Berdasarkan penyelidikan, dianggarkan 90 peratus perniagaan yang dibangunkan akan gagal dalam tempoh tiga tahun kerana kompetensi keusahawanan yang rendah, kekurangan pengalaman, modal pusingan yang rendah dan pengurusan yang tidak baik. Statistik ini menyebabkan wujudnya trauma yang besar dalam diri masyarakat, terutamanya Bumiputera untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.
Keusahawanan dan Ekonomi
Pembangunan ekonomi negara antara lain bergantung kepada golongan yang mengejar peluang-peluang ekonomi berserta keupayaan menggembleng faktor-faktor pengeluaran. Keupayaan ini ada kaitannya dengan individu yang berorentasikan keusahawanan melalui daya inovatif, proaktif dan sanggup mengambil risiko melalui kegiatan keusahawanan sebagai usaha yang dapat membangunkan ekonomi. Justeru, seseorang usahawan dianggap sebagai pengubahsuai yang tidak akan membiarkan sistem ekonomi berada dalam suasana beku.
Dari segi mikro, implikasi daripada kejayaan pembaharuan dan pembangunan ekonomi ini akan mampu meningkatkan kehidupan seseorang atau masyarakat keseluruhannya. Rezeki yang mencukupi dan melebihi (melimpah) akan menyumbang ke arah kehidupan dan kemakmuran bersama. Hubungan keusahawanan dengan rezeki melimpah ini membuktikan pentingnya kompetensi keusahawanan. Keusahawanan meningkatkan kualiti kehidupan dengan penemuan demi penemuan yang tentunya meluaskan lagi pilihan pengguna. Justeru, keusahawanan mampu meluaskan lagi peluang mata pencarian seseorang atau sesebuah organisasi.
Daripada segi makro pula, keusahawanan mampu menyumbang ke arah peningkatan produktiviti kebangsaan. Justeru, ia membantu ke arah pengagihan pendapatan yang lebih saksama. Keusahawanan juga membawa kebaikan melalui pengembalian sejumlah pendapatan kepada negara dalam bentuk pengembalian wajib mahu pun pengembalian sukarela.
Bagaimanapun, keupayaan dan kejayaan keusahawanan yang dinyatakan bergantung kepada kompetensi seseorang usahawan. Kompetensi keusahawanan yang dimaksudkan adalah kemampuan seseorang untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan. Kompetensi atau kemampuan diri berbeza daripada istilah kemahiran kerana ia wujud hasil daripada pengaruh nilai-nilai hidup, sikap dan dorongan atau desakan dalaman diri seseorang itu untuk melakukan tugasnya dengan sempurna dan penghasilan kerja yang cemerlang.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kopetensi keusahawanan ini bertunjangkan kepada tiga dimensi utama iaitu nilai inovatif, proaktif dan mengambil risiko. Oleh itu, bersesuaian dengan matlamat ke arah keupayaan ini, dicadangkan bahawa seseorang yang ingin menceburi bidang keusahawanan boleh belajar mengenai disiplin pelaburan dalam pasaran saham.
Kompetensi Keusahawanan dan Pelaburan Saham
Nilai-nilai hidup yang dipegang mempengaruhi proses kognitif, isi kandungan kognitif seseorang dan arah tujuan dalam proses membuat keputusan seharian. Andai kata seseorang memperolehi RM5,000 wang tambahan, apakah keputusan yang bakal dilakukan? Bagi insan yang berfikiran sempit, mereka akan membelanjakan wang itu ke tempat yang tidak memberikan keuntungan. Seperti membeli produk yang tidak diperlukan atau lebih dikenali sebagai liabiliti. Liabiliti adalah item yang mengeringkan wang poket kita tanpa memberi sebarang pulangan, sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Bagi insan yang mempunyai kompetensi keusahawanan, mereka akan memikirkan cara yang akan dapat menggandakan wang itu supaya menjadi lebih banyak.
Secara umumnya, bagi yang mempunyai kompetensi keusahawanan, mereka akan mencari jalan untuk menggandakan wang supaya dapat menjamin kelangsungan hidup dalam tempoh 20 hingga 50 tahun akan datang. Pelaburan di pasaran saham mungkin menjadi pilihan yang terbaik berbanding beberapa instrumen pelaburan yang lain seperti hartanah, emas, insurans, unit amanah, bon dan lain-lain lagi.
