TINTA MINDA

PERANAN WANITA KETIKA PENULARAN WABAK COVID-19

22/01/2021 10:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Nor Nazimi Mohd Mustaffa

Wabak COVID-19 telah melanda seluruh dunia termasuklah negara Malaysia yang telah menjejaskan aktiviti kehidupan seharian manusia. Aktiviti seharian tergendala akibat pergerakan yang terbatas setelah Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia. Aktiviti ekonomi dan sosial bukan sahaja tertengguh malah terbatas sehingga dalam keadaan tertentu aktiviti tersebut terpaksa dibatalkan. Keadaan ini telah memberi kesan kepada semua golongan masyarakat tidak mengira golongan dari kecil sehingga dewasa.

Dalam menghadapi situasi semasa ini, pastinya golongan wanita mempunyai peranan yang besar terhadap kelansungan hidup seharian. Peranan golongan ini boleh dikenal pasti sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Wanita masa kini bukan hanya sekadar menjadi suri rumah malah mereka antara individu penting dalam membuat keputusan.

Wanita ibarat tunjang dalam sesebuah institusi sama ada keluarga, masyarakat, kementerian mahupun negara. Dalam situasi getir ketika ini, pastinya mereka mempunyai pelbagai peranan yang perlu digalas tambahan pula jika seorang wanita itu adalah petugas barisan hadapan terutamanya sebagai doktor perubatan, jururawat dan sebagainya.

Tauladan wanita pada zaman Rasulullah SAW

Pada zaman Rasulullah SAW, Ummahat al-Mukminin terlibat dalam memberikan khidmat sosial kepada masyarakat ketika dalam keadaan yang memerlukan. Golongan wanita memiliki sumbangan yang besar dalam aspek kebudayaan dan peradaban sama dengan lelaki, ikut serta dalam medan pertempuran, mengubati luka mujahid, mendermakan harta dan perhiasan mereka untuk membantu pasukan perang. Oleh itu, sifat dermawan wanita Islam sangat menonjol menerusi pembangunan agama, budaya dan sosial. Berikut adalah tumpuan bidang yang menjadi titik tolak penglibatan wanita dalam kegiatan sosial dalam masyarakat pada zaman Rasulullah SAW.

Pendidikan

Dalam bidang pendidikan, khidmat golongan wanita begitu terserlah dalam memberi sumbangan kepada masyarakat. Aisyah, Ummu al-Mukminin r.a. Beliau merupakan wanita pada masa awal Islam yang paling menonjol keilmuannya, paling bagus pemahamannya terhadap agama dan paling baik pendapatnya; terbukti beliau menjadi tempat bertanya seluruh sahabat tentang pelbagai persoalan faraidh. Nusaibah binti Ka’ab. Dia lebih dikenali sebagai Ummu Athiyah al-Ansariyyah dan termasuk salah seorang ahli Fiqh daripada kalangan sahabat wanita. Hadith-hadis yang diriwayatkannya banyak disebutkan dalam kutub al-sittah.

Khidmat Sosial

Khidmat sosial wanita dalam aktiviti sukarelawan jelas ditunjukkan oleh model wanita pada zaman Rasulullah SAW dapat dijadikan ikutan sukarelawan wanita masa kini. Pendirian Sayyidatina Aishah r.a telah banyak menjadikannya seorang yang mulia. Dalam keadaan berpuasa, beliau pernah membahagikan dan membelanjakan harta kepada orang lain dan satu tanda sifat mulia dan murni Aishah ialah apabila beliau pernah menegur seorang yang memerlukan untuk berbuka puasa kerana tidak memberitahunya kerana beliau pasti akan menolong orang yang berada dalam kesusahan. Sikap Aishah secara sukarela dalam membelanjakan harta sebagai tanda ketaatan kepada Allah.

Selain itu, sikap sukarela yang ditonjolkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar yang membawa bekalan makanan untuk baginda Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakar al-Siddiq ketika berada di Gua Thūr. Demikian halnya juga dengan penglibatan secara sukarela oleh al-Rubayya Binti Mua’wwaz r.a, Nusaibah Binti Ka’ab, Umm Waraqah Binti Abdullah dan Ku’aybah Binti Sa’ad dalam menyahut seruan jihad menerusi bantuan yang dihulurkan kepada para pejuang Islam yang tercedera di medan perang.

Perubatan

Contoh lain lagi adalah dalam bidang perawatan dan pengubatan juga sangat masyhur pada zaman Rasulullah SAW. Seorang wanita yang terhimpun dalam dirinya kebijaksanaan agama dan urusan dunia bernama al-Shifā’ bintiAbdullah al-Qurshiyyah merupakan seorang yang cerdas dan merupakan tokoh wanita yang menonjol kerana terkumpul pada dirinya pengetahuan dan keimanan. Al-Shifā’ pandai mengubati penyakit namlah dengan ruqyah dan diakui oleh Rasulullah SAW. Tauladan ini jelas menunjukkan wanita pada zaman Rasulullah SAW memainkan peranan penting dalam memberi khidmat sosial kepada masyarakat. Mereka memberi khidmat tanpa mengabaikan perintah dan larangan agama yang menjadi dasar kepada kehidupan seharian.

