Oleh : Mansor Abu Talib
Pada 24 Ogos 2021, Harian Metro dalam laporan berjudul ‘Sesi Kaunseling Gagal Ubah Pendirian Anggota Tentera Tolak Vaksin’ antara lain menyatakan beberapa sesi kaunseling kepada seorang anggota tentera gagal mengubah pendiriannya apabila beliau tetap enggan mengambil vaksin COVID-19 sehingga menyebabkannya dibuang kerja.
Susulan itu, pihak Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) selaku badan advokasi kaunseling terbesar yang berdaftar di Malaysia telah mengemukakan satu pernyataan media pada 26 Ogos 2021 sebagai respons terhadap isu tersebut. Kes ini ditafsirkan dengan kegagalan sesi kaunseling kerana klien tetap dengan pendiriannya untuk enggan mengambil vaksin. Ungkapan ‘Kaunseling gagal’ ini telah membawa keresahan kepada pengamal kaunseling di Malaysia.
Konsep perkhidmatan kaunseling
Dalam kenyataan media, PERKAMA International menjelaskan bahawa tiada istilah gagal dalam layanan dan pemberian perkhidmatan kaunseling profesional. Kaunseling mempunyai tiga komponen utama, iaitu kaunselor bertauliah yang terlatih dalam pelbagai teori dan kemahiran; klien yang mempunyai hasrat tertentu untuk dibantu secara profesional; dan intervensi atau pelan rawatan yang dipersetujui bersama. Kecuali jika apa yang dingini klien ternyata berpotensi memudaratkan dirinya atau orang lain, maka kaunselor akan melaksanakan intervensi krisis.
Perlu ditegaskan bahawa kaunseling memang tidak berupaya menyelesaikan semua jenis masalah dan sesuai kepada semua orang. Namun yang penting, perubahan tidak boleh dipaksa oleh seorang kaunselor terlatih yang melaksanakan sesi secara profesional dengan memenuhi kod etika yang ditetapkan.
Kaunselor berdaftar (KB) dikawal selia oleh Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) sebagai badan yang mengeluarkan lesen untuk perakuan amalan (PA) di Malaysia. Lesen tersebut perlu diperbaharui setiap dua tahun. Bagaimana pun, tidak semua kaunselor di Malaysia berdaftar dengan LKM.
Fahami kaunseling rujukan
Kontroversi tersebut yang telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial sebenarnya melibatkan kaunseling rujukan. Bagi kes klien ini, kaunselor berhadapan dengan dua matlamat berbeza, iaitu matlamat klien dan hasrat pihak merujuk.
Lantas kaunselor dengan penerimaan tanpa syaratnya akan bertindakbalas dengan penuh mahir bagi memastikan satu intervensi berkesan dilaksanakan dengan mengambilkira kedua-dua matlamat tersebut. Namun yang jelas, kaunseling tersebut berorientasikan celik akal klien dan bukannya orang ketiga, iaitu pihak yang merujuknya.
Sepanjang proses kaunseling, kaunselor meletakkan klien dalam ruang lingkup persekitarannya seperti kerjaya, keluarga dan komuniti setempat kerana klien tidak wujud berseorangan bahkan berada dalam ekosistem yang saling mempengaruhi. Dalam proses kaunseling, setelah ikatan teraputik terbina, maka kaunselor meneroka dengan aktif bagi membincangkan setiap alternatif yang dikemukakan oleh klien. Pelbagai teknik diaplikasi secara meninjau kesan-akibat atau baik-buruk setiap alternatif kepada dirinya dan juga orang sekelilingnya.
Situasi menjadi sukar apabila keputusan klien bercanggah dengan hasrat yang diingini oleh pihak yang merujuk. Di tahap ini, kaunselor perlu melaksanakan ujian realiti dengan menyediakan klien pelbagai senario bagi berhadapan dengan konflik dan kemungkinan timbulnya isu sampingan lain hasil dari pilihannya.
Oleh itu timbang tara dan celik akal mendalam menjadi misi utama kaunselor. Namun begitu kaunselor tidak sesekali mempengaruhi pilihan klien malah berusaha menyedarkan klien akan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapinya. Perkara tersebut adalah bersesuaian dengan tanggungjawab etika kaunseling dan peranannya menjunjung kebajikan klien dan mengelak kemudaratan yang nyata dalam hidup klien kelak.
Kaunseling rujukan mempunyai dinamika dan cabaran tersendiri. Ia dirumitkan lagi jika klien hadir tanpa kerelaan tapi atas perintah. Ditambah apabila kaunselor adalah dari organisasi yang sama dengan pihak yang merujuk. Namun kaunseling itu sangat berorientasikan kepada diri klien. Bagi kes pilihan klien yang berkonflik dengan hasrat pihak yang merujuk, maka kaunselor perlu memastikan klien bersedia dan yakin dengan sebarang kemungkinan baik dan buruk secara berantisipasi terhadap apa yang bakal terjadi. Jelasnya, pilihan adalah ditangan klien dan dilakukan dengan penuh sedar serta rasional.
Faktor masa adalah penentu yang signifikan dalam proses perubahan manusia. Klien memilih ruang dan ketika yang sesuai dengan dirinya untuk berubah. Proses perubahan pula mempunyai fasa berhairaki yang perlu dilalui lantas mengambil masa.
Masyarakat Malaysia perlu yakin terhadap peranan kaunselor dan kemampuan kaunseling seperti yang terlihat dalam situasi pandemik COVID-19 sekarang ini. Kerjasama bersepadu semua pemegang taruh adalah penting agar kaunselor dapat menjalankan sesi kaunseling dengan profesional dan suasana yang harmoni.
-- BERNAMA
Mansor Abu Talib merupakan adalah Profesor Kaunseling di Universiti UCSI merangkap Naib Presiden, PERKAMA International.