Oleh: Dr Tina Abdullah
Aktiviti membaca sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat seperti perkembangan ilmu pengetahuan. Sebagai hobi, membaca bagi mengisi masa lapang berupaya memperkukuhkan kemahiran bahasa seperti penguasaan kosa kata dan tatabahasa serta dianggap mampu membentuk nilai-nilai murni.
Daripada aspek kognitif, proses membaca merangsang minda mengaplikasi ilmu pengetahuan dan pengalaman sedia ada bagi mengasah kefahaman dan penilaian terhadap ilmu baharu yang didalami selain daripada melatih keupayaan minda untuk berfikir secara kritis apabila berpeluang meneliti ilmu daripada sudut perspektif yang berbeza.
Akses bahan bacaan
Malah kajian meluas telah membuktikan proses dinamik ini dapat menerapkan nilai perkembangan individu serta estetika dalam diri pembaca melalui peningkatan daya kreativiti dan imaginasi. Seiring dengan perkembangan pesat era digital dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), aktiviti membaca kian menerima tempiasnya.
Ketersediaan pelbagai media atau platform digital menyajikan pembaca dengan pelbagai bahan bacaan kerana sesiapa sahaja boleh menjadi penulis dan berkongsi atau memuat naik karya untuk pembacaan umum.
Akses bahan pembacaan tidak lagi terhad kepada media cetak mahupun digital dalam pelbagai genre atau bahasa malah ada yang bersifat interaktif.
Implikasinya, corak aktiviti pembacaan pada mutakhir ini tidak lagi terikat kepada pembacaan secara bersendiri kerana wujudnya peluang interaktif yang memudahkan pembaca untuk berinteraksi secara berkumpulan atau dua hala melalui kelab-kelab pembaca.
Dengan adanya ruang komen dan kesukaan (likes), interaksi bersifat dinamik juga dapat diwujudkan di antara pembaca dan penulis di mana mereka boleh berkongsi dan bertukar-tukar pandangan serta respon.
Perkembangan teknologi juga turut menyumbang kepada penerbitan buku audio yang disertakan dengan visual, bunyi latar dan klip video. Perkembangan ini sudah pasti memberikan pengalaman membaca berlainan berbanding bahan cetak.
Buku dan surat khabar juga mengalami transformasi seperti disertakan dengan kod QR yang boleh diimbas untuk mengakses laman web rasmi penerbit ataupun penulis bagi mendapatkan maklumat tambahan.
Di laman web tersebut, pembaca bukan sahaja boleh menempah bahan bacaan lain dari penulis atau penerbit sama pada harga promosi malah pembaca akan didedahkan dengan bahan bacaan lain yang mempunyai tajuk atau genre serupa melalui penggunaan hiperteks.
Rangkaian maklumat tambahan mewujudkan ruang untuk pembaca menghubungkait maklumat atau pengalaman membaca antara teks (intertextual connection) yang membentuk norma baharu bagi menyokong gaya hidup lestari tanpa sempadan.
Buku bertajuk Learning to Read in a Digital World menjelaskan bahawa lambakan bahan bacaan melalui medium digital seperti telefon bimbit dan tablet yang kian mendapat tempat dalam kalangan pembaca bukan saja mempengaruhi pembentukan norma membaca baharu, malah pembaca perlu memperoleh kompetensi membaca berbeza dari bahan cetak iaitu navigasi (navigation), integrasi (intergration) dan penilaian (evaluation).
Pembaca dalam norma baharu
Kajian terkini mendapati bahawa norma membaca dalam media digital menunjukkan perkembangan ke arah membimbangkan di mana ramai pembaca hanya meluangkan masa melakukan navigasi dan mengintegrasi bahan bacaan tanpa meluangkan masa untuk membuat penilaian dan pertimbangan kualiti bahan bacaan.
Akibatnya, aktiviti membaca tidak dapat sampai ke tahap penghayatan mahupun memberi makna atau impak kepada pembaca.
Pembaca kini harus mengambil langkah proaktif bagi mengurus dan menggunakan bahan bacaan secara bijak agar aktiviti membaca mampu membuahkan hasil yang bermanafaat dan bermakna.
Melatih diri menjadi pembaca dalam norma baharu boleh dimulakan dengan mengambil kira objektif membaca yang jelas kerana secara tidak langsung akan mempengaruhi strategi pembacaan yang efektif.
Kesedaran tentang perbezaan bahan bacaan berasaskan fakta, pandangan mahupun fiksyen juga amat penting dalam menggunakan atau menterjemahkan bahan yang dibaca.
Jika tujuan membaca adalah untuk mendapatkan sesuatu maklumat yang tepat, maka pembaca mestilah peka dan bijak memilih bahan daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai.
Sebaliknya, jika tidak terikat dengan pencarian fakta, pembaca wajar meneliti tujuan dan perspektif penulis serta mendapatkan maklumat tambahan daripada sumber lain supaya mampu menilai sendiri kesahihan serta kualiti penulisan yang dikongsi atau dimuat naik.
Ringkasannya, kehadiran teknologi banyak mempengaruni perkembangan norma membaca. Pembaca wajar mengikuti perkembangan dan memperoleh kompetensi yang sejajar dengan perubahan norma di samping peka terhadap cara untuk mengadaptasi dan mengasimilasikannya.
-- BERNAMA
Dr Tina Abdullah adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)