PENA WANITA

SISI GELAP DUNIA MAYA

07/08/2020 07:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh

Mengimbau kembali kehidupan sekitar tahun 80an ketika internet dan komputer amat asing dalam kehidupan masyarakat di Malaysia, perhubungan komunikasi pada masa tersebut hanyalah secara bersemuka, melalui surat yang bertulis tangan atau dari mulut ke mulut. Berita pula hanya diketahui keesokan harinya, melalui surat khabar tempatan. Untuk kes kecemasan yang mana mesej dapat disampaikan dalam tempoh kurang sehari, berita diperolehi melalui ‘telegram’ (bukan telegram web), yang dihantar melalui telegraf iaitu kabel yang menghubungkan antara satu lokasi dengan lokasi lain. Begitulah komunikasi seharian yang berlaku ketika itu, sangat ringkas namun kehidupan tetap berjalan seperti biasa sehinggalah segala-galanya berubah begitu pantas sekitar tahun 90an.

Perkembangan teknologi komunikasi

Dengan perkembangan teknologi komunikasi yang begitu pantas, semua maklumat berada di hujung jari. Sentuh sahaja skrin komputer atau telefon, apa sahaja yang diingini boleh diperolehi dengan sekelip mata. Daripada resepi memasak nasi sehinggalah kepada ‘resepi’ membina karakter diri. Penggunanya pula bermula dari seawal usia bayi boleh menyentuh skrin, iaitu ketika berusia tiga bulan sehinggalah usia menghampiri liang lahad iaitu sekitar sembilan puluhan. Liputan akses juga semakin meluas dengan hampir seluruh pelusuk dari ceruk kampung sehinggalah ke kota metropolitan, penduduk di Malaysia mendapat akses internet.

Justeru, tidak hairanlah statistik menunjukkan Malaysia antara negara yang tertinggi kadar penggunaan internet di dunia, iaitu merupakan negara yang kesembilan paling aktif menggunakan media sosial dengan sejumlah 26.69 juta iaitu mewakili 83 peratus penduduk Malaysia. Kajian terbabit adalah sebahagian daripada hasil Laporan Digital Januari 2020 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social.

Ancaman dunia siber

Namun demikian, dengan perkembangan teknologi ini, satu perkara yang mengerikan dan amat kritikal untuk diberi perhatian adalah begitu ‘pesat’ dan pantasnya jenayah siber ini. Sebanyak 9,686 kes membabitkan nilai lebih RM400 juta direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga 31 Oktober 2019 berkaitan penipuan siber dan multimedia. Secara keseluruhannya, terdapat peningkatan kes jenayah siber setiap tahun, iaitu dari hanya 38 kes pada tahun 2010 sehinggalah sebanyak 50 214 kes pada Mac 2020. Antaranya ialah Macau scam, African scam dan e-dagang.

Sementara itu, statistik oleh CyberSecurity Malaysia berkaitan dengan pencerobohan, penipuan dan gangguan siber pula menunjukkan sekitar 1,000 kes dilaporkan setiap bulan iaitu sejumlah 10,772 kes pada tahun 2019. Pola yang sama juga ditunjukkan pada Januari hingga Mei 2020, iaitu sekitar 1,000 hingga 1,500 kes berkaitan setiap bulan. Pelbagai usaha dilakukan bagi menangani isu ini termasuklah mewujudkan Cyber999, Cyber Threat Research Centre dan CyberSafe oleh Cyber Security Malaysia bagi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat Malaysia ketika berada di alam maya.

Tidak kurang juga, penularan berita palsu khususnya ketika berlakunya pandemik COVID-19, sehingga diwujudkan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada 16 Mac 2020, bertujuan menangkis berita palsu dan mengesahkan suatu berita terutama dalam situasi semasa banyak berita palsu yang disebarkan hingga menyebabkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Pasukan ini diketuai oleh seorang pegawai bahagian Komunikasi Strategik KKMM, dianggotai staf-staf di bawah kementerian dan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi menangani penularan berita palsu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutama mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai usaha, program dan kemudahan disediakan oleh pihak berwajib sudah pasti tidak akan berjaya sekiranya tiada kesedaran pihak pengguna. Berada di alam maya memang menyeronokkan, apatah lagi mendapat ‘like’ dan ‘share’ yang banyak, komen yang mengujakan dan sebagainya. Namun ada juga yang terjejas kehidupan peribadi dan sosial akibat satu peralatan digital yang sebesar saiz tapak tangan ini.

Perkongsian melampau

Mengapa berlakunya jenayah siber dan pelbagai lagi ancaman di alam maya ini? Antaranya adalah sikap individu itu sendiri yang tidak dapat membezakan antara maklumat yang bersifat peribadi dan privasi dengan maklumat yang bersifat umum untuk dikongsikan. Keinginan berkongsi semua maklumat untuk tatapan umum bakal mendedahkan diri kepada penjenayah untuk membaca kecenderungan peribadi, pemikiran, perasaan, pergerakan fizikal, aktiviti harian dan sebagainya. Sedarkah wahai pengguna internet sekalian bahawa penjenayah di alam maya sentiasa berkerja 24 jam, tujuh hari seminggu tanpa rehat dan boleh memasuki ruang peribadi anda termasuklah sehingga ke bilik tidur anda?

