TINTA MINDA

BELIA MELAYU MALAS?

28/07/2021 09:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Askiah Jamaluddin

Seringkali kita mendengar isu belia Melayu malas dan tidak dapat menghasilkan produktiviti yang tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Ia menyebabkan kebanjiran pendatang asing ke Malaysia bagi membantu memantapkan ekonomi. Namun ada yang menyatakan ia bukanlah masalah besar di mana pendatang asing yang datang bekerja hanyalah sebagai tenaga buruh kasar di sektor pembinaan, perkilangan dan perladangan.

Dikatakan juga, sektor itu tidak selayaknya bagi belia Melayu kita untuk menceburinya apatah lagi dalam kalangan graduan. Jika melihat data dari Jabatan Perangkaan yang terkini, didapati belia dalam negara kita terdiri daripada 14 juta orang. Daripada jumlah ini, dianggarkan 20 sehingga 30 peratus mendapat pendidikan peringkat tinggi dan juga kepakaran vokasional. Oleh itu, sebahagian besar belia yang mempunyai tahap pendidikan menengah dan rendah memerlukan latihan vokasional dan juga pekerjaan dalam pelbagai sektor. Sumber tenaga belia dalam negara harus dioptimumkan bagi meningkatkan produktiviti dalam negara. Penulisan ini akan mengupas tentang adakah Belia Melayu Malas, dan kenapa isu itu berlaku dan bagaimana belia boleh mengatasinya.

Persoalan adakah Belia Melayu Malas? Agak sukar untuk menjawab persoalan ini kerana belia mempunyai sebab tertentu yang menyebabkan mereka malas untuk bekerja. Bagi belia yang bergelar graduan, amat menyedihkan jika mereka dibayar gaji tidak setimpal dengan jawatan yang diberi. Bagi belia yang tinggal bersama keluarga di bandar, ia mungkin tidak begitu rasa terbeban berbanding dengan belia yang datang dari kampung dan bekerja di bandar. Kos hidup yang tinggi di bandar tidak dapat ditampung dengan gaji yang ada. Selain itu, peluang pekerjaan yang terhad membuatkan pengganguran mulai meningkat dalam kalangan graduan. Akibat kesempitan hidup keluarga, terdapat sebilangan graduan yang hanya menggunakan sijil yang lebih rendah dari sijil ijazah yang mereka miliki, semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan. Adakah ini yang akan terus berlaku dalam kalangan belia Melayu di Malaysia? Siapa yang boleh mengubahnya?

Bagaimana belia Melayu boleh mengatasi isu ini?

Pertamanya, belia Melayu tanpa mengira lelaki atau wanita mempunyai hak untuk menentukan apakah yang mereka mahukan dalam kehidupan mereka. Apakah yang anda mahukan setelah bergraduasi dari universiti? Sesuatu yang kita mahukan perlu diusahakan bagi mencapai impian itu. Menyebut perkataan MAHU tanpa USAHA hanyalah angan-angan yang akan hilang dibawa masa. Namun, menyebut MAHU disusuli dengan USAHA GIGIH akan berbuahkan ganjaran. Belia Melayu sewajarnya memegang pepatah nenek moyang kita terdahulu iaitu:

Berakit rakit ke hulu,

Berenang renang ke tepian,

Bersakit sakit dahulu,

Bersenang senang kemudian.

Orang yang berjaya pasti akan melalui pelbagai kesusahan dan kesakitan dalam usaha untuk mencapai apa yang dimahukan. Jika diamati perjalanan orang yang berjaya, bukan sebulan dua untuk meraih kejayaan. Pelbagai cabaran dihadapi sepanjang laluan untuk mengapai impian, namun apa yang dimahukan tidak sesekali dilenyapkan. Ini bermakna matlamat yang diimpikan tetap sama, namun strategi usaha dipelbagaikan bagi mencapai matlamat tersebut. Jika tidak dapat lagi apa yang dimahukan setelah berusaha tidak mengapa. Belia seharusnya berusaha menukar atau memperbaiki strategi tanpa mengubah matlamatnya. Pepatah nenek moyang yang ditinggalkan untuk kita warisi merupakan pesanan yang menjadi pedoman hidup untuk berjaya mencapai apa yang kita mahukan. Selain itu, pepatah yang berbunyi “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan” dan “Genggam bara api, biar sampai jadi arang”. Peganglah pepatah nenek moyang kita sebagai ayat motivasi diri untuk menjadi belia Melayu yang aktif dan produktif dalam pembangunan ekonomi keluarga, komuniti dan negara.

Keduanya, belia Melayu perlu menganalisis sumber diri yang dimiliki oleh mereka. Belia muda sering merasakan wang, hubungan dengan orang atasan dan berasal dari keluarga berada memudahkan cara dalam mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan. Faktor ini adalah faktor external yang tidak boleh dikawal oleh diri kita sebagai seorang manusia. Faktor utama yang perlu kita ada adalah faktor internal iaitu sumber diri, yang perlu kita tambah nilai sumber diri ini dari semasa ke semasa.

