TINTA MINDA

ISYTIHAR DARURAT IKLIM

23/12/2022 02:51 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mogesh Sababathy

Arahan penutupan tempat-tempat perkelahan dan perkhemahan seluruh negara susulan tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali ibarat sudah kalah baru hendak berkubu. Apa yang lebih mengejutkan ialah tapak-tapak pekhemahan yang terbabit dalam kejadian tersebut dikenal pasti tidak berlesen dan telah beroperasi secara haram sejak tahun 2020. Apakah selama dua tahun ini langsung tidak ada mana-mana pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan? Tragedi tersebut juga dilaporkan adalah yang terburuk dalam 23 kejadian tanah runtuh tahun ini. Bencana alam yang semakin kerap berlaku di negara ini umpama sudah menjadi satu kebiasaan kerana sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus dan tiada kesedaran mengenai alam sekitar.

Contoh lain yang menunjukkan kekhilafan pihak berkuasa adalah insiden pencemaran Sungai Kim-Kim akibat pembuangan sisa kimia sejak beberapa tahun sebelum berlakunya gelombang keracunan air yang lebih teruk pada 2019. Kejadian ini telah memberi kesan kepada hampir 6,000 orang dan sehingga kini dilaporkan masih mengalami kesan sampingan akibat peristiwa tersebut. Sama juga seperti bencana banjir yang menenggelami Taman Sri Muda pada hujung tahun lalu. Penduduk mendakwa aduan sudah dihantar beberapa kali untuk meneliti situasi di kawasan yang kerap mengalami banjir namun tiada sebarang maklum balas dan tindakan diambil untuk mencari jalan penyelesaian.

Aktiviti manusia ancam alam sekitar

Ini tidak termasuk isu penggondolan bukit dan pengecilan hutan simpan yang sehingga kini bukan hanya masih mengancam flora dan fauna tetapi kehidupan komuniti Orang Asli yang sudah lama menetap dan bergantung kepada hasil bumi sebagai ‘periuk nasi’ mereka. Semua ini menunjukkan kelemahan sistem penguatkuasaan dan pemantauan pihak bertanggungjawab serta kurang kesedaran dalam kalangan rakyat. Seperti menjadi trend hanya selepas sesuatu berlaku masing-masing hendak mengeluarkan kenyataan dan menunding jari menyalahkan pihak lain. Jika dibiarkan perkara ini berterusan, tiada yang boleh diselesaikan malahan boleh menyebabkan kerugian lebih besar, khususnya dengan sikap hangat-hangat tahi ayam.

Bencana alam bukan hanya menjejaskan kualiti kehidupan tetapi turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara. Proses pemulihan ekonomi selepas berlakunya sesuatu bencana sangat membebankan kerana ia melibatkan pembinaan dan penggantian aset-aset yang musnah serta mendirikan semula sektor ekonomi di kawasan terlibat.

Tidak dinafikan bahawa bencana alam juga fenomena yang berlaku kerana faktor semulajadi seperti banjir yang disebabkan oleh luruan monsoon, fenomena La Nina dan perubahan iklim. Namun, pelbagai kajian menunjukkan bahawa aktiviti manusia seperti pembangunan tidak terancang dan tidak mampan, pencerobohan tanah dan pencemaran menyebabkan perubahan iklim dan mengundang kepada berlakunya bencana alam. Contohnya peningkatan kekerapan dan taburan hujan, kenaikan aras laut dan cuaca tidak menentu disebabkan kesan pemanasan global.

