Koridor sekolah bukan sekadar laluan pelajar, tetapi saksi kepada ribuan kisah yang tidak terucap, gelora jiwa yang tersembunyi dan luka emosi yang sukar dilihat mata kasar.
Di tengah tawa rakan sebaya dan derap langkah menuju kelas, ada jiwa muda yang sedang berperang secara senyap. Biarpun loceng berbunyi menandakan waktu rehat, keresahan remaja jarang berhenti kerana mereka sentiasa keliru yang tidak menentu.
Negara digemparkan kes buli, rogol dan bunuh
Apabila negara digemparkan dengan kes buli, rogol bawah umur, tikam rakan hingga maut, pelajar menarik leher baju guru dan pelajar yang memilih untuk menamatkan hidup, masyarakat harus bertanya dengan jujur, apakah yang telah kita abaikan?
Tragedi sebegini tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang menjunjung Prinsip Rukun Negara.
Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa ada yang longgar dalam sistem pembangunan manusia. Barangkali mungkin kerana kita terlalu ghairah membina sekolah pintar, tetapi lupa menjadikannya sekolah penyayang.
Remaja hidup dalam fasa gelora jiwa dan pencarian makna diri. Dalam kekeliruan itu, mereka memerlukan tangan yang membimbing dengan empati dan kasih.
Namun dalam masyarakat yang semakin individualistik dan menyanjung pencapaian material, suara hati remaja sering tenggelam dalam keluarga yang sunyi, sekolah yang sibuk dan masyarakat yang kian menjauh.
Lebih menyedihkan, apabila telefon pintar dan media sosial mengambil alih peranan kasih sayang sebagai pengasuh senyap di ruang rumah, hubungan jiwa dalam keluarga perlahan-lahan terhakis.
Koridor sekolah yang dahulu riuh dengan tawa kini menjadi saksi diam kepada hati-hati muda yang kesepian.
Membina insan seimbang
Dalam membina insan seimbang, sering wujud kekeliruan antara empat konsep asas iaitu didik, bimbing, asuh dan ajar.
Pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu di kelas, tetapi pembentukan nilai, moral, emosi dan kemahiran hidup seperti yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Didik menanam nilai dan prinsip, bimbing memberi panduan, asuh menumbuhkan rasa selamat, dan ajar menyampaikan ilmu. Ini membuktikan tanggungjawab membentuk insan perlu dikongsi bersama dengan peranan berbeza.
Ibu bapa ialah pelopor nilai dan kasih sayang dalam kehidupan anak-anak. Namun ramai yang berdepan tekanan hidup hingga sukar hadir secara emosi.
Stigma seperti “jangan komen sebab kau tiada anak” wajar dihapuskan agar semua pihak lebih terbuka dan prihatin terhadap perkembangan remaja.
Kadangkala, tingkah laku yang kelihatan menyimpang daripada norma sosial bukan tanda pemberontakan, tetapi isyarat bahawa ada sesuatu yang perlu diperhatikan dengan lebih halus dan empati.
Pandangan dari luar boleh menjadi cermin untuk ibu bapa menilai semula keadaan anak, kerana manusia lebih mudah melihat kekurangan orang lain berbanding dirinya sendiri.
Peranan guru
Guru pula perlu diperkasa bukan sekadar sebagai pengajar, tetapi pemimpin bilik darjah yang mendidik dengan jiwa dan tegas dengan prinsip.
Dalam wilayah sekolah, guru ialah penjaga sempadan nilai yang membentuk akal serta adab anak bangsa.
Mereka tidak memerintah dengan suara tinggi, tetapi memimpin dengan wibawa dan kasih. Ketegasan mereka bukan tanda kekasaran, tetapi benteng agar nilai dan disiplin tidak roboh di tengah longgarnya sempadan dunia moden.
Peranan rakan sebaya
Rakan sebaya pula memainkan peranan penting dalam ekologi kehidupan remaja. Mereka ialah ruang paling dekat dan selamat untuk meluahkan rasa.
Budaya peduli rakan seperti “jaga meja kawan” perlu diperkukuh agar pelajar saling mengambil berat bukan hanya terhadap tugasan, tetapi juga terhadap kesejahteraan emosi rakan mereka.
Sikap kecil seperti bertanya khabar atau menemani rakan yang murung boleh menjadi penyelamat dalam diam.
Peranan sekolah
Sekolah pula wajar diiktiraf sebagai wilayah pendidik yang mana tempat ilmu dan nilai berjalan seiring, kasih dan ketegasan saling melengkapi.
Ia bukan sekadar institusi peperiksaan, tetapi medan membentuk insan yang memahami erti tanggungjawab, hormat dan belas ihsan. Setiap ruang sekolah membawa makna pendidikan tersendiri.
Biarkan bilik darjah menanam hikmah berfikir, padang mengajar semangat, kantin membina sabar dan hormat, manakala surau menyatukan jiwa dengan cara asli mereka.
Tanggungjawab membentuk generasi berjiwa seimbang tidak boleh dipikul oleh sekolah sahaja.
Ia menuntut dukungan seluruh ekosistem pendidikan yang melibatkan Kementerian Pendidikan, pentadbir sekolah, PIBG, masyarakat dan media.
Dasar perlu digubal dengan jiwa manusia, sekolah melaksanakannya dengan empati, manakala masyarakat berperanan sebagai pelindung, bukan penghukum.
Media perlu jadi rakan pendidikan
Media juga harus menjadi rakan pendidikan dengan menyebarkan kisah inspirasi dan maklumat yang membina, bukan sensasi yang menambah luka.
Dalam masa yang sama, sebaran mesej positif daripada pempengaruh media sosial mampu menjadi sumber motivasi dan sokongan emosi kepada remaja masa kini.
Berhentilah menjadi pemerhati di luar koridor
Cukup-cukuplah kita menjadi pemerhati luar koridor. Setelah lebih enam dekad Malaysia merdeka, sudah tiba masanya kita masuk semula ke denyut nadi sekolah dan mendengar suara yang terpinggir.
Koridor, bilik darjah, padang, kantin dan surau bukan sekadar ruang rutin, tetapi medan pembentukan jiwa bangsa.
Pendidikan bukan urusan sekolah semata-mata, tetapi tanggungjawab nasional yang menuntut kesepaduan antara dasar, kepimpinan dan kemanusiaan.
Apabila setiap pelajar berasa selamat, difahami dan dihargai sebagai insan, sekolah akan kembali menjadi tempat harapan bermula dan Malaysia akan terus membesar sebagai negara yang belajar dengan hati, dan maju dengan akal.
--BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)