PENA WANITA

KOMERSIALISASI AKADEMIK: KETIKA P.I. MENGATASI TUJUAN ASAL ILMU

18/09/2025 10:23 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Shafezah Abdul Wahab

Di dunia akademik, istilah ‘Komersialisasi Akademik’ bukanlah satu ungkapan yang manis didengar.

Ia merujuk kepada keadaan apabila ahli akademik atau institusi pendidikan mengorbankan prinsip, integriti, dan tujuan asal ilmu demi memenuhi tuntutan angka serta sasaran prestasi yang ditetapkan.

Fenomena ini semakin ketara apabila sistem akademik moden di Malaysia - malah di seluruh dunia - semakin bergantung kepada Performance Indicators (PI) sebagai kayu ukur kejayaan.

Ironinya, PI pada asalnya diperkenalkan untuk menilai keberkesanan dan pencapaian akademik secara objektif.

Namun, apabila angka dijadikan matlamat utama, proses pendidikan, pembinaan pemikiran kritikal, dan pengembangan ilmu sering diketepikan.

Inilah yang melahirkan gejala ‘kompromi akademik’ apabila nilai murni pendidikan tergadai demi memenuhi kehendak angka dan laporan.

Tugas utama seorang ahli akademik sepatutnya menyebarkan ilmu, memupuk pemikiran kritis, membentuk akhlak pelajar dan menghasilkan kajian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Namun, realiti hari ini berbeza. Tekanan untuk mencapai PI seperti jumlah penerbitan artikel jurnal berindeks, jumlah pelajar pascasiswazah yang berjaya menamatkan pengajian atau jumlah geran penyelidikan yang diperoleh telah menukar orientasi akademik daripada knowledge-driven kepada number-driven.

Akibatnya, pensyarah dan penyelidik sering terpaksa memilih projek atau kajian yang selamat dan cepat diterbitkan, berbanding kajian mendalam yang mungkin memerlukan masa bertahun-tahun tetapi berimpak besar kepada masyarakat.

Lebih membimbangkan, ada yang sanggup menerbitkan dalam jurnal pemangsa (predatory journals) semata-mata untuk memenuhi KPI tahunan.

Komersialisasi Akademik

‘Komersialisasi Akademik’ akademik menjadikan ilmu bukan lagi sebagai amanah, tetapi komoditi.

Kajian atau penulisan tidak lagi dilakukan dengan niat ikhlas untuk menyumbang kepada dunia pengetahuan, sebaliknya dilakukan semata-mata kerana ia memberi markah dalam penilaian prestasi.

Fenomena ini juga mendorong kepada budaya asal terbit, asal ada nama yang mengabaikan aspek kualiti.

Kajian yang tidak cukup data, penulisan yang lemah dan bahkan plagiarisme semakin meningkat kerana tekanan angka.

Lebih parah lagi, ada kes di mana nama pensyarah dimasukkan dalam kertas penyelidikan tanpa sumbangan sebenar hanya untuk menambah senarai pencapaian.

Apabila pensyarah terlalu sibuk mengejar PI, masa untuk mengajar, membimbing dan berinteraksi dengan pelajar akan terhad.

Kuliah menjadi sekadar formaliti, bimbingan tesis pelajar dibuat ala kadar dan hubungan antara pensyarah-pelajar menjadi kering.

Kualiti graduan akhirnya terjejas. Mereka mungkin lulus di atas kertas, tetapi kurang kemahiran berfikir secara kritikal, tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan gagal menghubungkan teori dengan realiti.

Dalam jangka panjang, ini akan menjejaskan daya saing negara kerana kita menghasilkan tenaga kerja yang berorientasikan peperiksaan dan angka, bukan inovasi dan kreativiti.

Penarafan Universiti

Penarafan universiti (ranking) menjadi sasaran utama kerana ia memberi reputasi dan menarik pelajar antarabangsa.

Justeru, pelbagai strategi dilakukan ada yang positif, tetapi ada juga yang bersifat kosmetik.

Misalnya, universiti mungkin mengutamakan penerbitan dalam jurnal tertentu kerana ia memberi mata penarafan, tetapi pada masa sama mengabaikan penerbitan dalam bahasa Melayu yang relevan untuk masyarakat tempatan.

Akhirnya, universiti menjadi lebih sibuk melayan kehendak badan penarafan antarabangsa berbanding menyelesaikan masalah sebenar negara. PI sepatutnya menjadi alat, bukan matlamat.

Namun, apabila seluruh kerjaya dan kenaikan pangkat bergantung kepada angka, maka akademik akan memanipulasi sistem untuk memastikan mereka selamat.

Kita tidak boleh menafikan bahawa pengukuran prestasi itu penting, tetapi penilaian yang terlalu menekankan aspek kuantitatif akan mengorbankan kualitatif.

Akhirnya, kita akan mempunyai timbunan artikel yang tiada nilai praktikal, geran yang habis dibelanjakan tanpa hasil signifikan dan graduan yang lulus tanpa kemahiran sebenar.

Reformasi Sistem Pendidikan

Jika kita benar-benar mahu mengembalikan maruah akademia, sistem pendidikan tinggi perlu melalui reformasi yang menyeluruh.

Pertama, keseimbangan antara penerbitan ilmiah (PI) dan impak nyata kepada masyarakat harus diberi perhatian.

Nilai kerja akademik tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah artikel yang diterbitkan, tetapi pada sejauh mana penyelidikan tersebut menyelesaikan masalah masyarakat atau menyumbang kepada pembangunan negara.

Kedua, penyelidikan dan penerbitan dalam bahasa kebangsaan wajar diberikan pengiktirafan yang setara dengan penerbitan antarabangsa.

Kajian yang ditulis dalam bahasa Melayu sering lebih dekat dengan realiti komuniti tempatan, justeru sumbangannya kepada masyarakat tidak boleh dipandang ringan.

Ketiga, penilaian terhadap pensyarah tidak seharusnya tertumpu pada pencapaian penyelidikan semata-mata.

Kualiti pengajaran, keupayaan membimbing pelajar serta komitmen dalam membentuk generasi baharu intelektual juga perlu dijadikan kayu ukur penting.

Akhir sekali, tekanan kuantitatif dalam bentuk sasaran penerbitan yang terlalu ketat harus dikurangkan.

Sistem perlu memberi ruang kepada kajian jangka panjang yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun, tetapi berpotensi menghasilkan impak besar kepada ilmu pengetahuan dan kesejahteraan negara.

Komersialisasi akademik hanya akan berakhir apabila kita mengubah mentaliti bahawa ilmu bukan sekadar angka atau penarafan, tetapi amanah yang mesti dipikul dengan penuh integriti.

Ahli akademik perlu kembali melihat diri mereka sebagai murobbi, bukan sekadar pengeluar kertas kerja.

Dalam masa sama, masyarakat juga perlu menghargai sumbangan akademik bukan hanya kerana mereka banyak menerbitkan, tetapi kerana mereka membentuk pemikiran dan akhlak generasi masa depan.

Jika kita gagal melakukan reformasi, sistem akademik kita akan terus menghasilkan graduan dan penyelidikan yang cantik di atas kertas tetapi kosong dari segi nilai.

Pada akhirnya, kita akan terpaksa membayar harga yang lebih mahal; sebuah negara yang kehilangan daya fikir, inovasi dan integriti.

-- BERNAMA

Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)