TINTA MINDA

KEGUSARAN KENAIKAN ARAS LAUT DI MALAYSIA

25/09/2024 11:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Pemanasan laut adalah petunjuk penting mengenai perubahan iklim dan ia berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakan. Kira-kira 93 peratus haba berlebihan yang terperangkap di sekeliling bumi akibat kesan gas rumah hijau, kini terkumpul di lautan seluruh dunia. Analisis terbaharu menunjukkan bacaan pemanasan lautan adalah selari dengan peningkatan suhu udara. Justeru, jika tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau, unjuran kajian meramalkan suhu di lapisan permukaan 2,000 meter di semua laut di dunia bakal meningkat sehingga 0.78 darjah Celsius menjelang penghujung abad ini. Perubahan suhu air laut dan peningkatan aras laut mengancam terumbu karang dan populasi ikan yang seterusnya memberi kesan kepada industri perikanan dan pelancongan.

Pengukuran air pasang surut menunjukkan bahawa kenaikan aras laut bermula sejak permulaan abad ke-20. Dari tahun 1900 ke 2017, aras laut purata Bumi meningkat sebanyak 16–21cm. Data dari pengukuran radar satelit pula menujukkan kenaikan pantas sebanyak 7.5 cm (3 in) dari tahun 1993 ke 2017 dengan purata kenaikan sebanyak 31 mm dalam tempoh sedekad. Kepantasan ini berlaku secara umumnya akibat perubahan iklim, termasuk pemanasan laut dan pencairan kepingan ais dan glasier. Justeru, saintis iklim menjangka kepantasan kenaikan aras laut akan meningkat pada abad ke-21, iaitu pada kadar 3.6 mm setahun.

Natijahnya, pemanasan global menyebabkan paras laut dijangka terus meningkat, tetapi kadar peningkatan ini sukar untuk diramal. Mengikut ramalan jangka masa panjang, setiap satu darjah Celsius kenaikan suhu Bumi akan membawa kepada kenaikan aras laut sebanyak 2.3 meter sepanjang dua alaf (2,000 tahun). Namun, pada Februari 2021, kajian terbitan Ocean Science mendapati, aras laut akan meningkat lebih tinggi daripada ramalan terdahulu kerana ais polar yang menyelubungi Lautan Artik sedang mengalami pencairan pada kadar yang jauh lebih cepat daripada jangkaan awal saintis. Walaupun begitu, aras laut tidak meningkat secara sekata di seluruh Bumi, yang mana ianya menjadi lebih rendah di sesetengah tempat seperti di Artik sedangkan kawasan kepulauan dan pesisir menerima tempias paling ketara.

Impak Ketara Kenaikan Aras Laut Di Malaysia

Ramalan peningkatan aras laut di Malaysia iaitu sebanyak 2.7-7.0 mm/tahun iaitu melebihi ramalan kenaikan aras laut global iaitu antara 1.7-3.1 mm/tahun. Kajian menunjukkan kenaikan aras laut purata sepanjang garis pantai Malaysia dari 1993 hingga 2010 adalah antara 2.73 hingga 7 mm setahun. Dianggarkan menjelang tahun 2100, aras laut di pesisir pantai Semenanjung Malaysia akan naik antara 0.25 meter hingga 0.52 meter yang akan menjejaskan kira-kira 1.5 juta jumlah penduduk Malaysia. Paras air laut yang semakin meningkat akan menyebabkan lebih banyak kawasan rendah semakin hilang atau istilah lainnya, tenggelam.

Hakikatnya, beberapa kawasan di Malaysia seperti Terengganu, Kedah, Selangor, Kelantan, Johor, Pahang, dan Melaka mengalami hakisan pantai yang ketara. Hakisan ini boleh menyebabkan kehilangan tanah sehingga beberapa meter setiap tahun. Kawasan seperti Bachok (Kelantan), Pantai Puteri (Melaka), dan Seberang Takir (Terengganu) menghadapi hakisan teruk, yang mengakibatkan kerosakan kepada penempatan penduduk dan struktur pantai.

Pencairan ais akan menyebabkan perubahan kandungan air di kawasan Lautan Pasifik dan Laut China menyebabkan peningkatan paras air laut, terutama di negeri yang menghadap Laut China Selatan seperti Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor. Jika kenaikan paras air melebihi paras bahaya, pelbagai kesan akan berlaku kepada penduduk dan kawasan berhampiran. Ini kerana 30 peratus daripada penduduk Malaysia tinggal di kawasan zon pantai iaitu 5 kilometer dari zon pasang surut. Kepadatan penduduk adalah tinggi di kawasan ini dengan 55 peratus kadar pekerjaan yang membabitkan pelbagai sektor seperti perkhidmatan, perindustrian dan pertanian. Kesannya, akan berlaku kehilangan nyawa, harta benda dan ekosistem semula jadi, aktiviti ekonomi terjejas, gangguan pada kesihatan dan mental serta pencemaran. Hal ini kerana, kebanjiran pantai dan dan hakisan tanah menyebabkan berlakunya kehilangan tempat tinggal.