Satu ketika dahulu, semua maklumat peribadi disimpan dalam diari yang disembunyikan dalam almari dan hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat. Begitu juga misalnya foto peribadi dan keluarga yang bercetak disimpan elok di dalam album dan hanya menjadi tatapan ahli keluarga dan individu yang rapat serta istimewa. Namun kini, hampir segala-galanya termasuklah foto peribadi sama ada dalam keadaan yang sesuai atau tidak, telah di muat naik di media sosial untuk tatapan umum. Lebih menjelekkan lagi apabila ada individu yang membuka aib sendiri begitu bangga untuk berkongsi foto atau video lucah yang dianggap sebagai satu unsur untuk melariskan produk dan sebagainya.

Media sosial juga sering dijadikan lubuk perkongsian perasaan sama ada marah, benci, geram, stress, dukacita dan pelbagai lagi. Sikap pasangan sama ada suami atau isteri didedahkan di media sosial dengan tujuan untuk melepaskan kemarahan, kebencian dan mengharapkan perhatian orang luar yang tiada kena mengena dengan urusan perkahwinan mereka. Keaiban rumah tangga didedahkan tanpa memikirkan implikasi kepada diri, pasangan, anak-anak dan keluarga. Bertambah parah lagi, apabila ada yang cuba menangguk di air keruh dengan menambah asam garam agar perkahwinan berakhir dengan kehancuran. Kesilapan menerima pandangan daripada orang yang bukan ahlinya bukan sahaja tidak mampu untuk menyelamatkan sebuah perkahwinan yang telah dibina sekian lamanya, malah bakal mendatangkan penderitaan berpanjangan kepada individu berkenaan. Justeru, jangan sesekali menjadikan media sosial sebagai medium untuk melepaskan perasaan, sebaliknya berfikir sejenak secara waras dan salurkan hanya kepada individu yang benar-benar layak untuk mendengarnya.

Ketagihan internet

Tingkah laku mencari perhatian semakin menjadi-jadi sejak akhir ini. Pelbagai hantaran dimuat naik daripada sekecil-kecil perkara seperti foto baru bangun dari tidur sehinggalah kepada isu berkaitan dengan dunia dan global. Kegilaan kepada ‘like’, ‘share’, dan ‘subscribe’ menjadi antara pendorong untuk seseorang berkongsi apa sahaja di media sosial. Selain itu, kemunculan pelbagai permainan digital menarik dan interaktif boleh melekakan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa. Pelbagai aplikasi yang dianggap sebagai cabaran seperti menukar wajah dari muda menjadi tua, menukar wajah lelaki menjadi perempuan dan sebaliknya, dan termasuklah cabaran yang boleh menjejaskan akidah seseorang. Tidak dinafikan bahawa ciri yang menarik, terkini dan interaktif menjadi antara punca ketagihan internet dan sukar untuk seseorang berpisah dengan gajet. Statistik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menunjukkan tempoh penggunaan harian internet rakyat Malaysia adalah antara satu hingga empat jam (39.2 peratus), lima hingga lapan jam (23.9 peratus), sembilan hingga 12 jam (13.4 peratus) dan yang agak membimbangkan adalah sebanyak 8.1 peratus menggunakan internet melebihi 18 jam sehari. Semakin lama masa seseorang berada di alam maya, maka semakin tinggi untuk menjadi mangsa atau pun pelaku kepada jenayah siber.

Jenayah pedofilia

Perkongsian ibu bapa secara berlebih-lebihan berkaitan dengan foto aktiviti anak-anak juga sebenarnya boleh mendatangkan risiko jenayah pedofilia iaitu satu penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya merasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambarnya. Berdasarkan statistik dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir tahun 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Statistik itu mendapati sebanyak 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes bagi tempoh sama pada tahun 2017 membabitkan peningkatan sebanyak 55 kes. Justeru, sebagai langkah keselamatan, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak memuat naik gambar anak di laman sosial terutama dalam keadaan pakaian yang terdedah sekalipun mereka masih kecil, bagi mengelak pedofilia. Ibu bapa sudah pasti berasa seronok dengan komen yang berbentuk pujian tentang kecomelan anak-anak mereka, namun dari satu sisi, ada pihak yang melihat dari sudut yang berbeza, bukankah ia sesuatu yang menakutkan?

Kesimpulannya, mengambil sikap berhati-hati demi keselamatan diri di alam maya adalah satu perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar tidak menjadi mangsa atau pelaku kepada salah laku di media sosial. Demi keselamatan fizikal, kita sanggup untuk membeli peralatan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengawasi rumah, memasang jeriji dan kunci rumah yang canggih, membina pagar keselamatan, namun pada masa yang sama membenarkan penjenayah siber untuk masuk ke dalam ruang peribadi dengan begitu mudah sekali. Keselamatan di alam maya adalah sama pentingnya dengan keselamatan fizikal, justeru memiliki ilmu yang berkaitan adalah perlu. Layari sahaja maklumat di laman web seperti Cyber Security Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk maklumat berkaitan. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, justeru jadilah warga net yang sentiasa berwaspada ketika di alam maya kerana penjenayah siber sentiasa memerhati dan mencari peluang bila-bila masa sahaja untuk menjayakan misinya.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas Dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)