NOTA KAMPUS

PENGUKURAN EFEKTIF PRESTASI PEMBELAJARAN JARAK JAUH

07/08/2020 10:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Dr Mohd Najib Mohd Hussain

Penularan COVID-19 di Malaysia dan seluruh dunia telah merancakkan pengajaran dan pembelajaran jarak jauh atau dalam talian. Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia tidak menghalang institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia untuk meneruskan semester pengajian secara dalam talian. Persoalan yang timbul adalah tentang kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam talian berbanding kaedah bersemuka (face-to-face) di dalam kelas.

Kaedah pengukuran efektif

Perbezaan ketara adalah daripada segi pengukuran keberkesanan syarahan dalam talian dan penyertaan bersama pelajar semasa syarahan serta aktiviti yang dijalankan. Jika pengajaran secara tradisional, fokus serta komunikasi pelajar dapat dilihat dengan mudah dan jelas secara bersemuka tetapi pengajaran secara dalam talian pastinya memerlukan kaedah yang berlainan bagi menentukan gred pelajar-pelajar tersebut.

Secara logiknya, pengajaran dalam talian pastinya memerlukan perlaburan komitmen yang tinggi bagi setiap pelajar. Sudah pasti gred pelajar perlu dipastikan berpadanan dengan tahap kerajinan, ketidakbergantungan serta kebolehan pelajar itu sendiri untuk meneroka dan berdikari bagi memperoleh gred yang terbaik. Mereka perlu mempraktikkan norma baru pengajian dengan tidak lagi berpaksikan satu saluran maklumat pembelajaran seperti semasa syarahan bersemuka.

Pengukuran kejayaan pelajar menjalani pembelajaran dalam talian juga bergantung kepada aplikasi yang digunakan selain mengambil inisiatif mendapatkan maklumat daripada sumber lain dan tidak hanya bergantung kepada nota syarahan.

Aplikasi yang bersesuaian yang digunakan mestilah dapat memantau secara terperinci penglibatan dan prestasi pelajar secara dalam talian. Dalam situasi ini, tenaga pengajar perlu mengaplikasikan sebarang alat, medium perantaraan dan aplikasi platform teknologi yang terbaik dan berkesan bagi mengukur dan mengakses pencapaian pelajar dengan terperinci tanpa mengabaikan sebarang kekurangan fasiliti pelajar seperti data internet yang rendah atau tidak boleh dicapai serta kemudahan lain di kediaman masing-masing.

Medium teknologi pembelajaran

Pemanfaatan media pengajaran yang efektif mampu meransang minat pelajar untuk bersama secara dalam talian malah dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran. Alat dan aplikasi yang digunakan ini akan menentukan keterampilan dan perilaku pelajar apabila menghadapi alam pekerjaan norma baharu sama ada norma situasi penularan wabak atau norma kecanggihan aplikasi media dan teknologi dalam talian. Oleh yang demikian, pembelajaran tersebut mestilah membolehkan tenaga pengajar mengakses, memantau dan membetulkan kesalahan pelajar dengan berdamping secara individu atau berkumpulan dengan mereka. Perhatian kepada pelajar yang kurang kemudahan medium dalam talian dan dalam pengajian juga memerlukan aplikasi yang bersesuaian untuk membantu mereka supaya tidak ketinggalan dengan norma pembelajaran ini.

Secara umumnya, aplikasi seperti Zoom, Webex, Skype dan pelbagai aplikasi lain menjadi pilihan perjumpaan dalam talian. Manakala untuk aktiviti pembelajaran, Google Classroom adalah medium yang popular sebagai medium pertemuan (melalui Google Meet), tugasan dalam talian dan pembelajaran yang disertakan dengan penyimpanan data percuma (google drive) bagi memudahkan aktiviti dalam talian. Antara medium yang dinyatakan ialah Microsoft Office 365 melalui salah satu aplikasinya iaitu Microsoft Teams dilihat sebagai aplikasi "all-in-one" yang sangat efisien dan efektif dalam menyampaikan pembelajaran dalam talian kerana ciri-ciri keselamatan, privasi dan ruang akses yang luas dan terperinci hingga menembusi dinding sesama ahli perjumpaan dalam talian.

