TINTA MINDA

TINGKATKAN KESEDARAN HARTA INTELEK DALAM DUNIA PENDIDIKAN

08/12/2023 09:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Muhammad Danial Mohamed Farook

Malaysia telah meletakkan matlamat menjadi sebuah negara berteknologi tinggi pada 2023 menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 - 2030. Impian itu tidak hanya menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), tetapi memerlukan kerjasama merentas pelbagai institusi, industri dan semua lapisan masyarakat.

Pada saat ini, menurut Laporan Indeks Inovasi Global (GGI) Tahun 2023 yang diterbitkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO), Malaysia berada pada kedudukan ke-36 daripada 132 buah negara. Skor keseluruhan negara telah meningkat daripada 38.7 (2022) kepada 40.9 (2023), yang menggambarkan perkembangan positif budaya inovasi di dalam masyarakat tempatan.

Perubahan itu telah disumbangkan oleh beberapa inisiatif seperti wujudnya pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Melalui program seumpama Young Innovators Challenge (YIC), pelajar diberikan ruang untuk mencipta produk baharu yang dapat menyelesaikan masalah di dalam komuniti setempat berdasarkan kreativiti masing-masing sambil mendapat sokongan mentor dan guru.

Di samping itu, terdapat pelbagai pusat latihan pembangunan kemahiran teknologi dan penyelesaian masalah yang dibuat khas untuk pelajar sebagaimana yang ditawarkan oleh Chumbaka dan Arus Academy.

Produk inovasi Malaysia dan kesedaran pendaftaran harta intelek

Hasilnya, produk inovasi Malaysia tidak hanya dikenali dalam negara tetapi sehingga mendapat pengiktirafan serta pelaburan daripada antarabangsa. Contohnya Pandai yang merupakan platform pembelajaran dalam talian yang interaktif kepada pelajar sekolah, dan Durioo yang menawarkan sebuah platform video yang selamat, islamik dan mesra kepada kanak-kanak.

Seiring dengan perkembangan itu, kesedaran terhadap kepentingan pendaftaran harta intelek juga wajar dipergiatkan agar hasil inovasi dan idea yang dibuat tidak menjadi mangsa kecurian. Perkara ini bukanlah tanggapan negatif semata-mata. Terdapat kes baru-baru ini yang tular di media sosial berkenaan hasil seorang guru telah digunakan oleh pihak lain bagi pertandingan inovasi. Beliau telah mendaftarkan di Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) dan hasil inovasinya telah dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Namun begitu, permasalahan yang berlaku itu sangat mendukacitakan dan membuka mata ramai orang mengenai pelbagai lagi kecurian hasil dalam dunia pendidikan, iaitu pengambilan hasil tanpa pengiktirafan kepada pencipta asal. Permasalahan kecurian harta intelek itu tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi institusi pendidikan tinggi dan dunia pekerjaan turut terlibat.

Proses mendapatkan hasil penyelidikan dan pembangunan inovasi tidak mengambil masa yang singkat, serta memerlukan pelaburan yang banyak daripada seseorang pencipta. Ada kalanya, hasil tersebut mengambil masa beberapa tahun bagi melengkapkan kajian agar dapat disesuaikan untuk penggunaan umum, namun ia diambil dengan menghilangkan nama pencipta asal.

Kepentingan pendidikan harta intelek

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dibrugarh University pada 2019, kecurian harta intelek dapat menghalang kreativiti dan mengurangkan semangat pencipta asal. Hal ini menjadi lebih parah kerana berlaku dalam dunia pendidikan yang mana para pengkaji mempunyai kekangan peruntukan jika dibandingkan dengan industri yang dapat terus melabur dalam sektor penyelidikan dan pembangunan inovasi apabila berhadapan situasi serupa.

Justeru itu, dalam Malaysia bergerak ke negara berteknologi tinggi, penekanan wajar diberikan berkaitan kesedaran terhadap pendidikan harta intelek kepada masyarakat umum. Di peringkat sekolah, pengetahuan mengenai asas-asas harta intelek boleh diterapkan secara sisipan sewaktu penilaian dijalankan. Pemberitahuan kepada pelajar untuk memasukkan rujukan pada kerja kursus dan pengajaran kaedah untuk menghargai hasil kerja orang lain dapat dijadikan pemula kepada pendidikan harta intelek.

Selain itu, program khas berkaitan itu perlu dipergiatkan seperti yang pernah dijalankan oleh MyIPO iaitu IP Summer Camp, dan IP Funtastic. Matlamat program itu supaya pelajar didedahkan mengenai kepentingan perlindungan harta intelek serta menghormati hasil harta intelek orang lain. Program itu berpotensi untuk dianjurkan dengan skala yang lebih besar dan memerlukan kerjasama lebih banyak pihak dalam memastikan objektif program ini dapat dicapai.

Bagi pelajar di peringkat pendidikan tinggi, pendedahan melalui seminar khusus wajar dibuat. Tidak dinafikan perkara itu akan dilihat seperti menambah beban dan tugasan pelajar, tetapi mereka merupakan golongan yang paling berisiko untuk menjadi mangsa kecurian harta intelek. Kecurian itu berlaku khususnya pada hasil kerja yang dibuat bagi memenuhi keperluan akademik pelajar, seperti melaksanakan sebuah kajian lapangan, dan penciptaan sebuah produk yang inovasi bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Mungkin di mata pelajar tersebut, cukup sekadar mendapat keputusan yang cemerlang di keputusan akhir, tetapi apabila hasilnya diguna pakai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan digunakan bagi menjana pendapatan, barulah isu itu akan mula mendapat perhatian dan pada saat itu sudah terlambat ingin mendaftar. Pendedahan mengenai kesedaran harta intelek juga dapat mewujudkan pelajar yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti dalam tugasan yang dilaksanakan.

Dari sudut mata warga pendidik, pendedahan mengenai proses pendaftaran harta intelek wajar diperkasakan agar mereka sentiasa ingat untuk mendaftarkan hasil ciptaan alat bantu mengajar yang direka. Perkara itu juga penting agar mereka tidak menganggap proses pendaftaran sebagai sesuatu yang leceh dan menambah kerja. Sebaliknya, dengan beberapa langkah yang mudah sahaja di laman rasmi MyIPO, para pendidik dapat melindungi hasil inovasi mereka.

Dalam usaha Malaysia ingin merealisasikan impian menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030, sebuah ekosistem inovasi yang mampan wajar diwujudkan. Kewajipan terhadap kesedaran harta intelek perlu dijadikan asas kepada institusi pendidikan, pemain industri dan kerajaan agar aset yang diciptakan dapat dilindungi.

-- BERNAMA

Muhammad Danial Mohamed Farook ialah graduan Fakulti Pendidikan UiTM dan sedang berkhidmat sebagai pembangun produk di Pandai. Pandai merupakan sebuah platform e-learning untuk pelajar, dan turut menyediakan bahan pembangunan kemahiran para guru.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)