NOTA KAMPUS

PERKASA SEMANGAT PATRIOTISME MELALUI PROGRAM BERSTRUKTUR

30/08/2022 09:29 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Noor Afzan Zakaria

Hari Kemerdekaan Malaysia disambut setiap 31 Ogos saban tahun merupakan satu tarikh yang sangat signifikan kepada semua warga negara. Tarikh keramat ini disambut bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak tahun 1782 hingga 1957.

Pada tahun ini, ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ telah dipilih sebagai tema sambutan selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia yang melambangkan kebersamaan, komited untuk terus maju ke hadapan serta keberadaan teknologi terkini yang menjadi penghubung kehidupan ekonomi rakyat. Dalam konteks sebagai mahasiswa, semangat patriotik perlu sentiasa diperkasakan bukan sahaja apabila datangnya sambutan Hari Kebangsaan, malah ianya perlu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.

Mahasiswa pemimpin masa hadapan

Mahasiswa merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan yang akan menentukan hala tuju negara merangkumi kestabilan ekonomi, politik dan sosial. Selain kecemerlangan dalam bidang akademik, mahasiswa juga perlu mempunyai minda kepimpinan melalui program-program bersturktur yang dibangunkan untuk pemantapan jati diri. Usaha ini bukanlah usaha berskala kecil, kerana ianya memerlukan komitmen semua pihak dalam pengurusan universiti terutama Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Sudah pasti, pelbagai program telah dirangka dan dijalankan, serta keberkesanan dan impak program perlu juga diukur bagi memberi peluang penambahbaikan yang berterusan.

Di Universiti Teknologi MARA (UiTM) misalnya, usaha memperkasa semangat jati diri dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa telah dijalankan melalui beberapa platform sama ada dalam bidang akademik mahupun bukan akademik iaitu program-program di luar waktu kuliah. Antara program yang dijalankan ialah pelaksanaan Modul Patriotisme secara berstruktur bagi semua mahasiswa yang berada di semester satu, dua dan tiga yang mengikuti kursus kokurikulum berkredit. Modul Patriotisme yang dibangunkan ini merupakan satu daripada strategi UiTM untuk memperkasakan semangat jati diri dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa.

Melalui modul tersebut mahasiswa didedahkan tentang peranan dan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan negara, mempelajari sejarah dan perjuangan mencapai kemerdekaan serta membuat tugasan refleksi selepas menonton tayangan filem patriotik serta pelaksanaan program Wacana Semarak Patriotisme yang menampilkan tokoh Perlembagaan Malaysia sebagai panel.

Mahasiswa juga berpeluang menjadi pemimpin pasukan badan beruniform melalui penawaran 10 kursus kokurikulum berkredit melalui komponen badan beruniform iaitu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat, Udara dan Laut, Kesatria Negara, Kesatria Kembara, Kesatria Brass Band, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam, Kor Suskarelawan Siswa Siswi (SUKSIS), Bulan Sabit Merah Malaysia dan Siswa Bomba Bantuan. Silibus yang dibangunkan amat komprehensif dan eksklusif kepada mahasiswa yang meminati bidang beruniform.

Selain itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga membangun dan melaksanakan Program Kepimpinan Pewaris Bangsa yang merupakan program khas universiti untuk meningkatkan nilai tambah dalam membentuk sahsiah dan professional mahasiswa yang perlu iikuti oleh semua mahasiswa peringkat pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi menggilap kemahiran insaniah dan semangat cintakan negara.

Aktiviti berpersatuan perkasa jati diri mahasiswa

Di UiTM juga, mahasiswa amat digalakkan untuk aktif berpersatuan dan elemen-elemen pemerkasaan jati diri sentiasa diserapkan dalam setiap penganjuran program. Melalui kegiatan berpersatuan, mahasiswa berpeluang untuk menyerlahkan potensi diri dan membina jaringan antara satu sama lain.

Sempena bulan kebangsaan, kerancakan aktiviti di kampus semakin dirasai dengan penganjuran pelancaran bulan kebangsaan, konvoi merdeka, berbasikal merdeka, pertandingan hiasan merdeka antara bahagian, webinar patriotik, pertandingan sajak dan banyak lagi. Pada masa hadapan, diharapkan suasana di kampus terus meriah sepanjang tahun dengan menaikkan papan tanda utama atau poster-poster kekal di setiap tempat strategik umpamanya Ikrar Rukun Negara, Sejarah Kemerdekaan dan Tokoh Kemerdekaan.

Melalui paparan ini diharapkan para mahasiswa sentiasa dapat melihat dan memasakkan ke dalam minda, betapa pentingnya kemerdekaan negara perlu mereka pertahankan, sekaligus dapat menaikkan semangat jati diri mereka.

Justeru, pembangunan dan pelaksanaan program-program berstruktur untuk memperkasakan semangat mahasiswa merupakan satu inisiatif terbaik dan berimpak serta harus diberikan kredit kepada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar kerana usaha ini amat bermakna bagi mencelikkan mahasiswa untuk menghayati dan menghargai erti kemerdekaan.

Diharapkan usaha memperkasa semangat patrotisme ini perlu dijalankan tanpa henti dan menjadi tanggungajawab semua pihak terutama warga universiti. Ini kerana, mahasiswa yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya.

--BERNAMA

Noor Afzan Zakaria merupakan Timbalan Pendaftar Pusat Kegiatan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)