Antara kebaikan atau ciri-ciri pelaburan saham yang mampu membangkitkan kompetensi keusahawanan ialah:
Pemilikan Ekuiti
Ekuiti adalah saham-saham yang diterbitkan oleh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Setiap saham yang kita miliki bermaksud kita mempunyai hak eksklusif atau kepentingan dalam syarikat itu. Apa yang menarik di sini adalah pulangannya boleh melebihi 10 peratus setahun dan ada juga pelabur tegar yang berjaya memperolehi lebih dari 80 peratus setahun. Keupayaan ini mampu dicapai dengan syarat, kita membeli saham dengan cara yang bijak dan berilmu – justeru membangkitkan kompetensi keusahawanan. Menerusi pelaburan dalam pasaran saham, kita bukan sahaja mengambil peluang untuk menggandakan wang, malah kita juga akan belajar bagaimana untuk meniliti dan menganalisa beberapa faktor penting yang akan memberi kesan ke atas pelaburan.
Dalam erti kata lain, pelaburan dalam pasaran saham mendidik kita untuk menjadi insan yang celik tentang isu pengurusan kekayaan – justeru membangkitkan kompetensi keusahawan.
Perniagaan dan Tenaga Manusia
Tidak semua orang mampu untuk menggandakan wang menerusi perniagaan yang diuruskan sendiri. Itu adalah hakikat yang perlu ditelan. Walaupun perniagaan merupakan sumber pendapatan yang terbaik, namun begitu peniaga tidak mempunyai sebarang jaminan bahawa perniagaan yang mereka jalankan pasti akan berjaya. Dalam pelaburan saham, kita sebenarnya membeli sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran (Bursa Malaysia) melalui saham yang dibeli. Apabila kita membeli syer atau saham, kita bukan sekadar membeli unit atau item, hakikatnya adalah kita membeli sebahagian kecil dari sesebuah syarikat. Ini bermaksud, kita mempunyai hak pemilikan dalam syarikat tersebut.
Kita juga sebenarnya membeli tenaga kerja manusia yang menggerakkan aktiviti syarikat tersebut. Oleh itu, pergerakan turun naik harga sesuatu saham itu juga bergantung kepada prestasi syarikat. Sebagai pelabur yang memiliki saham di sesebuah syarikat, kita sebenarnya tidak perlu risau dan takut kerana kita tidak dipaksa untuk menguruskan syarikat tersebut. Tanggungjawab untuk mengurus syarikat itu digalas ketua pegawai eksekutif dan barisan pengurusan.
Jika syarikat itu untung maka kita pun akan turut menerima keuntungan dan begitu juga sebaliknya. Namun begitu, keuntungan yang diagihkan adalah tertakluk kepada jumlah pegangan saham dan diberi secara pemberian dividen tunai kepada pelabur. Pada kebiasaannya, sekiranya syarikat rugi, kesannya kepada pelabur adalah mereka tidak akan menerima dividen dan berlaku penurunan pada harga saham.
Sehubungan itu, memilih syarikat yang mempunyai prestasi yang baik adalah satu keutamaan. Dengan mempunyai pengetahuan asas ini, kita sebenarnya sudah pun boleh dianggap berjaya dalam membangkitkan kompetensi keusahawanan.
Risiko
Keseimbangan antara risiko dan ganjaran berkait rapat dengan setiap keputusan pelaburan yang dibuat. Apabila membeli atau menjual sesuatu produk pelaburan, kita sentiasa menghadapi risiko kemungkinan mengalami kerugian. Cuma, tahap risiko itu berbeza-beza antara satu produk dengan produk yang lain. Jika dibandingkan dengan medium pelaburan lain, pelaburan di pasaran saham mempunyai potensi keuntungan yang lebih tinggi dan lumayan kepada pelabur yang bijak mengambil peluang.
Tidak ada sebarang ketetapan terhadap peratusan keuntungan untuk pelaburan di pasaran saham melainkan sasaran keuntungan yang ditetapkan oleh pelabur itu sendiri. Bagaimana pun, pasaran saham dan harga saham itu sendiri boleh naik dan turun dengan mendadak. Oleh yang demikian, kita masih lagi tertakluk kepada risiko yang bersangkutan dengan aktiviti di pasaran saham.
Pengertian risiko dalam aspek pelaburan saham adalah kemungkinan mengalami kerugian apabila apa yang dijangkakan tidak menjadi kenyataan. Contohnya, apabila seseorang pelabur yang menjangkakan bahawa ia akan mendapat pulangan sebanyak 10 peratus dalam pelaburannya, maka kemungkinan untuk mendapat pulangan yang kurang daripada itu atau negatif (rugi) boleh terjadi. Seperti yang diketahui, semakin tinggi kadar pulangan yang dijangka diperolehi, risiko yang bakal ditempuhi juga tinggi.