Peranan Wanita Masa Kini dalam Berhadapan Wabak COVID-19

Dalam berhadapan dengan situasi semasa pada masa kini, sudah tentu golongan wanita mempunyai peranan yang besar terhadap masyarakat. Keadaan yang sangat mendesak pada situasi sebegini adalah dari segi pendidikan, perubatan dan khidmat sukarelawan.

Pendidikan

Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua institusi pendidikan telah diarahkan untuk tutup. Anak-anak tidak dapat untuk menghadiri sesi persekolahan atau sesi kuliah secara normal bersama guru atau pensyarah. Hal ini telah telah menyebabkan anak-anak berhadapan dengan sesi pembelajaran yang di luar kebiasaan. Sesi pembelajaran dijalankan melalui medium aplikasi atas talian seperti Whatsapp, Microsoft Team, Google Classroom, Zoom dan sebagainya. Situasi sebegini menyebabkan para wanita terutamanya ibu memainkan peranan penting dalam menjamin kelansungan pembelajaran anak. Seorang ibu perlu peka terhadap sebarang kelas secara atas talian yang perlu dihadiri oleh anak-anak, kerja sekolah yang diberi oleh guru, malah seorang ibu perlu menyediakan bahan pembelajaran dan menyiapkan anak-anak untuk hadir kelas secara atas talian ini.

Selain itu, pada waktu-waktu tertentu, tugas seorang guru sewaktu pandemik ini juga telah diambil alih oleh seorang ibu. Segelintir daripada masyarakat, kemungkinan tidak berada dalam kawasan yang diliputi oleh jalur lebar dan sebahagian yang lain pula terdiri daripada keluarga yang tidak atau kurang berkemampuan untuk memiliki alat komunikasi seperti telefon pintar, komputer riba dan sebagainya. Di sini, para wanita yang bergelar ibu memainkan peranan mendidik anak-anak sekadar termampu agar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Khidmat Sosial

Golongan wanita juga berperanan memberi sumbangan khidmat sosial kepada masyarakat awam. Para wanita berperanan memberikan khidmat sosial dalam pelbagai bentuk seperti bantuan dari pendidikan, perubatan dan membantu golongan susah atau golongan yang memerlukan. Golongan wanita berperanan dalam membantu mengagihkan barang keperluan asas kepada golongan yang terjejas akibat wabak ini. Mereka juga berperanan dalam membantu dari segi sokongan moral kepada golongan yang memerlukan, memberikan pendidikan kepada golongan yang tidak mampu dan sebagainya. Dalam erti kata lain, golongan wanita berperanan untuk menyumbang khidmat sosial bukan sahaja dari segi material bahkan dari segi spiritual kepada masyarakat.

Bidang Perubatan

Bidang perubatan adalah bidang yang paling mendesak ketika penularan pandemik wabak COVID-19 ini. Mana tidaknya, peningkatan kes positif virus ini semakin mendadak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Justeru, wanita memainkan peranan yang sangat penting terutama mereka yang berada dalam lapangan kerja perubatan. Ketika penularan virus ini, para jururawat, doktor dan pegawai perubatan wanita melakukan pengorbanan dengan meninggalkan keluarga semata-mata untuk menangani penularan wabak ini. Di sinilah, golongan wanita memainkan peranan besar mereka dalam bidang perubatan dalam membantu golongan lelaki menghadapi keadaan yang kritikal ini.

Kesimpulannya, wanita mempunyai peranan dalam berhadapan dengan situasi penularan pandemik wabak COVID-19 ini. Peranan mereka dalam bidang-bidang khidmat sosial, pendidikan dan perubatan amat diperlukan bagi membantu golongan lelaki sama ada sebagai kakitangan sokongan mahupun petugas barisan hadapan yang utama. Khidmat daripada wanita dalam menangani penularan wabak ini adalah amat diperlukan kerana ada tugas-tugas yang memerlukan tangan wanita sahaja seperti dalam bidang perubatan yang memerlukan doktor wanita untuk merawat pesakit wanita. Malahan tenaga mereka juga sangat diperlukan kerana mampu menjalankan tugas tertentu dengan kelembutan seperti dalam bidang pendidikan.

Justeru itu, sumbangan tenaga daripada golongan wanita adalah sangat diperlukan dalam berhadapan dengan wabak ini. Golongan wanita bukan lagi golongan yang hanya sekadar duduk di rumah namun mereka juga berperanan dalam bidang-bidang yang mendesak kepada keperluan bantuan tenaga daripada mereka. Sejarah Islam juga telah menunjukkan bahawa wanita ummahat al-mukminat juga keluar memberi khidmat kepada masyarakat dalam pelbagai lapangan bidang. Ini menjelaskan kepada umum bahawa wanita itu berperanan penting kepada kesejahteraan sesebuah masyarakat.

--BERNAMA

Nor Nazimi Mohd Mustaffa ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Pengurusan dan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)