TINTA MINDA

PENDIDIKAN ERA COVID-19: KEKUATAN, KELEMAHAN, PELUANG DAN CABARAN

13/09/2021 10:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Bity Salwana Alias

Pandemik COVID-19 telah menimbulkan pelbagai isu termasuk proses pelaksanaan pendidikan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kepelbagaian isu yang timbul telah memberi inspirasi kepada para pengkaji untuk meneroka fenomena perubahan dalam pendidikan serta mengkaji isu-isu kritikal yang timbul dalam bidang ini sama ada sebelum, semasa atau selepas berakhirnya pandemik COVID-19. Kajian yang berasaskan kepada isu atau masalah dalam pendidikan akan membawa kepada penemuan baharu, seterusnya akan memberikan implikasi terhadap dasar dan amalan semasa yang memerlukan pengubahsuaian dan penambahbaikan dalam pendidikan kini.

Hasil kajian juga menjadi asas kepada pengkaji untuk memaparkan, berkongsi, serta mengemukakan cadangan baharu berkaitan pendidikan sama ada kepada pemutus dasar atau kepada pengamal pendidikan. Cadangan yang dikemukakan juga akan menjadi rujukan kepada pemegang taruh dalam merancang dan melaksana strategi baharu dalam pendidikan. Malah, hasil kajian wajar dibincangkan secara terbuka dengan melibatkan pelbagai pihak supaya satu perkongsian pandangan, idea, cadangan serta strategi yang dilontarkan menjadi mekanisme menangani kesukaran proses pendidikan yang timbul khususnya berpunca daripada perkara di luar jangkaan seperti pandemik COVID-19 ini.

Kekuatan dan kelemahan

Sedar atau tidak, pandemik COVID-19 telah menunjukkan kekuatan dan kelebihan dalam pendidikan di negara kita yang telah mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan terlebih awal. Siapa sangka tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia dan beberapa pihak termasuk Exco Pendidikan di bawah kerajaan negeri yang “menghadiahkan” note book kepada guru dan pelajar sangat jelas memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP) masa kini yang hampir 100 peratus terpaksa dilakukan secara dalam talian. Kekuatan pendidikan negara kita juga ialah terdapatnya sekolah yang memiliki segala kemudahan untuk PdP secara dalam talian dan diperkuatkan lagi dengan dan kemahiran pentadbir dan guru yang rata-rata telah biasa dengan penggunaan teknologi dalam PdP. Justeru, pentadbir, guru malah murid di sekolah berkenaan tidak “terpinga-pinga” atau hilang arah dalam tempoh yang lama dengan perubahan mendadak yang berlaku dalam pelaksanaan pendidikan.

Bagaimanapun, terdapat juga kelemahan dalam proses pendidikan ketika berdepan dengan COVID-19. Saban hari kita mendengar keluhan guru, ibu bapa malah murid sendiri kerana “keciciran” pelajar serta murid daripada proses PdP. Banyak faktor yang menyebabkan keciciran tersebut. Antaranya kerana sistem pendidikan kita “tidak sempat” memberi fokus yang sama antara sekolah dan murid pelbagai latar belakang.

Nilai-nilai murni termasuk nilai-nilai untuk perpaduan yang diharap dapat diterapkan melalui pendidikan juga nampaknya semakin sukar dilaksanakan. Berapa ramai murid yang setia di hadapan komputernya? Berapa ramai murid yang khusyuk dan seronok dengan pengajaran secara dalam talian?

Dalam kita mendepani cabaran ini, banyak pihak termasuk industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan individu tertentu menyedari peranan mereka untuk membantu dalam memastikan anak-anak mereka tidak tercicir daripada menerima pendidikan. Ramai yang menghulurkan bantuan, termasuk dalam bentuk alatan dan kemudahan yang diperlukan oleh murid.

Ada ibu bapa yang terlibat secara langsung memantau proses PDP yang berlaku, malah ibu bapa yang selama ini sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing mula meluangkan masa dan perhatian terhadap pendidikan anak-anak. Ini adalah suatu perkara yang mungkin tidak akan jadi realiti tanpa pandemik.

