TINTA MINDA

PDPR : APA PERANAN IBU BAPA ?

27/01/2021 09:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Norsiah Abdul Hamid

Pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan kita ‘dipaksa’ dan ‘terpaksa’ keluar daripada zon selesa dan rutin harian. Jika sebelum ini, rutin hidup dilalui dengan cara yang ‘normal’, kini banyak aktiviti yang terpaksa ditukar mod, kaedah dan caranya, seterusnya menjadi ‘normal baharu’. Paling ketara, peralatan media dan komunikasi menjadi sangat penting, bukan lagi sebagai kehendak, tetapi keperluan dan sebahagian daripada hidup semasa PKP ini.

Sesi persekolahan tahun ini yang sepatutnya bermula secara bersemuka pada 20 Januari 2021 telah terganggu lagi. Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada tahun ini sahaja yang dibenarkan kembali ke sekolah. Akibatnya, pelajar sekolah rendah dan menengah yang lain terpaksa akur dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk terus kekal belajar di rumah. Makanya, banyaklah berita dan cerita yang dikongsi dan diluahkan guru, ibu bapa dan pelajar sendiri mengenai situasi mereka belajar di rumah, atau dikenali sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

Menurut definisi operasi PdPR di dalam Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2020), ‘Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah’ (PdPR) ialah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian. PdPR boleh dilaksanakan dalam talian dan/atau luar talian dan/atau ‘off-site’ dengan berstruktur dan terancang. PdPR secara dalam talian (online) boleh dilaksanakan apabila terdapat capaian Internet dan penggunaan peranti yang membolehkan murid belajar secara masa nyata (real-time).

Manakala PdPR secara luar talian (offline) pula berlaku apabila murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian Internet. Pembelajaran secara ‘off-site’ ialah kaedah pembelajaran yang berlaku di lokasi seperti di pusat komuniti, atau di mana-mana premis yang diisytiharkan sebagai pusat pemindahan sementara akibat bencana atau wabak. PdPR dilaksanakan apabila murid tidak dapat hadir ke sekolah dalam satu tempoh yang tertentu atas sebab bencana atau wabak atau sebab-sebab lain dengan kelulusan pendaftar negeri. Juga digariskan dengan terperinci peranan dan tindakan guru dalam melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang, supaya murid dapat mengikuti PdPR secara optimum.

Manual tersebut juga mencadangkan secara asas peranan ibu bapa/penjaga untuk:

(i) Membantu anak/anak jagaan mendapat maklumat berkaitan sesi PdPR ataupun arahan/tugasan/kerja rumah yang diberikan guru; dan

(ii) membantu anak/anak jagaan mengakses DELIMa, TV Pendidikan, EduwebTV (koleksi video) dan Cikgootube.

Pun begitu, setelah hampir seminggu sesi persekolahan dibuka, timbul kerisauan, rungutan, ketidakpuasan hati, sedih, ralat, kecewa, dilema, dan seribu satu rasa dalam kalangan ibu bapa dan penjaga mengenai PdPR ini. Antara masalah meruncing ialah ketiadaan peranti yang sesuai dan/atau mencukupi, data Internet yang terhad, liputan rangkaian mudah alih yang tidak baik, kekangan kerja ibu bapa pada siang hari dan hanya dapat fokus kepada pelajaran anak-anak selepas pulang dari pejabat, anak tidak faham apa yang diajar melalui video/kelas dalam talian, anak tidak mahu belajar kerana tidak kenal guru yang menyediakan video mata pelajaran tertentu, ‘tarikan’ peranti dan permainan dalam talian yang mengganggu fokus kepada pembelajaran, dan berbagai masalah lain.

Peranan Ibu Bapa dalam Sesi Pembelajaran Anak-anak ketika PdPR

Sebagai ibu bapa yang prihatin mengenai hal ehwal keluarga serta pendidikan dan masa depan anak-anak mereka, beberapa kaedah boleh dipertimbangkan bagi membantu menyokong PdPR anak-anak. Menurut Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Hj. Siraj, ciri keluarga idaman adalah (i) mampu meluahkan kasih sayang dan penghargaan, (ii) komitmen dan iltizam untuk menyokong satu sama lain, (iii) mampu melaksanakan komunikasi positif dan efektif, (iv) memperuntukkan masa berkualiti, (v) rumah sebagai tempat yang selamat dan (vi) kesejahteraan spiritual (mampu menangani stress dan konflik). Justeru, dalam konteks PdPR, kesemua ciri ini seharusnya dipraktik dan diperkemaskan agar entiti keluarga menjadi lebih harmoni dan kukuh.

