti malah organisasi-organisasi ‘hijau’ lainnya.

Mengambil kira kepentingan amalan universiti lestari, diharapkan lebih banyak universiti tempatan dan antarabangsa turut sama dalam meningkatkan amalan mereka terhadap kelestarian pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh merupakan Pengerusi Rancangan Prasiswazah/ Pensyarah Kanan (Komunikasi Alam Sekitar) Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)