Peranan semua pihak

“Pendidikan” mendapat perhatian semua pihak. Pihak Kementerian Pendidikan bertungkus lumus bersama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah malah sekolah bertujuan merancang dan merangka pelbagai strategi, panduan, standard dan segala tindakan yang mampu dilaksanakan bagi memastikan pendidikan terus dapat dilaksanakan. Mesyuarat demi mesyuarat, perbincangan demi perbincangan, bengkel demi bengkel dan webinar demi webinar dirancang dan dilaksanakan semata-mata ingin mencari jalan keluar terbaik bagi menangani segala isu, cabaran dan masalah dalam pendidikan.

Terkini Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara (SKEPEN 2021) akan dilaksanakan pada 13 hingga 14 November 2021 secara dalam talian oleh Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tujuan webinar tersebut adalah bagi semua pihak berbincang secara terbuka tentang segala isu yang berkaitan dengan pendidikan. Dengan tema “Meneroka dan Mengurus Isu-isu Kritikal Pendidikan Pendidikan Negara”, SKEPEN 2021 diharapkan menjadi medan untuk penganalisis, perancang, pelaksana dasar pendidikan, pensyarah, penyelidik dan pihak berkepentingan berkongsi dapatan kajian, idea, dan inovasi terkini dalam meningkatkan keberkesanan pendidikan khususnya dengan cabaran pandemik COVID-19 ini. Melalui SKEPEN 2021 ini, diharap maklumat tentang amalan terbaru dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan, perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran, perubahan dalam dasar pendidikan, pengintegrasian teknologi dalam pendidikan, kesediaan guru, murid, alatan, kemudahan serta kesediaan kewangan warga komuniti (KPM, sekolah, ibu bapa, murid, dan masyarakat) dalam melaksanakan perubahan pendidikan seiring dengan norma baharu dikongsikan.

Cabaran

Sistem pendidikan juga sedang berhadapan cabaran untuk kelestarian pembangunan (Sustainability Development Goals, SDG 4) untuk pendidikan berkualiti serta adil untuk semua individu tanpa mengira latar belakang. Cabaran maklumat tanpa sempadan yang mendedahkan pelajar dan murid sekolah pengaruh negatif dalam pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Kemahiran berfikir aras tinggi yang diharapkan dapat digunakan untuk menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara mungkin menjadi sebaliknya sekiranya kawalan pengaruh negatif melalui jaringan sesawang (internet) tidak dikawal atau dipantau. Terlalu mendedahkan pelajar dan murid dengan penggunaan teknologi mungkin akan menjejaskan kemahiran kepimpinan, berkemahiran komunikasi, etika, rohani serta identiti nasional mereka sekiranya mereka terlalu khusyuk dan leka dengan dunia sendiri di alam maya.

Isu-isu kritikal dalam pendidikan negara ini perlu diteroka dan diuruskan dengan sebaiknya. Peranan semua pihak termasuk ahli akademik, penggubal dasar pendidikan, penyelidik dan penganalisis pendidikan, pendidik atau guru, pelajar siswazah, pelajar institusi pengajian tinggi serta institut pendidikan guru, NGO dan aktivis pendidikan, serta semua pihak berkepentingan sangat signifikan agar sama-sama dapat berkongsi pandangan dan idea agar aspirasi sistem pendidikan dan aspirasi murid menjadi realiti. Semua pihak harus bersatu hati dan berfikiran terbuka untuk menjayakan transformasi dalam pendidikan. Semua pendidik daripada institusi pengajian tinggi hinggalah ke peringkat sekolah rendah malah ibu bapa dan komuniti berperanan dalam memastikan kelestarian pendidikan yang berkualiti. Polisi dan strategi perlu diperkemaskan dan perbaharui manakala pemegang taruh mempunyai peranan yang besar dalam menangani isu-isu kritikal pendidikan negara.

-- BERNAMA

Bity Salwana Alias merupakan Pensyarah di Fakulti Pendidikan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)