Sumber diri adalah modal yang paling berharga pada belia. Contoh sumber diri terdiri daripada tahap pengetahuan, sikap, kemahiran, pengalaman, tahap motivasi, pengurusan emosi, penggunaan masa dan sebagainya. Adakah sumber diri yang dimiliki oleh belia Melayu hari ini diperlukan oleh majikan, atau adakah sumber diri ini sesuai untuk membuka dan mentadbir sebuah perniagaan.

Ada yang menyatakan sumber diri ini ada yang diwarisi daripada kedua ibubapa dan keturunan. Bangsa Melayu sering dimomokkan dengan keturunan. Sebagai contoh, jika datang daripada keluarga petani dan kehidupan susah akan dikatakan anaknya juga akan mewarisi kehidupan sebagai petani yang susah hidupnya. Jika ibubapanya seorang guru, dijangkanya anak-anak memiliki ciri dan sumber diri seorang guru. Ada benarnya, namun belia Melayu hari ini boleh mengubahnya dengan membina matlamat hidup dengan persoalan “Apa yang aku mahukan?” Analisis sumber diri dan menjawab persoalan utama adalah cara untuk mengatasi isu yang diperkatakan oleh masyarakat iaitu Belia Melayu Malas.

Ketiga, sudah tiba masanya belia Melayu sama ada lelaki atau wanita berani menerima cabaran. Rata-rata universiti di Malaysia pengeluarkan graduan wanita seramai 60 peratus dan graduan lelaki 40 peratus. Dengan peratusan ini, didapati belia wanita lebih ramai yang berpendidikan tinggi berbanding belia lelaki. Oleh itu, bagi graduan wanita sewajarnya berani terima cabaran dan mencuba pengalaman baru dalam bidang yang diminati. Masih ramai lagi graduan wanita yang datang dari luar bandar yang akhirnya balik ke kampung kerana tidak mendapat pekerjaan di bandar.

Ada juga yang “segan” untuk bekerja di syarikat bangsa lain atau multinasional. Sebahagian besar, masih mengharapkan kerja bersama kerajaan. Segelintir daripada belia wanita telah memulakan perniagaan sendiri dengan adanya insiatif daripada kerajaan. Belia wanita di Malaysia bertuah kerana diberi peluang yang sama dengan belia lelaki dalam bidang perniagaan. Belia wanita mendapat hak yang sama seperti belia lelaki daripada segi latihan, berpeluang membuat pinjaman bank dan dibenarkan mendaftarkan perniagaan.

Terima cabaran bukanlah satu perkara yang mudah terutama bagi belia yang baru bergraduasi atau tiada pengalaman. Namun usaha mesti dilakukan untuk mencapai apa yang diinginkan. Belia memerlukan mentor atau orang yang lebih berpengalaman untuk memberi pandangan dan tunjuk ajar. Era ini, belia meningkatkan sumber diri dengan mencari, eksplorasi mentor dan belajar ilmu yang diminatinya. Kelilingi diri anda dengan orang-orang yang berjaya dalam bidang yang anda pilih. Belajar tentang cabaran yang dihadapi oleh orang-orang yang telah berjaya dan bagaimana mereka menerima cabaran tersebut sehingga berjaya kini.

Pengalaman setiap orang yang berjaya itu mungkin berbeza-beza, namun pengalaman yang berharga itu adalah cara belia belajar tentang terima cabaran dengan tenang. Bak kata usahawan yang berjaya “Terima cabaran dengan tenang, kita akan menang”.

Kesimpulannya, bermula dengan persoalan “Apa yang anda mahu dalam hidup anda?” belia akan terbangun dari tidur dan menyiapkan dirinya untuk mencapai impian. Seterusnya, belia perlu analisis sumber diri yang dimiliki dan sumber diri yang perlu ditambah nilai. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih, sumber diri yang utuh amat membantu dalam mencapai impian.

Sifat malas dapat dilenyapkan, jika belia mempunyai impian dan bersedia terima cabaran di sepanjang perjalanan untuk mencapai impiannya. Ketiga-tiga elemen ini sewajarnya di integrasikan dalam kehidupan seorang belia Melayu tanpa mengira lelaki atau wanita supaya pembangunan ekonomi keluarga, komuniti dan pembangunan ekonomi dalam negara lebih produktif.

Slogan “Belia Melayu Aktif, Ekonomi Produktif ! perlu dijadikan pegangan dan semoga slogan ini memberi impak ke atas kesejahteraan hidup belia Melayu dan generasi bangsa Melayu akan datang.

-- BERNAMA

Askiah Jamaluddin merupakan pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)