NOTA KAMPUS

PERANAN KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEMASA PANDEMIK

20/11/2020 09:24 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh

Beberapa minggu yang lalu, kita telah menyaksikan kemasukan pelajar baharu tahun pertama yang mula mendaftar di kebanyakan universiti awam di Malaysia. Buat pertama kalinya pelajar-pelajar baharu ini tahun ini telah mendaftar dan mengikuti kelas secara dalam talian di kediaman masing-masing.

Situasi ini jelas berbeza dengan kemasukan pelajar-pelajar baharu pada tahun-tahun sebelumnya. Bagi pelajar-pelajar senior dan pensyarah, keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing kerana mereka telahpun menjalani sebahagian besar kelas secara dalam talian pada semester yang lalu.

Untuk pelajar-pelajar tahun pertama, pandemik COVID-19 sememangnya telah mengubah jangkaan mereka yang sebelum ini membayangkan suasana berada secara fizial di kampus seperti mana yang digambarkan oleh orang-orang terdahulu sebelum mereka. Nikmat berada di kampus secara fizikal seolah-olah ‘direhatkan’ seketika daripada pelajar dan pensyarah namun ujian ini tidak seharusnya mematahkan semangat warga universiti.


Komunikasi Dalam Norma Baharu

Sememangnya, tiada kepastian yang jelas sampai bila pelajar-pelajar akan dapat pulang ke kampus untuk menikmati suasana kampus seperti dahulu. Namun, satu perkara yang pasti adalah pengajaran dan pembelajaran mengikut norma baharu tetap perlu diteruskan. Jelas sekali, pandemik ini tidak seharusnya menghalang proses pembangunan modal insan di universiti. Justeru, dalam proses ini, komunikasi yang efisien memainkan peranan penting khususnya di antara pihak universiti, pensyarah dan pelajar.

Bagi pelajar khususnya yang baharu masuk ke alam universiti, inilah masanya untuk mereka memanfaatkan kemahiran komunikasi secara dalam talian bersama rakan-rakan dan pensyarah menerusi media sosial dan medium pengajaran dan pembelajaran lainnya.

Sungguhpun situasi semasa tidak membolehkan mereka berkomunikasi secara bersemuka secara fizikal, namun lambakan alat berkomunikasi secara dalam talian kini seperti Whatsapp, Telegram, Facebook, e-mel dan sebagainya telah tersedia untuk memudahkan proses komunikasi dan interaksi untuk berlangsung secara dua hala.

Bayangkan betapa sukarnya pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan sekiranya pandemik sebegini berlaku pada zaman dahulu yang tiada akses kepada internet apatah lagi media sosial.

Oleh itu, kelebihan komunikasi yang ada pada masa sekarang haruslah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para pelajar dan pensyarah.

Adab Berinteraksi

Bukan sahaja pelajar, para pensyarah juga boleh turut sama memanfaatkan alat komunikasi dalam talian untuk berhubung dengan pelajar, berkongsikan informasi dan berbincang mengenai kelas. Dalam berkomunikasi, kedua-dua belah pihak iaitu pelajar dan pensyarah perlulah mencapai kata persetujuaan akan medium komunikasi dalam talian yang mana yang baik untuk digunakan dalam kelas.

Pensyarah mungkin boleh mengingatkan pelajar tentang adab-adab penting dalam berkomunikasi secara dalam talian khususnya menerusi aplikasi seperti Whatsapp dan Telegram yang kadang-kala boleh menyebabkan proses komunikasi menjadi rumit dan tidak terurus.

Misalnya, pelajar boleh diingatkan untuk tidak sewenang-wenangnya melakukan syot layar (screen shot) perbincangan dalam Whatsapp berkumpulan kelas dan menyebarkannya menerusi media sosial masing-masing. Segala maklumat berkenaan kelas sewajarnya digunakan untuk tujuan kelas berkenaan sahaja. Penyebaran maklumat tanpa kebenaran boleh mendatangkan salah faham daripada pihak lain yang tidak memahami konteks perbincangan tersebut.

Komunikasi Sokongan

Dalam masa yang sama, para pelajar yang berada di rumah juga mungkin menghadapi pelbagai cabaran yang tersendiri seperti gangguan internet, suasana rumah yang kurang kondusif dan sebagainya dalam proses mereka mengikut kelas secara dalam talian.

Di sini, peranan pensyarah adalah amat penting dalam menjayakan komunikasi sokongan iaitu dengan mendengar masalah mereka dan memberikan kata-kata semangat buat mereka untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran sehingga semester berakhir.

Malah, di universiti turut disediakan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian yang membolehkan pelajar mendapatkan nasihat daripada kaunselor terlatih.

Pelajar juga boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan tentang masalah mereka agar dapat melegakan perasaan dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Dengan cara sebegini, pelajar khususnya pelajar baharu tahun pertama yang cenderung untuk panik sekiranya tertinggal kuliah secara dalam talian secara tidak sengaja disebabkan oleh gangguan internet akan berasa lebih tenang.

Seperkara lagi, dalam kita memberikan perhatian kepada pelajar, kesejahteraan khususnya kesihatan mental pensyarah dan staf universiti lain juga tidak harus dilupakan kerana mereka juga merupakan warga universiti yang turut sama menerima kesan akan pandemik ini. Justeru, pihak universiti bolehlah membuat pemantauan secara berkala tentang perkara ini. Kesihatan mental pensyarah dan staf penting kerana merekalah penggerak utama sesebuah universiti.

Pada akhirnya, kita semua perlu sedar dan akur bahawa norma baharu pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian disebabkan oleh pandemik ini bukan sahaja berlaku di Malaysia namun ianya turut berlangsung di kebanyakan negara dunia.

Apa yang penting adalah semua pihak haruslah berganding bahu dalam menongkah cabaran ini sehingga kita semua mencapai titik kemenangan kelak.

-- BERNAMA

Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)