Banjir pantai mendatangkan kemusnahan besar kepada harta benda yang mana banjir besar di Kuala Kedah pada tahun 2022 akibat kenaikan aras laut bersama dengan fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir yang memusnahkan rumah dan harta benda sehingga lebih daripada 300 penduduk terpaksa dipindahkan. Rentetan itu, penduduk juga terpaksa dipindahkan dan infrastruktur sedia ada perlu dibina semula. Di Pulau Pinang, fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir besar yang menjejaskan ratusan rumah dan menyebabkan kerosakan infrastruktur awam seperti jalan raya dan sistem saliran. Fenomena ini berlaku lebih kerap dan lebih ekstrem akibat kenaikan aras laut​. Di Kelantan pula, penduduk di kawasan pesisir seperti Bachok terdedah kepada risiko bencana alam seperti banjir dan hakisan pantai menyebabkan banyak rumah di kawasan ini telah runtuh atau rosak akibat fenomena ini, memaksa penduduk untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat​. Kos pemindahan dan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir mencapai puluhan juta ringgit setiap tahun.

Pencerobohan air masin masuk ke dalam sungai juga menjadikan sumber air tawar terjejas sekali gus menyebabkan sungai menjadi payau. Hal ini kerana apabila paras air laut meningkat sedangkan paras air sungai hanya di tahap yang sama pastinya akan menyebabkan aliran air sungai tidak dapat disalurkan ke laut. Akibatnya air laut akan memasuki sungai dan menyebabkan banyak hidupan air tawar berpindah selain tumbuhan di sekitar akan mati. Kesan pencerobohan air masin boleh dilihat sedang berlaku di Muar, Johor yang menjejaskan punca sumber air utama penduduk di sana. Di kawasan Bagan Datoh, Perak pula, banyak tanaman sawit mula menunjukkan perubahan dan mati kesan peningkatan air laut yang menceroboh masuk ke kawasan daratan terutama ketika fenomena air pasang besar.

Impak lain adalah kerosakan infrastruktur, di Selangor hakisan pantai telah merosakkan jalan raya, jeti, dan bangunan. Pelabuhan Klang misalnya telah mengalami peningkatan paras air yang memerlukan peningkatan infrastruktur pelabuhan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini​. Di Melaka, kawasan seperti Pantai Puteri telah mengalami hakisan yang sangat kritikal. Hakisan ini bukan sahaja mengancam penempatan manusia tetapi juga tapak-tapak pelancongan yang penting, menyebabkan kerugian ekonomi yang besar kepada industri pelancongan tempatan​. Hakisan Pantai turut menjejaskan banyak kawasan pertanian akibat kehilangan tanah yang memberi kesan kepada pengeluaran makanan dan pendapatan petani.

Peningkatan jumlah karbon dioksida (CO2) menyebabkan lebih banyak CO2 meresap ke dalam laut yang menyebabkan berlakunya pertambahan kepada suhu air laut. Peningkatan suhu air laut seterusnya menjejaskan proses kitaran biologi, geologi dan kimia hidupan marin seperti ikan dan terumbu karang. Perubahan ekosistem ini menyebabkan ikan dan hidupan marin lain berpindah ke tempat yang lebih sejuk. Malah akan berlaku kelunturan karang. Situasi ini turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan kerana, kawasan perikanan semakin jauh ke tengah laut, selain ketiadaan pokok paya bakau dan pencerobohan air masin masuk ke dalam kawasan sungai. Ini kerana kawasan pesisir pantai yang ada terumbu karang, paya bakau dan muara sungai kaya dengan hidupan air. Kehilangan dan terjejasnya perkara ini menyebabkan sumber pendapatan nelayan turut terjejas. Maka, kesedaran mengenai isu ini dan tindakan bersepadu dari semua pihak adalah penting untuk mengurangkan kesan negatif kenaikan aras laut dan melindungi penduduk pesisir pantai Malaysia.

Kos kenaikan aras laut di Malaysia adalah tinggi dan merangkumi pelbagai aspek, termasuk kos infrastruktur, kerugian ekonomi, dan kos sosioekonomi. Antara mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam usaha mengekang impak kenaikan aras laut adalah pembinaan ban pantai untuk meningkatkan ketinggian dan kekuatan menahan gelombang besar dan kenaikan aras laut dengan jangkaan kos menaik taraf ban pantai di seluruh Malaysia boleh mencecah hingga RM8 bilion dalam dekad akan datang. Selanjutnya adalah menggalakkan pemeliharaan dan penanaman semula hutan bakau sebagai penahan semula jadi terhadap hakisan dan gelombang serta merancang dan melaksanakan projek infrastruktur yang dapat menahan impak kenaikan aras laut termasuk penambahbaikan sistem saliran dan pemantauan paras air laut. Hutan paya bakau memainkan peranan yang sangat penting untuk melindungi pesisir pantai​ kerana berfungsi sebagai penahan ombak semula jadi, mengurangkan tenaga ombak, dan mengurangkan hakisan. Selain itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kenaikan aras laut bagi menggalakkan tindakan mitigasi di peringkat komuniti.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Pensyarah Institut Pengajian Sains Sosial/ Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)