Aplikasi Microsoft Teams (MT)

MT adalah antara medium Microsoft yang digunakan sebagai hub untuk aktiviti dalam talian secara individu dan berkumpulan yang menyatukan semua aplikasi dalam talian Microsoft Office seperti Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Outlook, Publisher, Sway serta pelbagai lagi aplikasi Microsoft termasuk apikasi pihak ketiga melalui perkhidmatan 'cloud' iaitu storan peribadi yang dikenali sebagai OneDrive. Ia berfungsi sebagai medium pertemuan dalam talian yang berperanan sebagaimana operasi WhatsApp iaitu sebagai pesanan utama. Malah MT, menyediakan ruang untuk berkolaborasi dan komunikasi secara "real-time" semasa dalam talian atau perkongsian fail dan tugasan dalam talian. MT dilihat sebagai medium yang sangat efisien dalam mengukur penglibatan dan prestasi pelajar malah menghampiri ciri-ciri seperti perjumpaan kelas secara bersemuka.

Sebagai contoh, OneNote adalah buku nota digital yang berfungsi seperti buku nota fizikal, malah lebih baik dari itu. OneNote digunakan sebagai alat untuk menyusun dan menyimpan sumber pengajaran multimedia. Satu lagi ciri yang sangat berguna adalah apabila ia dapat membantu pengguna untuk berintegrasi dengan aplikasi lain seperti Microsoft Form untuk tugasan quiz dan ujian jarak jauh, Microsoft Sway, videos, YouTube serta berpaut kepada mana-mana laman web yang berkaitan dengan kandungan pembelajaran. OneNote juga menyediakan ruang untuk pelajar-pelajar dan pensyarah berkolaborasi secara dalam talian sama ada dalam perbincangan latihan atau persoalan. Ahli kumpulan masing-masing dapat menulis, menyalur atau melampirkan maklumat berkaitan untuk perbincangan sesama pelajar dan pensyarah.

Untuk tujuan pengukuran aktiviti berkumpulan atau berkolaborasi, selain dari OneNote, aplikasi lain seperti Word, PowerPoint, Flipgrid, Squigl dan RSpace dapat disatukan dalam MT untuk mengakses pengukuran tugasan pelajar dengan kaedah-kaedah yang berbeza. Fligrid dan Squigl adalah pembelajaran sosial yang dapat diadaptasi sebagai tugasan bagi mengukur kefahaman pelajar dalam bentuk tugasan pembentangan sama ada indivu atau berkumpulan. Manakala RSpace adalah medium penyelesaian data bersepadu yang dapat digunakan untuk tujuan kolaborasi pelajar semasa menjalankan aktiviti kajian atau eksperimen secara dalam talian di lokasi pelajar masing-masing. Data eksperimen, pemerhatian serta kesimpulan yang dilakukan secara berkumpulan akan berintegrasi secara "real-time" dalam aplikasi ini. Yang paling penting, kesemua aplikasi ini disertakan dengan format pemarkahan secara automatik dan manual, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian pensyarah.

MT juga dilengkapi dengan alat untuk mengukur serta memantau penglibatan pelajar dalam aktiviti kumpulan yang dibangunkan dan dikenali sebagai Insights. Melalui Insights, masa tenaga pengajar dapat dijimatkan untuk mengesan kemajuan pelajar dan penglibatan dalam aktiviti kelas dalam talian. Ia mengumpul data aktiviti pelajar dalam kelas seperti kekerapan pelajar mengakses nota, mengajukan soalan secara dalam talian, berkolaborasi dan maklum balas, muat naik nota, gred markah tugasan, masa tugasan diserahkan (sama ada melebihi waktu yang ditentukan atau tidak), kelewatan menyertai kelas dalam talian dan tahap aktiviti komunikasi pelajar dalam kelas.

-- BERNAMA

Ts Dr Mohd Najib Mohd Hussain ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik, UiTM Pulau Pinang

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)