Ekosistem pendidikan di Malaysia bermula daripada pendidikan awal hingga institusi pengajian tinggi. Merujuk kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), pendidikan berkualiti merupakan elemen keempat daripada 17 elemen dalam agenda SDG. Agenda SDG ini telah diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) di bawah seliaan United Nations Department of Economic and Social Affairs (UN-DESA) sebagai sekretariat pemantau kemajuan dan pencapaian SDG di peringkat antarabangsa.
Agenda yang dibangunkan ini bertujuan memberi pandu arah kepada sesebuah negara dalam memastikan polisi dan tindakan yang dibuat mempertimbangkan elemen kemampanan dunia pada masa akan datang. Melalui pendidikan berkualiti, pembangunan masyarakat dapat ditingkatkan sekali gus dapat memberikan kesan kepada sosial, ekonomi dan kelestarian kehidupan.
Dewasa ini, pemodenan pekerjaan dan kepantasan teknologi dunia memerlukan penilaian dan pengiktirafan terhadap kebolehupayaan individu menguasai ilmu, penilaian kecekapan dalam pengendalian sesuatu sistem melibatkan pekerjaan, etika, risiko dan keselamatan.
Merujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah kompetensi bermaksud kebolehan, pengetahuan dan kemahiran melakukan sesuatu dengan cekap dan jaya, melepasi ujian penilaian tahap individu.
Melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran
Secara khususnya, sijil kompetensi adalah perakuan kepada individu yang lulus penilaian sesuatu kemahiran berdasarkan kepada piawaian tertentu dan dianugerahkan oleh badan-badan pentauliahan yang berkaitan. Melalui pelaksanaan pengiktirafan ini, ia dapat memastikan hanya individu yang layak sahaja dibenarkan terlibat dalam sesuatu bidang atau pekerjaan yang berkaitan.
Kajian Pengesanan Graduan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati graduan yang telah menamatkan pengajian melebihi 300,000 orang melibatkan universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti dan vokasional, Institut Latihan Kementerian Awam dan institusi pengajian tinggi lain.
Hal ini memberikan indikasi graduan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kelebihan dalam memastikan mereka dapat melengkapi keperluan pekerjaan dan sekali gus menjadi pilihan majikan. Ia juga dapat memberikan kelebihan kepada graduan dan mengurangkan jurang persaingan dalam menempatkan diri dalam alam pekerjaan, berserta sijil akademik mengikut kelayakan.
Dalam bidang kejuruteraan terdapat pelbagai bidang kompetensi yang ditawarkan oleh agensi-agensi bertauliah. Bidang-bidang kompetensi ini dapat diklasifikasikan kepada beberapa kategori antaranya kemahiran (kimpalan, pembuatan, ujian tanpa musnah, binaan, elektrik dan elektronik), teknikal (digital, bahan, tenaga, reka bentuk, perisian) dan pengurusan (projek, keselamatan dan kesihatan, kualiti).
Bidang kompetensi ini tidak hanya mengikut bidang pekerjaan, malahan itu softskill @ kemahiran insaniah juga mempunyai persijilan kompetensi yang dapat disertai oleh graduan. Melalui carian pantas dalam laman sesawang, terdapat pelbagai agensi yang menawarkan persijilan kompetensi dalam bidang-bidang tertentu. Badan pentauliahan, kandungan kursus, tempoh masa, kos, penilaian dan ujian/peperiksaan adalah bergantung kepada jenis persijilan kompetensi yang ditawarkan.
Pelan sokongan graduan
Dalam memastikan graduan menjadi pilihan majikan, terdapat beberapa institusi yang menyediakan pelan sokongan graduan. Inisiatif yang dibuat dengan memastikan graduan mempunyai persijilan kompetensi yang telah diambil semasa mengikuti pengajian. Ia menunjukkan usaha dan tanggungjawab yang dibuat oleh institusi dalam mengekalkan daya saing pelajar untuk kekal relevan dalam menghadapi arus dan cabaran dunia kini yang volatility, uncertainty, complexity & ambiguity (VUCA).
Secara umumnya, persijilan kompetensi ini dapat memberikan kelebihan kepada graduan, disamping dapat meningkatkan pengetahuan, ia juga dapat memberikan 'added value' dan pengiktirafan terhadap kepakaran yang ada pada seseorang individu, sekali gus 'market value' individu terbabit dapat ditingkatkan. Majikan akan memilih individu yang mempunyai 'extra value' kepada organisasi sebagai pilihan utama, yang mana individu tersebut dapat membantu dalam memacu organisasi ke arah kecemerlangan. Elemen ‘3-V’ ini dapat membuktikan kejayaan institusi dalam kemenjadian graduan yang holistik. Malahan, dengan melengkapkan kebolehupayaan dan kepakaran bidang melalui persijilan kompetensi, ia dapat memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Seiring dengan perkembangan ekonomi dunia dan negara, di samping daya saing yang kekal utuh, keperluan graduan untuk mempersiapkan diri dengan kekal lestari adalah amat penting. Graduan perlu memastikan kelengkapan diri dalam konteks pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme. Ia sekali gus dapat memberikan impak kepada graduan hari ini untuk kekal menjadi pilihan majikan, sama ada majikan tempatan atau mampu melengkapi pasaran kerja antarabangsa.
-- BERNAMA
Prof Madya Ts Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Ketua Jabatan, Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).