TINTA MINDA

KEMAHIRAN MELAKAR ARAS TINGGI BENTUK GENERASI STEM DINAMIK, PROGRESIF

07/04/2021 10:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Ruzaimi Mat Rani

Masyarakat kita masyarakat visual. Kita tidak boleh lari daripada visual dalam kehidupan seharian. Visual digunakan dalam tiga domain utama iaitu proses berfikir, berkomunikasi dan melaksanakan sesuatu perkara. Kesemuanya bertujuan untuk mencapai objektif yang dirancang.

Masyarakat kita juga tidak boleh lari daripada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Generasi kini dan akan datang perlu mempelopori STEM untuk memastikan negara terus maju. Ia perlu menjadi agenda penting negara. Perancangan yang jelas perlu dibuat untuk memastikan STEM mampu bertapak kukuh dalam masyarakat.

Kemahiran melakar aras tinggi

Apakah perkaitan kemahiran melakar untuk membentuk generasi STEM dinamik dan progresif? Asas visual ialah lakaran. Manakala kemahiran melakar adalah perbuatan yang sangat diperlukan untuk menghasilkan visual secara mudah, cepat dan efektif. Kemahiran ini sangat diperlukan dalam tiga domain yang dinyatakan di atas.

Kemahiran melakar sangat diperlukan dalam domain proses berfikir. Ia digunakan untuk menzahirkan idea-idea bijak dan kreatif STEM. Proses berfikir akan menjadi lebih cekap. Kemahiran berfikir akan gagal jika kita tidak mampu menzahirkan idea-idea bijak dan kreatif secara cekap. Bayangkan generasi STEM tidak mempunyai kemahiran lakaran ini, pastinya hasil STEM yang diperolehi tidak akan mencapai tahap yang optimum.

Domain komunikasi juga sangat memerlukan kemahiran melakar. Generasi STEM perlu cekap menyampaikan idea-idea bijak dan kreatif untuk memastikan proses melaksana dapat berlaku dengan cekap. Generasi STEM juga perlu diperlengkapkan dengan kemahiran melakar aras tinggi (Higher Order Visualization Skills- HOVS) untuk membolehkan mereka menzahir dan menyampaikan idea-idea tahap tinggi untuk menyokong proses berfikir aras tinggi (KBAT). Bijak KBAT sahaja tidak mencukupi kerana tanpa kemahiran menzahir dan menyampaikan idea-idea bijak dan kreatif , STEM akan menjadi sia-sia sahaja.

Setelah proses menzahir dan menyampaikan idea-idea STEM berjaya, kemahiran melakar sangat diperlukan dalam domain proses melakasana. Ia diperlukan dalam memastikan idea-idea yang dirancang dapat realisasikan dengan sempurna berdasarkan lakaran visual yang dihasilkan.

Banyak kajian yang telah dijalankan di seluruh dunia mengatakan kemahiran melakar sangat diperlukan oleh masyarakat. Cuba taip di carian internet “Why kids should draw more?”. Penerangan menggunakan visual yang sangat jelas dan mudah difahami tentang kepentingan lakaran kepada kanak-kanak. Generasi STEM perlu bermula dengan kanak-kanak. Pendedahan awal tentang lakaran sangat penting kepada mereka untuk membolehkan kemahiran motor halus dapat dikuasai sepenuhnya.

Apakah impak jika generasi STEM tidak mahir melakar? Semua orang mahir melakar tetapi pada aras rendah. Kebanyakan kita tidak mahir melakar aras tinggi (HOVS) iaitu kemahiran melakar yang perlu dilatih secara sistematik untuk memboleh kita menzahirkan idea-idea minda cipta secara cekap. Impak paling jelas ialah kita hanya mampu menjadi generasi STEM pengguna (STEM users) dan bukan generasi STEM Pencipta (Creator atau Inventor). Ia kerana kita tidak mampu menzahir dan menyampaikan idea-idea KBAT secara berkesan.

Revolusi industri

Kesemua teknologi tercanggih ciptaan manusia bermula dengan lakaran manual sebelum ia dipindahkan dalam bentuk digital. Lakaran-lakaran yang dihasilkan inilah yang mencetuskan semua revolusi industri yang berlaku sehingga hari ini. Asas Revolusi Industri 4.0 juga bermula dengan mencipta yang memerlukan kemahiran lakaran sebagai teras kemahiran utama.

Adakah generasi STEM mempunyai pilihan untuk tidak mahir kemahiran melakar aras tinggi? Kita tidak ada pilihan jika kita ingin membangunkan generasi STEM yang mahir mencipta sebagai teras kepada Revolusi Industri 4.0. Walaupun kita di era digital, kita masih dan amat memerlukan kemahiran melakar secara manual. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, teknologi tercanggih ciptaan manusia memang bermula dengan lakaran manual.

Apakah solusi besar yang boleh kita lakukan untuk membudayakan kemahiran melakar aras tinggi kepada generasi STEM di Malaysia? Mudah sahaja dengan menjadikan subjek Pendidikan Seni Visual sebagai subjek teras. Ia memerlukan beberapa perubahan struktur kepada subjek tersebut. Seterusnya menjadikan guru-guru Pendidikan Seni Visual jurulatih terlatih kepada kemahiran melakar aras tinggi.

Akhirnya kita akan dapat mewujudkan generasi STEM yang menguasai lima kemahiran terpenting (5M) iaitu bermula dengan kemahiran melakar, menulis, membaca, mengira dan menaakul. Kemahiran melakar akan menjadikan generasi STEM yang seimbang antara seni dan Sains.

-- BERNAMA

Dr Ruzaimi Mat Rani merupakan pengasas Kursus Mahir Melakar Gaya FVS secara dalam talian dan ahli National STEM Association (NSA)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)