Oleh: Dr Norhayati Alias
Negara telah meninggalkan zaman pandemik COVID-19 yang penuh cabaran. Tempoh masa tersebut telah membawa perubahan di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek kehidupan terutama sosial, ekonomi, politik dan pendidikan.
Bagaimanapun, bermula 1 April lepas negara mula melalui fasa peralihan ke endemik yang menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan. Ia merupakan ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali ke kehidupan hampir normal selepas dua tahun berperang dengan COVID-19. Sehubungan itu, segala aktiviti yang terhenti atau berubah cara pengendaliannya, kembali seperti asal.
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta juga telah melaksanakan semula kaedah pembelajaran secara bersemuka pada pertengahan Oktober tahun ini. Sejajar dengan itu, pelajar mula kembali ke kampus bagi menjalani kehidupan sebagai pelajar sepenuh masa. Mereka ini mempunyai latar belakang yang berbeza, ada yang datang sebagai ‘orang baharu’, iaitu pelajar yang belum pernah menjejakkan kaki di tempat pengajian kerana mengikuti pengajian secara dalam talian (online) di kediaman masing-masing.
Selain itu, terdapat pelajar yang telah menjalani pembelajaran secara sepenuh masa, namun terpaksa ‘berhenti seketika’ dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian di kediaman masing-masing kerana mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika itu. Bagi pelajar yang mempunyai pengalaman pembelajaran secara bersemuka, pastinya dapat menyesuaikan diri. Bagaimanapun, bagi pelajar baharu, memulakan pengajian secara bersemuka buat pertama kali pastinya akan menghadapi beberapa perubahan.
Peralihan semula mod pengajian memang dinantikan semua pihak, termasuk pelajar, pendidik serta ibu bapa. Seperti sedia maklum, pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian telah memberikan kesan positif dan negatif. Menurut tinjauan oleh International Associations of Universities terhadap beberapa negara utama di dunia, terdapat isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh institusi-institusi pendidikan sepanjang penularan wabak COVID-19.
Antaranya ialah isu komunikasi, walaupun hampir semua IPT (91 peratus) mempunyai infrastruktur untuk berkomunikasi dengan pelajar dan kakitangan mengenai COVID-19, namun responden melaporkan mereka terpaksa berhadapan cabaran bagi memastikan aliran komunikasi yang jelas dan berkesan.
Selain itu, peralihan daripada pengajaran bersemuka kepada pengajaran jarak jauh tidak semudah yang disangka. Sebahagian besar IPT melaporkan mereka menghadapi masalah berkaitan akses infrastruktur teknikal, kecekapan dan pedagogi pembelajaran jarak jauh selain keperluan bidang pengajian tertentu.
Pembelajaran bahasa asing
Menyentuh mengenai pembelajaran bahasa asing, pelaksanaan semula kelas secara bersemuka amat dinantikan. Pelaksanaan kelas secara dalam talian bagi kursus bahasa asing sebelum ini merupakan suatu tugas yang mencabar untuk dígalas sama ada pengajar mahupun pelajar. Pembelajaran bahasa asing merangkumi aspek yang luas dan perlu memenuhi objektif iaitu kecekapan komunikatif linguistik, sosiolinguistik dan pragmatik.
Kecekapan ini antara lainnya boleh dicapai melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti bahasa yang merangkumi pemahaman, ekspresi, interaksi atau pengantaraan khususnya, mentafsir atau menterjemah. Setiap jenis aktiviti ini dilaksanakan sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis atau kedua-duanya.
Aktiviti pemahaman dan ekspresi
Pemahaman dan ekspresi lisan merupakan aspek yang perlu ditekankan dalam prinsip kecekapan komunikatif pembelajaran bahasa asing, memandangkan kedua-duanya adalah asas bagi interaksi dalam pemerolehan dan pembelajaran bahasa. Pemahaman merupakan aktiviti yang bersifat individual, seperti membaca teks, dokumen dan pemerhatian terhadap media komunikasi. Sementara itu, ekspresi pula adalah aktiviti persembahan tugasan daripada pelajar sama ada secara lisan atau bertulis.
Seperti yang sedia maklum, ekspresi memerlukan rangsangan dan tindak balas yang sewajarnya daripada kedua belah pihak iaitu pelajar dan pengajar. Hal ini merupakan suatu yang sukar dilaksanakan melalui pembelajaran secara dalam talian, disebabkan kekangan seperti masalah ruang, capaian Internet dan lain-lain. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang mengajar bahasa Sepanyol, pelaksanaan aktiviti jenis ini boleh dilakukan, namun secara minimum. Adakalanya, penulis tidak dapat melihat ekspresi wajah pelajar kerana masalah teknikal.
Interaksi
Interaksi merupakan aktiviti yang melibatkan sekurang-kurangnya dua orang individu. Aktiviti ini memerlukan individu yang terlibat mengambil bahagian dalam lisan atau bertulis. Melaluinya, ungkapan yang disampaikan dan pemahaman oleh peserta aktiviti akan sering bertukar-tukar antara satu sama lain.
Dalam pembelajaran bahasa, aktiviti seumpama ini perlu dilaksanakan dengan semaksimum mungkin memandangkan ia adalah asas kepada komunikasi dalam pembelajaran bahasa.
Melalui aktiviti ini juga, peserta yang terlibat boleh bercakap dan mendengar antara satu sama lain secara serentak. Peserta akan mengikut giliran bercakap, dan biasanya mampu meramal apa yang bakal diujarkan oleh penutur lawan, seterusnya memberikan maklum balas yang bersesuaian. Justeru, mereka belajar untuk berinteraksi bertujuan memahami dan menghasilkan ungkapan yang ingin diperkatakan.
Mediasi
Menurut Council of Europe (2020) mediasi atau pengantaraan merujuk kepada situasi komunikatif iaitu pengguna bahasa atau pelajar mengambil bahagian sebagai agen sosial dan bertanggungjawab menyediakan sumber maklumat yang dapat membantu menyampaikan atau menyatakan maksud.
Dalam konteks ini, peranan pengguna bahasa atau pelajar sebagai pengantara ditonjolkan berdasarkan ciri interlinguistik dan intralinguistik. Melalui pengantaraan bersifat interlinguistik, orang yang berperanan (pengantara) memindahkan mesej di antara dua bahasa yang berbeza. Selain itu, dalam konteks yang bersifat intralinguistik, aktiviti mediasi atau pengantaraan dilakukan dengan merumuskan semula mesej yang diterima menggunakan bahasa yang sama, seperti yang terdapat dalam versi asal.
Dengan pelaksanaan semula pembelajaran secara bersemuka di semua peringkat pendidikan sama ada sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT diharap dapat mengembalikan semula acuan dan asas pendidikan negara ini ke tempat asalnya. Oleh itu, dalam konteks pembelajaran bahasa asing, ia diharap dapat melahirkan graduan yang benar-benar berkemahiran dan mampu bersaing serta menempatkan diri secara global di persada dunia.
Memiliki kemahiran dalam pelbagai bahasa, terutamanya bahasa asing, merupakan kelebihan yang mampu meletakkan seseorang pelajar atau graduan di suatu kedudukan yang berbeza dan istimewa, berbanding mereka yang tiada kemahiran ini. Ini kerana bahasa merupakan jambatan utama yang mampu memecahkan tembok pemisah di antara budaya yang berbeza, sekali gus merapatkan jurang komunikasi di antara manusia.
--BERNAMA
Dr Norhayati Alias merupakan Guru Bahasa, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.