Oleh Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan
Dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh (lockdown) disebabkan COVID-19, proses pembelajaran juga berubah selari amalan norma baharu. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian memberikan pelbagai cabaran kepada guru dan pelajar. Selain masalah capaian internet yang perlahan, sesi pembelajaran perlu menarik dan menyeronokkan.
Justeru itu, STEM ChesuTi yang dibangunkan sebagai alat bantuan mengajar, mampu memudahkan proses pembelajaran matematik. Kit interaktif berasaskan permainan catur dan kad Yu-Gi-Oh ini juga memenuhi keperluan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Ia sesuai digunakan untuk membantu meningkatkan pemahaman dan minat pelajar khususnya topik transformasi isometri.
Keistimewaan Kit STEM ChesuTi
Matematik merupakan mata pelajaran yang kritikal dalam sistem pendidikan hari ini. Minat pelajar juga sering terganggu kerana proses pembelajaran yang banyak bergantung kepada pemahaman konsep dan kerap melakukan latihan.
Menurut Panorkou dan Maloney (2015), pembelajaran di dalam bilik darjah akan menjadi terhad sekiranya hanya bergantung kepada pemerhatian gambar statik geometri kerana ia membatasi pemahaman.
Sehubungan itu, kit permainan STEM ChesuTi berupaya membantu meningkatkan pemahaman pelajar menguasai topik transformasi isometri secara interaktif dan mudah. Ia juga mampu melahirkan pelajar yang aktif dan berdaya saing untuk menimba ilmu pengetahuan.
Tingkatkan Minat Pelajar Terhadap Matematik
Proses PdPR memerlukan alat bantuan mengajar dan bahan yang menarik serta berkonsepkan permainan. Kaedah ini mendorong pelajar untuk menyelesaikan masalah secara kreatif dan berstrategi. Penggunaan kit STEM ChesuTi berupaya menimbulkan minat pelajar terhadap matematik, malah menjadikan proses pembelajaran itu mudah dan seronok.
Kit berasaskan Permainan Catur Transformasi (CaT) ini mempunyai gabungan elemen interaktif yang mengukuhkan konsep pantulan, putaran, dan translasi dalam topik transformasi isometri. Pembentukannya adalah adaptasi daripada permainan catur, kad Yu-Gi-Oh dan pembelajaran matematik.
Selain itu, ChesuTi dibangunkan berasaskan model instruksi ADDIE, sebagai panduan bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan mencapai tahap yang dikehendaki. Model ADDIE adalah reka bentuk instruksi asas yang boleh diintegrasikan dalam apa juga strategi pembelajaran.
Kit Permainan Interaktif Pilihan Ibu bapa, Guru dan Pelajar
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar, permainan yang menarik ini sesuai dimainkan individu pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak. Kit yang mudah dibawa kerana saiznya yang kecil, juga sesuai digunakan untuk aktiviti masa lapang bersama rakan dan keluarga. Kit permainan yang menggunakan kad ini mampu meningkatkan pemahaman dan kemahiran berfikir, khususnya dalam merangka strategi untuk memenangi suatu pertandingan.
Selain bersifat interaktif, ibu bapa berpendapat permainan ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Mereka bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama anak-anak, malahan memahami konsep mata pelajaran matematik.
Sementara itu, golongan pendidik berpendapat bahawa kit STEM ChesuTi mempunyai kelebihan dalam aspek membantu pelajar memahami topik transformasi isometri. Walaupun terdapat pelajar yang belum mempelajari topik berkenaan tetapi mereka masih boleh melakukannya kerana arahan yang jelas dan mudah.
Kit permainan yang dihasilkan penulis terbukti berkesan apabila ia turut mendapat Anugerah Emas di Ekspo Teknologi Malaysia 2021. Produk yang berjaya menarik perhatian ramai pelajar, guru dan ibu bapa ini turut menjadi pilihan utama bidang pendidikan matematik.
Kit Menepati Keperluan Pembelajaran
Kit STEM ChesuTi mempunyai kandungan menepati kehendak KSSM dan standard pembelajaran matematik, sesuai dengan tahap keupayaan, kemampuan dan pengalaman murid. Kit permainan pembelajaran ini mampu membantu guru-guru menangani masalah pelajar yang lemah dalam menguasai konsep asas topik transformasi isometri.
Selain itu, inovasi yang dihasilkan dalam pendidikan matematik ini diharap dapat diteruskan dan dikembangkan ke tahap permainan digital. Sekiranya ia direalisasikan, pastinya dapat pengukuhkan pembelajaran dalam topik transformasi isometri dan mutu pendidikan khususnya mata pelajaran matematik berjaya ditingkatkan.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan ialah pensyarah di Jabatan Matematik, Fakulti Sains Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Ketua Penyelidik bagi Projek Komik STEM UPSI, KPM USM Perak.