Tidak disangkal lagi, ibu bapa adalah satu unit yang amat penting dalam memastikan kemenjadian sesebuah keluarga. Rosak ibu bapa, maka rosaklah keluarga, baik ibu bapa maka baiklah keluarga tersebut. Dalam konteks pendidikan, terutamanya di peringkat sekolah rendah, anak-anak kecil ini amat memerlukan bantuan, sokongan, perhatian, dorongan dan motivasi daripada ibu bapa ketika PdPR dan PKP agar mereka tidak ketinggalan dalam menerima ilmu yang sewajarnya di peringkat pendidikan rendah. Justeru, apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk membantu anak-anak mereka semasa PdPR? Antaranya ialah:

1. Belajar mengenai aspek teknikal dalam PdPR

Pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan teknologi PdPR ini bukan hanya penting kepada murid dan guru, malah juga ibu bapa dan ahli keluarga lain kerana PdPR melibatkan berbagai kaedah. PdPR dalam talian dan luar talian memerlukan penyediaan peranti yang sesuai seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar dengan capaian Internet. Suka atau tidak, mahir atau tidak, ibu bapa perlu mengambil tahu akan aspek teknikal ini. Misalnya pendaftaran akaun Google, mencari mata pelajaran dalam Google Classroom, melayari Cikgootube, mencari bahan di platform DELIMa atau 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia', sehinggalah kepada penyertaan anak-anak melalui kelas dalam talian dengan cara mengaktifkan mikrofon dan mod video.

2. Susun jadual waktu anak-anak dan ibu bapa

Setiap anak dibekalkan dengan jadual waktu PdPR. Jadi, ibu bapa perlu berbincang dan mengambil tahu jadual anak-anak dan kemudian disesuaikan dengan jadual ibu bapa. Ibu bapa yang bekerja dari rumah (work from home – WFH) dan yang bekerja di pejabat (work at office – WAO) berbeza jadual dan cabarannnya. Misalnya, ketika WFH, ibu bapa perlu menumpukan masa kepada kerja pejabat, memberi tumpuan kepada urusan PdPR anak-anak, menyediakan makanan untuk keluarga dan berbagai lagi tugasan yang tidak pernah selesai di rumah. Manakala WAO, ibu bapa masih perlu mengawal pergerakan dan perilaku anak-anak dengan kerap menghubungi mereka bagi memastikan anak-anak mengikuti sesi PdPR seperti yang dijadualkan, dan ibu bapa hanya dapat turut-serta dalam sesi PdPR setelah pulang dari pejabat. Jika tidak mampu menyediakan peranti/gajet berasingan untuk anak-anak, maka mereka boleh memaklumkan guru dan membantu anak-anak menyiapkan tugasan pada sebelah petang atau malam. Ada keluarga yang memiliki anak yang ramai, dan peranti yang terhad. Itulah sebabnya jadual penggunaan peranti amat penting disediakan dan semua ahli keluarga perlu dididik dengan disiplin yang tinggi untuk akur kepada jadual tersebut supaya kekal harmoni.

3. Maklumkan kepada guru dan/atau pihak sekolah mengenai kekangan yang dihadapi

Umum mengetahui berbagai cabaran dihadapi ibu bapa dalam mendepani pandemik ini, baik dari segi kewangan, sosial, psikologi dan lain-lain. Setiap individu dan keluarga ada kisah tersendiri, baik yang positif mahupun negatif. Jadi, terpulang kepada kita bagaimana mahu menanganinya. Jika ada kekangan yang tidak dapat diselesaikan berkaitan PdPR ini, adalah lebih baik ibu bapa memaklumkan kepada guru atau pihak sekolah. Pihak yang berwajib tidak akan tahu kekangan dan masalah jika kita tidak berkongsi dengan mereka. Jangan berdiam diri sahaja, menunggu bantuan tiba tanpa diberitahu kekangan itu kepada pihak yang boleh membantu. Guru, pihak sekolah dan PIBG amat prihatin dalam memastikan kebajikan murid dan sedaya mungkin memberikan setiap murid akses sama rata kepada PdPR.

4. Beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak sekolah dan guru bagi setiap mata pelajaran

Setiap kaedah pembelajaran ada kekuatan dan kelemahannya, termasuklah PdP bersemuka dan PdPR. Jadi, ibu bapa perlu sentiasa bertolak ansur dengan para guru dan pihak sekolah bagi memastikan sesi PdPR berjalan lancar. Perlu ada sikap “beri dan terima” (give and take), mempunyai sifat empati, memberi masa kepada guru jika guru lewat memberi tugasan/bahan atau terlambat membalas mesej, bertolak ansur dalam semua perkara dan situasi, dan menyokong kaedah PdPR yang digunakan guru. Jangan hanya tahu menuding jari kepada guru dan pihak sekolah, tanpa kita sebagai ibu bapa memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi.

5. Struktur semula kewangan keluarga, dengan memperuntukkan simpanan dan perbelanjaan untuk peranti dan bil Internet

PdPR menuntut penyediaan perkakasan dan perisian yang secukupnya bagi membolehkan anak-anak menyertai semua aktiviti dengan berkesan. Peranti seperti komputer riba, tablet, dan telefon pintar bukanlah murah, terutama bagi keluarga yang terkesan akibat penularan COVID-19 ini. Selain peranti, urusan penyenggaraan dan pembayaran data Internet juga menjadi satu isu yang perlu ditangani secara berhemah. Justeru, ibu bapa perlu mengambil inisiatif dengan menstrukturkan semula kewangan keluarga dengan cara memperuntukkan simpanan untuk tujuan PdPR ini. Jika tidak dimulakan inisiatif ini, lama-kelamaan masalah teknikal akan menjadi semakin meruncing.

6. Menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan sesuai

Ada ketikanya guru mengadakan kelas dalam talian menggunakan aplikasi tertentu seperti Google Meet atau Zoom, jadi ruang yang sesuai amat perlu bagi membolehkan anak-anak dapat mendengar dan fokus kepada sesi berkenaan dan tidak diganggu oleh bunyi persekitaran. Selain itu, anak-anak juga memerlukan meja dan kerusi yang sesuai dengan fizikal dan menyokong postur badan. Ibu bapa juga perlu pastikan sistem pencahayaan dan pengudaraan yang memuaskan serta alat tulis dan kelengkapan belajar mencukupi.

7. Adab, tatacara dan etika berkomunikasi di media sosial

Berinteraksi dalam media sosial sama seperti interaksi bersemuka, memerlukan kita tahu mengenai adab, tatacara dan etika yang betul. Kita amat memerlukan media sosial bagi mengetahui keperluan PdPR anak-anak. Misalnya, guru kelas akan menubuhkan kumpulan WhatsApp dan Telegram, mengadakan kelas dalam talian melalui Google Meet, dan menyediakan tugasan mengikut kursus melalui Google Classroom. Jadi, ibu bapa seharusnya lebih peka dan cakna mengenai adab ketika berinteraksi dengan guru dan ibu bapa lain dalam media sosial dan media pembelajaran ini. Misalnya, jika ada soalan yang difikirkan peribadi, lebih baik bertanya terus kepada guru berkenaan, bukannya di dalam medium berkumpulan seperti kumpulan WhatsApp kelas. Juga, perlu elakkan bertanya soalan yang sama berulang kali, atau memberi komen berunsur hasutan atau hinaan. Ibu bapa juga perlu lebih peka mengenai perkongsian maklumat bagi mengelakkan berita palsu. Jika ada hebahan daripada pihak sekolah, tunggu sehingga guru yang membuat pengesahan dan rujuk perkongsian guru, bagi memastikan kesahihan maklumat. Sebelum mengaktifkan mod video ketika kelas melalui Google Meet, pastikan menutup aurat dan peka dengan apa yang dipaparkan dalam bingkai skrin. Ini bagi mengelakkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna lain.

Kesimpulannya, pelaksanaan PdPR tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa kerjasama holistik daripada semua pihak yang terlibat, sama ada pihak atasan seperti KPM, JPN, dan PPD, sehinggalah kepada pihak sekolah, guru, ibu bapa atau penjaga, dan komuniti secara keseluruhannya. Hatta pengawal keselamatan di sekolah juga memainkan peranan penting dalam memastikan urusan keselamatan di sekolah terkawal dan semua patuh SOP ketika berada di sekolah. Memang kita semua berada dalam situasi yang meletihkan, merimaskan dan menguji kesabaran, namun “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Semua pihak perlu bersatu hati ketika ini bagi memastikan kemenjadian generasi muda dan kelangsungan sistem pendidikan negara kita.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid merupakan Ketua Unit Penyelidikan Civic Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Bendahari, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)