Secara umumnya, Malaysia tidak pernah mengalami bencana alam atau wabak penyakit yang dahsyat. Beberapa kejadian bencana alam seperti banjir pernah berlaku namun tidak melibatkan banyak negeri atau berlaku dalam tempoh waktu yang lama dan tidak sehingga menjejaskan sistem pendidikan sekolah atau pengajian tinggi negara kerana selalunya ia berlaku dalam tempoh cuti persekolahan hujung tahun.
Namun, pandemik COVID-19 yang menular dengan cepat di lebih 200 negara dan wilayah termasuk Malaysia memberi pengalaman dan cabaran berbeza kepada negara dalam mendepani bencana.
Bermula pada 18 Mac 2020 apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membabitkan empat fasa yang berakhir pada 12 Mei 2020. Ini diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Tersasar (PKPT), telah membataskan pergerakan rakyat di samping menekankan amalan ‘kebiasaan baharu’ demi memutuskan rangkaian penyebaran virus COVID-19 di negara ini.
Pelaksanaan perintah-perintah kawalan itu telah memberikan impak yang cukup besar dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, pelancongan, pertanian, kesihatan mahupun pendidikan di negara-negara yang terjejas termasuk Malaysia.
Gangguan Psikologi
Dalam aspek pendidikan di negara ini, keputusan kerajaan membatalkan atau melewatkan beberapa peperiksaan utama bagi memastikan keselamatan anak-anak dan para pelajar bukan sahaja memberi kesan kepada sistem pendidikan negara tetapi turut menimbulkan rasa sedih, trauma, kecewa dan takut dalam diri pelajar.
Contohnya, laporan media berkenaan sekumpulan pelajar Tahun Enam yang kecewa dan menangis apabila dimaklumkan bahawa peperiksaan UPSR tahun ini dibatalkan. Mungkin pada anggapan mereka, segala impian dan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di sekolah yang lebih baik seperti di Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Maktab Tentera Diraja (MTD) telah berakhir.
Dalam hal ini, adalah amat penting kajian dilakukan untuk mengenal pasti masalah-masalah yang berlaku pasca COVID-19 yang mungkin dihadapi oleh murid-murid atau para pelajar di peringkat sekolah. Ini terutamanya apabila banyak perubahan dan kebiasaan baharu ‘new norm’ yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan susulan pandemic COVID-19 mungkin memberi impak kepada mereka termasuk masalah psikologi, gangguan emosi dan seumpamanya.
Penyesuaian Sistem Pendidikan
Michael Fullan (1999) dalam buku ‘The New Meaning of Educational Change’ menyatakan perlunya tindakan penyesuaian dalam sistem pendidikan apabila berlaku bencana atau wabak. Fullan (1999) menjelaskan bahawa terdapat tiga keadaan yang memungkinkan atau membolehkan berlakunya sesuatu perubahan dalam sistem pendidikan iaitu:
Oleh yang demikian, apabila sesuatu wabak atau bencana berlaku semestinya seseorang individu akan terkesan, apatah lagi yang membabitkan sektor pendidikan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Sekiranya, tiada cara terbaharu atau kaedah inovasi yang kreatif dalam menangani isu sebegini, pasti akan terjejas dan mendatangkan mudarat yang besar kepada bakal sumber manusia pada masa akan datang.
Inovasi Tingkat Prestasi
Inovasi pendidikan telah menjadikan beberapa buah negara semakin menonjol seperti Korea, Finland serta beberapa buah negara maju yang lain. Berhadapan dengan situasi tersebut Malaysia juga perlu memandang ke hadapan dan mencuba untuk menjadikan inovasi pendidikan sebagai suatu hala tuju baharu bagi meningkatkan perkembangan budaya di negara kita
Sekiranya ada kajian dilakukan ia mungkin akan dapat menjawab sekurang-kurangnya tiga persoalan penting iaitu:
Selain daripada kajian itu juga mungkin ini akan dapat mengenal pasti dan menyenaraikan strategi-strategi kurikulum pendidikan yang mampu memberikan solusi atau penyelesai masalah agar sistem pendidikan negara terus unggul dan terus mampu membina modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Modal insan yang berkualiti akan memberi nilai tambah yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi meningkatkan produktiviti yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Sesungguhnya usaha ke arah penjanaan modal insan yang berkualiti dan lestari mencakupi bidang pendidikan lebih-lebih lagi semasa pasca wabak dan bencana.
Kepesatan pembangunan negara sememangnya memerlukan modal insan yang berilmu, berintegriti dan berkemahiran dalam melaksanakan tanggungjawab pembangunan yang seimbang duniawi dan ukhrawi.
-- BERNAMA
Profesor Madya Kolonel Dr. Burhanuddin Jalal merupakan ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.