IPCC

Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan impak perubahan iklim yang lebih agresif dalam 20 tahun akan datang, seperti bencana alam yang lebih kerap dan ekstrem. Selain itu, kekurangan sumber air akibat peningkatan suhu, kemusnahan berganda akibat banjir dan peningkatan kadar kepupusan spesis haiwan dan tumbuhan yang memberi kesan langsung kepada sosioekonomi masyarakat, sekiranya tiada tindakan segera yang efisien. Tindakan memitigasi perubahan iklim tidak boleh dilengahkan bagi memastikan kelangsungan kesejahteraan rakyat, ekosistem semula jadi, bekalan makanan, dan sumber air. Penilaian dan kajian semula keberkesanan usaha sedia ada, perlaksanaan dasar dan strategi pengurusan risiko yang lebih efektif seterusnya menggalakkan penyertaan aktif masyarakat terutamanya penggiat industri, pihak berkepentingan dan golongan muda perlu dilaksanakan segera

Selain itu, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat harus dipergiatkan, bukan sekadar mengetahui kesan dan akibat berlakunya perubahan iklim tetapi juga peranan dan tindakan yang boleh diambil oleh mereka sebagai individu. Proses ini sebaiknya dimulakan dengan pendidikan formal agar kesedaran dapat dipupuk sejak di bangku sekolah. Contohnya, meneliti dan mengemaskini kandungan kurikulum kebangsaan supaya dapat menambah lebih banyak elemen perlindungan alam sekitar yang focus kepada naratif tempatan, tadbir urus perubahan iklim termasuk proses pembuatan dasar dan kaedah pelaksanaan, menekankan aspek kerjasama di antara pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta di pelbagai peringkat.

Seterusnya, diharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengisytiharaan ‘darurat iklim’ sebagai tanda komitmen dalam usaha menangani isu perubahan iklim. Ini akan membantu merancang dan memberi keutamaan dalam melaksanakan pelan tindakan iklim dengan lebih berstruktur, menyeluruh dan efisien terutamanya bagi mengurangkan perlepasan gas rumah hijau (GHG), membendung pemanasan global antropogenik dan menghijaukan sektor ekonomi.

Cadangan bentuk Jawatankuasa Persidangan Belia Perubahan Iklim

Satu kajian yang dijalankan oleh UNICEF Malaysia pada tahun 2020 melaporkan bahawa terdapat risiko yang amat serius terhadap golongan muda di Malaysia khususnya dari segi kesejahteraan hidup, pendidikan dan penjanaan pendapatan. Laporan tersebut turut mengesyorkan agar anak-anak muda diberi ruang untuk menyumbang kepada proses membuat keputusan dan pembuatan dasar dalam isu berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar.

Oleh itu, pihak kerajaan disaran agar membangunkan satu strategi yang lebih inklusif dan membolehkan penglibatan pelbagai pihak termasuk golongan muda dalam tadbir urus perubahan iklim. Cadangan supaya dibentuk sebuah Jawatankuasa Persidangan Belia Perubahan Iklim yang boleh berfungsi sebagai badan pemikir dan platform rasmi bagi manyatukan aktivi dan organisasi belia yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan untuk menyumbang kepada tadbir urus perubahan iklim dan alam sekitar.

Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua keluarga mangsa yang terjejas dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor. Semoga kekal tabah dan terima kasih juga diucapkan kepada pasukan penyelamat dan para sukarelawan yang membantu menjayakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Kepada rakyat Malaysia, musim tengkujuh ini akan membawa hujan lebat, angin kencang, ombak yang bergelora dan kenaikan paras air. Maka elakkan melakukan sebarang aktiviti rekreasi atau berada di kawasan empangan, gunung, sungai dan pantai. Rancanglah perjalanan terlebih dahulu dengan merujuk ramalan cuaca yang terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, berhati-hati semasa mengendalikan peralatan elektrik, jimatkan penggunaan air dan jaga kebersihan diri. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir, sediakan bekalan makanan, air dan pakaian yang mencukupi, selamatkan barang-barang yang penting sahaja sekiranya berlaku banjir. Teruskan berdoa untuk kesejahteraan semua dan semoga kita dapat mengharungi fasa mencabar ini bersama.

Bersama kita mampu melakukan perubahan!

--BERNAMA

Mogesh Sababathy ialah Aktivis Belia Alam Sekitar Pengasas Bersama Project Ocean Hope Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)