TINTA MINDA

BAHASA ISYARAT BANTU PERKEMBANGAN AFEKTIF KANAK-KANAK AUTISME

27/02/2023 07:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Muhamad Hafiz Hassan

Kanak-kanak autisme sering mengalami kesukaran dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Kekurangan kemahiran sosial mereka boleh menyebabkan masalah dalam perkembangan emosi dan afektif. Antara kaedah yang boleh membantu dalam mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan bahasa isyarat. Ia juga dikenali sebagai bahasa pertuturan yang menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir sebagai teknik komunikasi bagi menghantar maklumat yang membayangkan apa yang difikirkan oleh "penutur". Bahasa isyarat juga digunakan di banyak sekolah untuk mengajar kanak-kanak autisme sebagai cara mengukuhkan pertuturan bersama-sama dengan penggunaan simbol, isyarat serta pertuturan verbal.

Bantu kanak-kanak autisme berkomunikasi

Bagi sesetengah kanak-kanak autisme bukan lisan, kaedah ini boleh diajar sebagai bentuk komunikasi utama dengan berulang kali memodelkannya dalam konteks yang betul agar mereka belajar menggunakan bahasa isyarat itu secara spontan untuk meminta item atau keperluan. Lazimnya, kanak-kanak autisme mempunyai masalah lambat bertutur. Ia boleh mengambil masa sehingga enam tahun untuk belajar bercakap seperti orang lain.

Kumpulan ini mempunyai masalah dengan perkataan yang abstrak seperti gembira, sedih, menyampah atau tidak setuju kerana faktor perbezaan cara memproses maklumat berbanding orang biasa. Penggunaan bahasa isyarat dilihat dapat meningkatkan interaksi sosial, membina kemahiran dalam meniru sesuatu perkara serta keharmonian emosi kanak-kanak autisme di rumah, dalam bilik darjah atau semasa sesi terapi.

Satu kajian emperikal telah dilakukan dalam mengukur keberkesanan penggunaan alat bantu mengajar yang digunakan oleh pengajar di pusat autisme. Kajian mendapati pengajar kerap menggunakan sistem bergambar sebagai alat bantuan mengajar dalam bilik darjah kepada kanak-kanak autisme untuk melihat perkembangan ujaran. Keputusan kajian mendapati, kurangnya perkembangan afektif terhadap kosa kata pertuturan kanak-kanak autisme dan menyebabkan kumpulan ini terlalu bergantung pada alat tersebut untuk meneruskan rutin harian mereka.

Hal ini perlu diberi perhatian agar penggunaan alat bantu mengajar dapat bergerak seiiring dengan bahasa isyarat dalam membantu perkembangan afektif kumpulan ini. Malah, penggunaan bahasa isyarat boleh membantu meningkatkan perkembangan afektif kanak-kanak autisme.

Dengan menggunakan bahasa isyarat, kanak-kanak autisme dapat belajar mengenali dan mengungkapkan perasaan mereka dengan lebih mudah. Mereka juga boleh belajar bagaimana untuk membaca bahasa badan orang lain, memahami perasaan dan emosi mereka, serta berinteraksi dengan lebih berkesan.

Tingkat kemahiran berbahasa dan komunikasi

Bagi kumpulan pengajar kanak-kanak autisme, ramai menyokong bahawa bahasa isyarat mampu membantu memperkembangkan kosa kata sesuatu ujaran. Maka, bahasa isyarat juga boleh dikategorikan sebagai platform bantuan terhadap kanak-kanak autisme yang boleh digunakan di sekolah, pusat terapi dan di rumah.

Ini kerana ketidakupayaan intelektual kanak-kanak autisme dalam memahami tatabahasa serta susunan perkataannya sendiri dilihat sedikit berbeza dan memerlukan sistem sokongan orang sekelilingnya seperti ibu bapa, adik beradik serta penjaga. Jika kaedah ini didedahkan dengan lebih meluas, ianya dilihat mampu membantu bahasa pertuturan mereka dalam memperkembangkan kosa kata sesuatu ujaran.

Selain itu, penggunaan bahasa isyarat juga dapat meningkatkan kemahiran berbahasa dan komunikasi kanak-kanak autisme. Dengan menggunakan bahasa isyarat, kanak-kanak ini boleh belajar bagaimana untuk menyampaikan maklumat dengan lebih jelas dan mudah difahami oleh orang lain. Ini membantu meningkatkan kepercayaan diri mereka dalam berkomunikasi, dan membantu meningkatkan interaksi sosial mereka dengan orang lain.

Hasil kajian yang dilakukan mendapati bahawa, bahasa isyarat perlu dianggap sebagai satu alat bantu mengajar, bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan secara tunggal untuk mengatasi masalah komunikasi dan interaksi sosial kanak-kanak autisme. Beberapa pihak perlu berperanan contohnya pereka bentuk alat bantuan mengajar agar lebih peka dalam menginovasikan sesuatu produk di samping membantu kanak-kanak autisme terhadap perkembangan afektif mereka.

Oleh itu, ia harus selari dengan tindakan tenaga pengajar yang perlu memahami kaedah yang mampu membantu perkembangan afektif kumpulan ini. Alat bantu mengajar yang digunakan juga perlulah menyokong kanak-kanak autisme untuk bertutur dengan lebih baik seiring keperluan sensori dan sosial mereka.

Sehubungan itu, adalah penting mengambil pendekatan yang holistik dalam membantu kanak-kanak autisme untuk berkembang secara sosial dan afektif. Ini termasuklah penggunaan pelbagai kaedah, seperti terapi bercakap, permainan interaktif dan aktiviti yang menggalakkan interaksi sosial. Malah, penjaga juga perlu arif dalam memilih alat bantu mengajar kanak-kanak autisme supaya dapat mempercepatkan perkembangan afektif mereka. Kepekaan ini perlu seiring dengan latihan rutin yang diajar dipusat autisme. Jika penjaga mengamalkan kaedah dan strategi yang sama di rumah, maka keberkesanannya akan lebih meningkat dan penggunaan ayat yang diungkap tidaklah terlalu terhad.

--BERNAMA

Muhamad Hafiz Hassan ialah Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)