Oleh: Zarina Azhari
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2017 melaporkan bahawa kelaziman masalah kesihatan mental seperti kemurungan dalam kalangan remaja adalah sebanyak 18.3 peratus (seorang daripada lima mengalami kemurungan).
Manakala kajian NHMS pada tahun 2019 melaporkan bahawa 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental. Penyumbang masalah mental kanak-kanak berdasarkan domain utama iaitu 42.9 peratus masalah berinteraksi dengan rakan sebaya, 15.9 peratus masalah tingkah laku, 8.3 peratus masalah emosi dan 2.3 peratus masalah hiperaktif.
Penting untuk mengetahui punca dan faktor yang menyumbang kepada masalah tekanan mental supaya ia boleh dirawat dengan baik dan dapat membendung gejala tersebut daripada berleluasa.
Apa yang jelas, remaja yang menghadapi kemurungan menghadapi masalah dalam kehidupan sosial dan akademik mereka.
Gaya Keibubapaan dan Kesihatan Mental
Antara penyebab kemurungan adalah latar belakang yang mempunyai masalah keluarga dan gaya pendidikan serta budaya yang diterapkan oleh ibu bapa membentuk fenomena negatif dan mempengaruhi keadaan psikologi anak-anak tersebut.
Gaya keibubapaan yang dipelopori oleh Baumrind, D. (1967) menjadi rujukan kepada kajian saintifik hingga kini menerbitkan pelbagai dimensi yang dijadikan kajian.
Dimensi utama seperti keinginan dan kawalan ibu bapa terhadap anak, responsif terhadap keinginan dan minat mereka, serta keperluan akademik anak-anak menjadi elemen yang digunakan untuk mengkategorikan gaya keibubapaan kepada tiga jenis iaitu autoritarian, autoritatif dan permisif.
Ibu Bapa Autoritarian
Ibu bapa autoritarian berhasrat membentuk, mengawal dan menilai tingkah laku serta sikap anak-anak selaras dengan satu kaedah tingkah laku yang mutlak, didorong oleh semangat yang tinggi dan dilaksanakan oleh satu pihak yang berautoriti.
Namun, anak-anak tidak mendapat ruang untuk memiliki autonomi dan meneroka minat, kecenderungan dan memperolehi keperluan mereka jika bertentangan dengan kehendak ibu bapa.
Ibu bapa menghargai kepatuhan sebagai bermoral dan menggalakkan hukuman sebagai satu tindakan tegas untuk membendung tindakan atau kepercayaan anak-anak yang bertentangan dengan etika yang difikirkan betul oleh mereka.
Secara tidak sedar, amalan negatif yang berterusan yang bertujuan untuk memberikan didikan terbaik boleh menjadi igauan dan trauma kepada anak-anak hingga menjadi tekanan mental ketika mereka meningkat dewasa.
Ibu Bapa Autoritatif
Sementara itu, gaya keibubapaan autoritatif memberi pengaruh positif terhadap pendidikan anak-anak, perkembangan mental dan perhubungan sosial mereka.
Ibu bapa autoritatif juga mendisiplinkan anak-anak supaya mempunyai tingkah laku dan nilai sepertimana yang mereka kehendaki, namun pada masa yang sama kehendak dan minat anak-anak, serta keperluan akademik mereka dipenuhi dengan sewajarnya.
Amatlah penting untuk mengetahui fasa perkembangan mental, emosi dan fizikal anak-anak selaras dengan peringkat umur mereka supaya ibu bapa mampu menangani isu-isu mereka dengan baik.
Segala cabaran dan pengalaman pahit manis bersama anak-anak, jika disertai dengan kasih sayang, bimbingan dan pengajaran yang bermakna, sudah tentu menjadi nilai dan panduan yang sangat berguna kepada mereka.
Mereka berkemampuan untuk menjadi lebih daya tahan (resiliens) dalam kehidupan sebagai individu atau pekerja, ahli keluarga, ahli masyarakat dan seterusnya menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
Ibu Bapa Permisif
Gaya keibubapaan permisif pula mempunyai kesan negatif kerana kebebasan dan autonomi diberikan kepada anak-anak tanpa had tertentu.
Ibu bapa tidak mempunyai kaedah disiplin dan perancangan tertentu untuk memastikan prestasi dan perkembangan mental, emosi dan fizikal anak-anak membangun dengan baik.
Kemungkinan budaya dan tradisi yang diperolehi oleh ibu bapa daripada keluarga mereka berlaku begitu juga.
Barangkali perhatian dan rawatan terhadap anak-anak daripada keluarga permisif diberi fokus supaya wujudnya budaya positif baharu dan dapat memutuskan rantaian gaya keibubapaan permisif yang memberikan impak buruk terhadap pembangunan modal insan.
Peranan Ibu Bapa
Sebagai individu Muslim, peranan hukum-hakam dan syariat Islam telah menjadi ketetapan gaya hidup dalam keluarga.
Ibu bapa mestilah memastikan anak-anak melaksanakan amalan yang wajib, menjauhi perbuatan mungkar dan berakhlak mulia seperti yang diajarkan dalam al-Quran dan hadis.
Penerapan nilai dan praktikal Islam itu dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan yang asas dan juga mengambil kira ilmu keduniaan yang boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Pendidikan keibubapaan ialah kombinasi antara melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan memiliki keperibadian ibu bapa yang baik.
Keperibadian ibu bapa yang baik adalah aset dan sumber yang membawa pengaruh besar kepada anak-anak.
--BERNAMA
Zarina Azhari ialah Timbalan Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh Kluster Masyarakat Progresif, Pertubuhan IKRAM Malaysia