KETAMADUNAN

INSAN BERILMU PEMACU PERPADUAN

23/07/2021 09:32 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Jennifah Nordin

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique sebelum ini pernah menyeru supaya rakyat menghormati budaya orang lain sekiranya mahu budaya sendiri dihormati. Nasihat ini ada kaitan dengan isu pakaian tradisional bangsa Iban yang dipersenda oleh seorang Youtuber terkenal di Malaysia.

Penulis berpendapat kelekaan, kecuaian dan ketidakpekaan terhadap budaya bangsa atau etnik lain dapat diatasi dengan melihat dua komponen penting iaitu: menjadi insan yang berilmu dan menjadi institusi yang menyumbangkan ilmu.

Kepelbagaian perayaan dan ilmu mengenai budaya

Pada 30 dan 31 Mei setiap tahun Sabah meraikan Pesta Kaamatan yang disambut oleh etnik Kadazandusun dan 1 Jun pula masyarakat Sarawak meraikan Hari Gawai yang disambut oleh etnik Dayak. Pesta Kaamatan juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan atau sinonim dengan ucapan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” atau “Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan”.

Manakala Hari Gawai pula sinonim dengan ucapan “Gayu Guru Gerai Nyamai”. Ketika pesta ini diadakan pelbagai ciri, dan budaya etnik ditampilkan seperti baju tradisional, makanan tradisional, alat muzik tradisional, bahasa etnik dan acara kebudayaan.

Selain kedua-dua perayaan tersebut, negara kita yang kaya dengan pelbagai kaum merayakan pelbagai perayaan lain seperti perayaan Baru Cina, Wesak,Thaipusam dan Krismas. Setiap perayaan ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan keunikannya.

Malahan perbezaan budaya juga dirasai berdasarkan geografi atau negeri. Umpamanya, negeri Kelantan terkenal dengan Mak Yongnya dan negeri Pulau Pinang terkenal dengan Borianya. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berbangga dengan pelbagai kaum dan budaya yang diraikan bersama-sama.

Semua kaum sewajarnya mempelajari pelbagai budaya di Malaysia bagi mewujudkan persefahaman dan sikap saling menghormati. Perayaan seumpama ini boleh dijadikan peluang untuk mendapatkan lebih banyak ilmu tentang budaya sesuatu kaum. Untuk mendapatkan ilmu kita perlu membuat kajian.

Caranya dengan membaca, melihat dan menyertai perayaan atau pesta berkenaan. Bukan semata-mata melalui pendidikan formal sahaja. Untuk memahami budaya pelbagai kaum, memadai melalui pendidikan informal dan santai seperti hadir sendiri ke Pesta Kaamatan dan sebagainya.

Cara ini juga mampu mewujudkan rasa kebersamaan antara pelbagai kaum. Pada zaman teknologi dan pelbagai media sosial seperti seperti Youtube, Instagram, Facebook, Twitter, masyarakat dapat memperoleh banyak ilmu dengan cepat kerana kesemuanya ada dihujung jari.

Pendekatan tepat sampaikan dasar-dasar mengenai perpaduan

Di samping itu kementerian dan industri yang terlibat seperti kementerian Perpaduan Negara; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan MultiMedia perlu membuat usaha berterusan dalam memberikan ilmu dan melaksanakan program yang dapat memacu ke arah perpaduan kaum.

Setiap kementerian ini mempunyai dasar yang sangat terperinci serta jelas dan berkait rapat dengan konsep perpaduan.

Contohnya strategi kedua dalam teras perpaduan kedua, dan dasar perpaduan negara yang kedua yang merujuk kepada identiti nasional menekankan usaha pengukuhan kefahaman, budaya dan adat resam pelbagai etnik.

Manakala salah satu objektif dasar kebudayaan kebangsaan adalah untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan. Maka dasar-dasar ini harus sampai dan difahami oleh seluruh peringkat masyarakat iaitu golongan kanak-kanak, remaja, generasi muda, belia dan warga tua.

Justeru, perlu ada mekanisme yang mudah, santai dan kreatif untuk menyampaikan dasar-dasar yang telah dibuat. Animasi kartun atau maklumat yang berbentuk infografik yang pastinya lebih menarik perhatian boleh dilakukan untuk mencuri perhatian masyarakat terutamanya generasi muda untuk memahami maksud setiap dasar itu secara terperinci dan mewujudkan budaya mencintai kepelbagaian budaya.

Kesimpulannya dasar yang begitu komprehensif yang melibatkan tenaga, masa serta ramai pemikir haruslah disampaikan kepada masyarakat supaya tidak menjadi usaha yang sia-sia.

Usaha bersepadu tingkat kefahaman budaya pelbagai kaum

Kita juga dapat melihat banyak program yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti pertandingan pidato, sayembara deklamasi sajak dan pertandingan mewarna dan melukis yang pada masa akan datang boleh difokuskan kepada unsur-unsur pemahaman terhadap budaya, adat resam yang pelbagai.

Di samping itu kementerian disyorkan juga menggalakkan, memperbanyak usaha seni kreatif seperti perfilemen untuk mengusahakan pembikinan cerita yang memperkenalkan budaya sesuatu kaum atau etnik di Malaysia seperti kaum Iban, Melanau, Kadazan Dusun, Bisaya, Cina, Melayu dan India.

Usaha santai seperti ini akan dapat memberikan ilmu dan pendidikan secara tidak formal, mengelakkan salah faham dan mewujudkan perpaduan dalam negara. Dalam masa yang sama kempen perpaduan secara besar-besaran harus dilaksanakan pada semua peringkat iaitu peringkat sekolah, jabatan, kampung, taman, daerah, negeri dan negara. Pelbagai program boleh dlilaksanakan yang merangkumi pelbagai skop budaya.

Sekiranya kita merujuk kepada Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 semua elemen ini telah pun diperincikan.

Maka cabaran bagi kementerian yang terlibat adalah untuk memastikan semua strategi dan tindakan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Dasar, strategi dan tindakan harus dilaksanakan dalam bentuk yang lebih kreatif pada musim pandemik COVID-19 ini.

Apabila semua dasar dan rangka tindakan setiap kementerian yang terlibat dapat dilaksanakan seperti yang dirancang maka proses memberikan ilmu dan memberikan rasa kepada masyarakat tentang budaya dan adat resam pelbagai kaum akan tercapai.

Oleh itu warga Malaysia akan menjadi warga yang menghormati, menikmati dan menghargai pelbagai budaya dan adat resam di negara ini. Individu, masyarakat dan kerajaan harus bersatu untuk mencapai perpaduan dalam kepelbagaian yang akan menjadi lambang kebanggaan penyatuan kaum di Malaysia.

-- BERNAMA

Jennifah Nordin merupakan Pensyarah Kanan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)