Ketika ini dianggarkan sejumlah RM70 bilion nilai harta pusaka yang majoritinya milik orang Islam tidak diuruskan dan dituntut oleh ahli waris, yang juga dikenali sebagai harta pusaka beku. Harta pusaka beku ialah harta pusaka yang ditinggalkan oleh simati tetapi tidak uruskan pembahagiannya dalam kalangan ahli waris dengan kaedah dan cara yang dibenarkan oleh syarak.
Harta berkenaan telah terbiar dan tidak dapat diuruskan dengan sempurna oleh ahli waris yang berhak. Ini akan menyebabkan harta ini tidak dapat digunakan dengan cara yang bermanfaat untuk membantu menjana ekonomi para ahli waris. Harta pusaka yang ditinggalkan akan dibiarkan begitu sahaja. Tiada siapa yang bertanggungjawab untuk mengurus atau menjaganya.
Akibat dari itu maka timbullah pelbagai kesan yang negatif kepada pihak-pihak yang terlibat terutamanya dalam kalangan ahli waris. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya keadaan ini. Antaranya adalah disebabkan kurangnya pengetahuan rakyat Malaysia tentang prosedur yang perlu dilalui dalam membuat urusan dan tuntutan hak harta pusaka.
Sikap sambil lewa masyarakat juga merupakan faktor yang menyebabkan berlakunya isu harta pusaka beku semakin bertambah setiap tahun. Faktor lain adalah disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan perancangan harta ketika pemilik harta masih hidup. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dicari kaedah dan mekanisma penyelesaian terbaik bagi mengelakkannya daripada terus berlarutan.
Manfaat Untuk Waris
Jumlah harta pusaka beku sebesar ini jika sekiranya dapat diuruskan dengan baik oleh waris-waris pastinya dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Terutama ketika keadaan ekonomi negara sedang mengalami penguncupan pertumbuhan antara 0.4 – 2.5 peratus kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara. Bank Negara Malaysia telah mengunjurkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih rendah iaitu sebanyak -2 peratus hingga -0.5 peratus untuk tahun ini.
COVID-19 juga telah menyebabkan kesan jangka pendek yang amat besar kepada rakyat Malaysia. Ramai pekerja di sektor swasta diberhentikan kerja, ada yang terpaksa bercuti tanpa gaji atau pengurangan gaji. Peniaga kecil dan industri kecil dan sederhana juga turut teruk terjejas kerana perniagaan tidak dapat dijalankan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Alangkah baiknya dalam tempoh pasca COVID-19, para waris yang masih mempunyai harta pusaka beku untuk bertindak mencairkan harta tersebut. Dengan tindakan ini, harta pusaka ini akan dapat dimanfaatkan oleh waris-waris, mungkin ada waris yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Harta beku yang dicairkan ini akan boleh digunakan untuk menangani kesan COVID-19, tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan. Nilai harta beku yang dianggarkan bernilai RM70 bilion hari ini, jika dapat dicairkan akan memberi sumbangan yang amat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Bantu Pulih Ekonomi
Harta yang dapat dicairkan ini akan menjadi alternatif terbaik kepada pakej rangsangan ekonomi pasca COVID-19 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bernilai RM35 bilion. Melalui PENJANA pelbagai insentif diberikan kepada rakyat bertujuan merancakkan ekonomi, melindungi rakyat dan perniagaan serta memperkukuhkan ekonomi negara. Bayangkan, sekiranya sebahagian daripada nilai RM70 bilion harta pusaka beku ini dapat dimanfaatkan, ditambahkan lagi dengan pakej PENJANA bernilai RM35 bilion. Sudah tentu situasi ekonomi negara akan dapat dirancakkan dalam tempoh yang singkat. Perniagaan IKS akan dapat dirancakkan semula dan akan melonjakkan semula pendapatan isi rumah bagi semua golongan rakyat, terutama golongan M40 dan B40. Para pekerja yang telah diberhentikan kerja akan lebih terbela nasib mereka.
Dalam tempoh pasca COVID-19 ini adalah lebih baik para waris simati yang masih menangguh atau melewatkan urusan pembahagian harta pusaka untuk bertindak segera. Mereka perlu duduk bersama untuk membincangkan cara dan kaedah terbaik agar proses pembahagian harta pusaka dapat dilaksanakan segera. Lebih cepat adalah lebih baik untuk pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
-- BERNAMA
Lt. Kol. Mohamad Ali Roshidi Ahmad merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.