Komunikasi kesihatan memainkan peranan yang besar untuk mempromosikan kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Hal ini amat penting kerana menerusi perspektif Agenda Pembangunan Lestari 2030 (SDGs), pandemik COVID-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk dunia malah turut meningkatkan masalah lain seperti peningkatan masalah kemiskinan sejagat, keganasan dan penderaan dalam rumah khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak, peningkatan kadar jenayah seperti rompakan dan sebagainya yang pada akhirnya menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat.
Peranan media sosial
Kewujudan media sosial masa kini jelas memudahkan proses komunikasi kesihatan antara penghantar dan penerima mesej kesihatan seperti COVID-19.
Dalam situasi pandemik COVID-19 hari ini, penghantar mesej seperti pihak kerajaan, saintis mahupun pengamal kesihatan dilihat begitu aktif dalam menyampaikan informasi-informasi berkenaan COVID-19 kepada masyarakat menerusi pelbagai platform media sosial.
Malahan, dengan adanya media sosial, ramai individu terutamanya pesakit atau keluarga terdekat yang dijangkiti COVID-19 turut telah tampil dalam berkongsikan pengalaman mereka dalam menghadapi pandemik ini.
Ianya termasuklah video-video tular pesakit yang amat menjentik emosi masyarakat seperti mereka yang terlantar sakit di hospital, kehilangan ahli keluarga terdekat dan sebagainya.
Tidak kurang juga perkongsian menerusi video atau gambar petugas-petugas barisan hadapan yang amat tegar mengharungi tugas seharian mereka demi memastikan pandemik COVID-19 ini terkawal di Malaysia.
Perkongsian maklumat
Informasi-informasi sebegini amat penting untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang keseriusan pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama boleh membuka mata mereka yang skeptik terhadap kewujudan COVID-19.
Dalam erti kata yang lain, menerusi penyampaian informasi berkenaan COVID-19 khususnya dalam kalangan mereka yang dijangkiti COVID-19 juga dapat membetulkan persepsi buruk sesetengah masyarakat yang menganggap pandemik ini hanyalah propaganda semata-mata.
Persepsi seperti ini perlu dibetulkan bagi memudahkan masyarakat untuk bekerjasama dalam mengurangkan kes jangkitan COVID-19 yang jelas begitu serius dan mengancam nyawa.
Melalui informasi-informasi penting yang disalurkan tentang bahaya COVID-19, ianya juga diharapkan bukan sahaja dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan malah turut dapat mengubah tingkah laku masyarakat seperti sentiasa memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, tidak bersalaman dan menjaga jarak, tidak berkunjung ke tempat yang sesak, mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sebagainya.
Sungguhpun begitu, harus juga diketahui bahawa kebanjiran informasi tentang COVID-19 juga boleh berlaku dalam era media sosial hari ini.
Infodemic
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggunakan terma infodemic untuk menggambarkan tentang kebanjiran informasi tentang pandemik COVID-19 yang dikatakan sebagai pandemik yang berlaku dalam era ledakan teknologi dan media sosial.
Kebanjiran informasi ini menjadi bahaya apabila adanya informasi-informasi yang salah dan palsu yang dikongsi secara meluas sehingga mencetuskan kegusaran dan kepanikan dalam kalangan masyarakat yang tidak perlu.
WHO juga menyifatkan infodemic atau kebanjiran informasi tentang COVID-19 sebagai satu ancaman bagi menangani pandemik ini oleh sesebuah negara kerana ianya jelas sama bahaya dengan pandemik itu sendiri.
Bagi mendepani cabaran infodemic, pada peringkat antarabangsa, United Nations misalnya telah mewujudkan laman sesawang khas (https://www.un.org/en/coronavirus) yang menyediakan maklumat terkini dan sahih tentang COVID-19 bagi masyarakat global.
Manakala, di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menyediakan laman sesawang seperti COVID-19 Malaysia (http://covid-19.moh.gov.my) yang padat dengan maklumat-maklumat penting COVID-19 di negara ini termasuklah maklumat terkini tentang jumlah kes jangkitan harian. Malah platform media sosial turut dimanfaatkan oleh KKM bagi memastikan masyarakat mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.
Justeru, masyarakat perlulah bijak menapis dan memilih informasi kesihatan seperti COVID-19 dari sumber yang sahih sebelum menyebarkannya kepada orang lain agar tidak menjadi mangsa infodemic ini.
Selain itu, bagi memastikan mesej tentang COVID-19 ini dapat disampaikan secara efektif, penyampai informasi perlulah cakna tentang beberapa aspek penting termasuklah menyampaikannya dengan bahasa yang mudah difahami, menggunakan visual yang menarik dan menghubungkaitkan mesej dengan penerima iaitu masyarakat (kedekatan mesej).
Komunikasi kesihatan secara prinsipnya perlulah dilakukan secara berterusan dan tidak seharusnya terhenti mengikut musim tetentu sahaja. Diharapkan pada masa akan datang, maklumat-maklumat seperti pandemik COVID-19 dapat terus dikomunikasikan dari semasa ke semasa sungguhpun selepas pandemik ini terkawal agar kecelikan maklumat tentang kesihatan dalam kalangan masyarakat dapat terus ditingkatkan.
-- BERNAMA
Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia