NOTA KAMPUS

MASIH RELEVANKAH AUKU TERHADAP MAHASISWA?

18/03/2022 10:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Zulkifli Hasan

Era 1960an dan awal 1970an menyaksikan kemuncak mahasiswa memainkan peranan begitu signifikan dalam masyarakat dengan berani ke hadapan membela nasib rakyat walaupun berdepan pelbagai risiko dan cabaran. Sejarah menyaksikan mahasiswa tegas mengutuk pengeboman Hanio-Haiphong oleh Amerika Syarikat, menentang kedudukan Soviet Union ke atas Czechoslavakia, menentang dasar Apartheid dan menyokong perjuangan rakyat Palestine.

Dalam konteks isu nasional, mahasiswa bangkit dengan perjuangan memartabatkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi pentadbiran universiti, membasmi kemiskinan di Baling termasuk isu status tanah di Teluk Gong. Fakta yang tidak boleh dilupakan juga adalah sumbangan gerakan mahasiswa dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1970 yang dipelopori Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1983 oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

AUKU ubah landskap

Namun, setelah pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ia telah mengubah landskap gerakan mahasiswa secara signifikan. Artikel ini tidak berhasrat untuk menganalisis AUKU secara keseluruhan tetapi secara khusus cuba membangkitkan wacana mengenai kerelevanan AUKU terhadap mahasiswa.

Sehingga hari ini, masih wujud pelbagai pandangan dan pendirian mengenai AUKU termasuk idea untuk mengekalkannya. AUKU, setelah diluluskan pada 1971, melalui tujuh kali pindaan iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan 2019. Pada 1975, pindaan AUKU merupakan detik penting dalam sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia. Pindaan AUKU 1975 khususnya Seksyen 15 dan 16 menyaksikan bermulanya gerakan mahasiswa yang kurang agresif dan bergerak dalam ruang lingkup yang terhad akibat daripada sekatan dan kekangan undang-undang termasuk kawalan daripada kerajaan meliputi larangan memberi sokongan kepada pihak luar kampus, larangan membuat kenyataan akhbar dan larangan menganggotai pertubuhan luar kampus dan larangan menguruskan kewangan sendiri.

Pindaan AUKU pada 2012 telah mula untuk mengembalikan sedikit kebebasan kepada mahasiswa untuk terlibat dalam politik tetapi di luar kampus. Kemudiannya pada 2019, kerajaan telah membuat satu lagi pindaan yang agak siginifikan iaitu dengan memansuhkan seksyen 15 (c). Dengan pindaan ini, mahasiswa sudah boleh terlibat dalam aktiviti politik dalam kampus. Walaupun pindaan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif, masih wujud peruntukan-peruntukan tertentu di dalam AUKU yang tidak seiring dengan semangat gerakan mahasiswa. Aktivisme mahasiswa juga tidak seharusnya berlegar dalam ruang politik malahan melangkaui aspek yang lebih luas. Idea pemansuhan AUKU kini terhenti dan usaha penggubalan akta baharu bagi menggantikan AUKU dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 nampaknya tidak lagi diteruskan.

Persepsi umum

Terdapat dua pandangan arus perdana mengenai AUKU. Ada pihak yang mengambil pandangan bahawa AUKU masih relevan dan tidak perlu dimansuhkan. Manakala ada pula yang berpandangan bahawa AUKU perlu dimansuhkan dan digantikan dengan akta baharu. Harus diingat bahawa AUKU bukan hanya mengenai mahasiswa ia merangkumi aspek yang lain. Dengan peruntukan sebanyak 27 seksyen dan dua Jadual, ia dibahagikan kepada 7 Bahagian iaitu Permulaan, Pelajaran Tinggi, Pentadbiran, Universiti, Kolej Universiti, Daftar dan Pengkalan Data dan Am.

Hanya terdapat dua seksyen yang secara khusus memperuntukkan aspek mahasiswa iaitu seksyen 15 dan 16 termasuk Perkara 48 Jadual Pertama yang menyebut aspek Majlis Perwakilan Pelajar. Isunya di sini adakah dengan peruntukan sedia ada dapat mengangkat agenda memperkasakan mahasiswa dengan autonomi dan kebebasan sewajarnya?. Lebih utama lagi adakah kerangka dan semangat AUKU selari dengan falsafah pendidikan mahupun falsafah gerakan mahasiswa itu sendiri.

Relevansi AUKU

Perbahasan mengenai kerelevanan dan kewajaran AUKU banyak berkisar mengenai aspek undang-undang. Penulis ingin mengetengahkan aspek lain berkaitan AUKU khusus mengenai mahasiswa melangkaui aspek perundangan. Bagi maksud analisis kerelevanan AUKU ini, penulis secara peribadi berpendapat adalah amat penting untuk melihat semula matlamat kewujudan AUKU dan apakah kesan perlaksanaan AUKU setelah ia diperkenalkan lebih 50 tahun yang lalu. Adakah ia membawa perubahan yang positif kepada aktivisme mahasiswa atau telah melemahkan gerakan mahasiswa secara sistematik atau tidak langsung?

Sepanjang AUKU dikuatkuasakan, kita telah menyaksikan banyak kes melibatkan kebebasan bersuara mahasiswa yang di bawa ke mahkamah dan ini tidak termasuk kes-kes tatatertib diputuskan di peringkat universiti. Bahkan pada 1974, seramai 5,000 pelajar berdemonstrasi di Kuala Lumpur menyuarakan isu kemiskinan di Baling dan lebih 1,128 pelajar ditahan oleh pihak berkuasa.

Menyaksikan rakan mahasiswa yang dibicarakan di mahkamah dan mendapat liputan media secara meluas pastinya akan mencetuskan perasaan bimbang dan gentar mahasiswa untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Secara tidak langsung, ini membuktikan AUKU telah berjaya mewujudkan suasana bungkam dan takut bersuara dalam kalangan mahasiswa.

Walaupun tidak dinafikan beberapa pindaan telah dibuat tetapi ekosistem AUKU itu sendiri tidak menyokong kepada pemerkasaan mahasiswa secara holistik. Kita kerap mendengar keluhan mengenai kedinginan mahasiswa masa kini dan mengharapkan perubahan terhadap gerakan mahasiswa yang lebih dinamik dan progresif.

Namun, kerangka AUKU dan bukti serta pengalaman sedia ada pastinya tidak dapat menjadi pemangkin kepada harapan ini. Bak kata Albert Einstein, Insanity is doing the same thing over and over and expecting different results.

Dalam erti kata lain, perubahan terhadap naratif gerakan mahasiswa memerlukan sesuatu yang segar dan baharu bukan menerusi kerangka lama dan naratif yang dicipta oleh AUKU.

Momentum aktivisme mahasiswa

Terdapat golongan yang berpandangan bahawa AUKU itu perlu kerana ia mengandungi peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran pengajian tinggi. Di samping mengakui kepentingan perkara ini, apa yang sangat perlu dilihat adalah dari aspek lain iaitu sebab musabab kewujudan AUKU itu sendiri terhadap mahasiswa.

AUKU diwujudkan tanpa membawa ruh dan semangat aktivisme mahasiswa. Malahan ia diperkenalkan ketika kemuncak mahasiswa terlibat dengan gerakan kemasyarakatan. AUKU yang dikuatkuasakan pada 30 April 1971 itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal dan mengimbangi gerakan mahasiswa.

Ini bermakna tujuan AUKU berlawanan dengan falsafah gerakan mahasiswa itu sendiri. Sesuatu akta atau undang-undang yang diluluskan sepatutnya selari dengan semangat gerakan mahasiswa dan lebih penting dapat mencetuskan transformasi dan perubahan terhadap naratif aktivisme mahasiswa.

Apakah peruntukan dalam AUKU sedia ada yang boleh menjadi pemangkin kepada gerakan mahasiswa dan menjamin kebebasan bersuara serta autonomi mahasiswa?

Setakat ini, kita tidak dapat melihat AUKU mampu memainkan peranan sedemikian malahan ia masih dianggap sebagai sesuatu yang menjadi penghalang kepada agenda pemerkasaan mahasiswa.

Antara kesan AUKU yang signifikan tetapi kurang dibicarakan adalah memperkenalkan Perkara 48 Jadual Pertama AUKU mengenai Majlis Perwakilan Pelajar. Era Kesatuan Pelajar dalam erti kata yang sebenar sebagai sebuah badan pelajar yang mempunyai autonomi tersendiri telah terkubur.

Zaman kegemilangan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menyaksikan mereka memiliki aset dan harta seperti seperti bas mini dan memiliki perniagaan makanan di kafeteria dan kantin di kampus. Malahan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya pernah dianggap sebagai Kesatuan Mahasiswa paling kaya di Asia Tenggara. Selepas AUKU diperkenalkan, kita tidak lagi dapat melihat Kesatuan Pelajar yang mandiri tetapi sangat bergantung kepada universiti dan kerajaan.

Walaupun Perkara 48 ini menyebut perkataan Kesatuan tetapi ia bukanlah sepertimana Kesatuan yang pernah wujud sebelum era AUKU. Malahan Perkara 48 (11) secara khusus melarang Kesatuan atau MPP untuk menyenggarakan apa-apa kumpulan wang atau membuat apa-apa pemungutan wang atau harta dari apa-apa jua punca pun melainkan dengan terlebih dahulu dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor.

Perkara ini membuktikan bahawa kerangka AUKU sedia ada adalah tidak selari dengan semangat kesatuan yang mengangkat autonomi mahasiswa. Bahkan peruntukan ini akan terus membuatkan mahasiswa bergantung harap kepada universiti dan kerajaan serta tidak dapat menjadikan mereka lebih mandiri.

Mencipta naratif baharu gerakan mahasiswa

Sudah sampai masanya untuk kita mencipta kegemilangan baru gerakan mahasiswa menerusi aktivisme mahasiswa yang lebih dinamik dan progresif. Sememangnnya tidak dapat dinafikan bahawa aktivisme mahasiswa era masa kini perlu mempunyai identiti dan falsafahnya yang tersendiri.

Kini sudah sampai waktunya untuk kita memperkenalkan undang-undang atau akta baharu menggantikan AUKU sebagai asas dan kerangka kepada aktivisme pelajar yang lebih progresif, adil, seimbang dan lestari.

Pindaan AUKU mungkin boleh menyelesaikan beberapa isu dan permasalahan tetapi ruh dan semangat AUKU akan terus menghantui perlaksanaannya. Seiring dengan perkembangan semasa dan peri pentingnya mengangkat gerakan mahasiswa yang lestari, penulis cenderung dengan idea reformasi undang-undang pengajian tinggi menerusi akta baharu menerusi kerangka Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengangkat agenda memperkasa dan memberdaya gerakan mahasiswa.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Zulkifli Hasan merupakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)