Risiko juga boleh dikatakan sebagai satu peluang untuk rugi atau satu kemungkinan berlakunya sisihan antara pulangan yang dijangka dan pulangan yang diterima oleh seseorang pelabur dalam jangka masa tertentu. Bagaimanapun, untuk mendapat keuntungan atau pulangan daripada pelaburan, adalah mustahil jika seseorang yang ingin membuat pelaburan itu ingin mengelak daripada sebarang risiko. Maka, pengambilan risiko yang dimaksudkan adalah risiko boleh kira berasaskan konsep pengurusan risiko.
Pengurusan risiko adalah suatu proses yang sistematik untuk mengenal pasti dan menilai risiko yang mungkin dihadapi oleh individu atau organisasi. Langkah seterusnya ialah memilih dan melaksanakan teknik pengendalian risiko yang paling sesuai untuk mengawasi risiko yang telah dikenal pasti selaras dengan matlamat dan objektif individu atau organisasi tersebut.
Berdasarkan kepada definisi tersebut, apa yang penting ialah suatu risiko itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum ianya dinilai. Setelah implikasinya dikaji serta dibuat penilaian, maka barulah langkah-langkah yang sesuai untuk mengurus risiko dipilih untuk dilaksanakan. Oleh itu, pengurusan portfolio akan dilakukan untuk menguruskan risiko pelaburan saham.
Dalam erti kata lain, pelaburan saham ini adalah berbentuk intelektual. Ini kerana sebelum meletakkan wang pada mana-mana syarikat, kita perlu mengkaji terlebih dahulu tentang maklumat penting perniagaan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi. Lantaran, mengurus keterdedahan pelaburan kita ke atas risiko yang mungkin membawa kepada kerugian. Kebijaksanaan yang tercapai dalam menguruskan risiko pelaburan saham ini adalah sesuatu yang boleh membangkitkan kompetensi keusahawanan.
Penggandaan Pulangan
Syarikat memerlukan wang sebagai modal untuk terus maju dalam bidang yang diceburi. Oleh yang demikian, tugas kita sebagai pelabur saham adalah memberikan wang modal itu. Apabila syarikat itu berkembang dengan baik, maka pulangannya akan dikembalikan semula kepada kita sebagai pelabur dan pemilik minoriti syarikat.
Bagi seseorang yang mempunyai kompetensi keusahawanan yang rendah, istilah penggandaan pulangan boleh memerangkap mereka ke jerat skim cepat kaya. Skim cepat kaya sama ada skim Piramid atau skim Ponzi mahu pun yang berbaur skim cepat kaya selalunya menjanjikan keuntungan atau pendapatan yang sangat besar hanya dengan penajaan ahli. Bagaimanapun, terdapat kekaburan 'dari mana' atau 'bagaimana' pendapatan tersebut diperolehi.
Skim ini bukan pelaburan tetapi perjudian. Di penghujung episod, skim ini selalunya berakhir dengan cerita sedih iaitu wang lesap. Skim cepat kaya adalah salah daripada segi undang-undang.
Kelebihan yang boleh diperolehi melalui pelaburan di pasaran saham adalah potensi untuk mengaut pulangan yang lebih banyak dengan lebih bebas. Untuk menjadi pelabur saham yang berjaya, perlu ada kemahiran untuk melakukan siasatan bagi membuat kesimpulan yang jelas berhubung saham sesebuah syarikat. Kita tidak sesekali perlu memperjudikan nasib semata-mata untuk berjaya. Dengan itu, tuntutan disiplin penggandaan pulangan dalam pelaburan saham ini mampu membangkitkan kompetensi keusahawanan.
Pelaburan ialah penukaran wang yang sedikit pada masa sekarang untuk wang yang lebih banyak pada masa hadapan sambil mengurangkan risiko dengan mengambil kira peruntukan aset, kepelbagaian dan lain-lain. Ia bererti bahawa semua pelaburan adalah berkaitan dengan penukaran wang iaitu wang yang ada sekarang adalah untuk masa hadapan.
Berdasarkan kepada definisi tersebut, maka dapatlah dikaitkan dengan pelabur yang bijak dalam pelaburan iaitu berusaha menukarkan wangnya yang sedikit pada masa sekarang untuk mengaut wang yang banyak pada masa hadapan, pada waktu yang sama ia menguruskan risiko.
Melalui pengertian ini, dapatlah dikaitkan bahawa disiplin pelaburan saham mampu membangkitkan kompetensi keusahawanan dalam kompetensi perilaku, kompetensi memulakan perniagaan dan juga kompetensi menguruskan perniagaan.
-- BERNAMA
Oswald Timothy Edward merupakan Pensyarah Kanan (Pengurusan Risiko), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA, Johor