TINTA MINDA

KERJA KERAS PM `JUAL’ MALAYSIA TIDAK PERLU DIRAGUI

26/11/2024 02:40 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Datuk Profesor Dr Mohd. Foad Sakdan

Saya tertarik dengan kenyataan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato' Ahmad Farhan Fauzi, mengenai adanya pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menimbulkan keraguan terkait hasil lawatan ke luar negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memang ada kedengaran suara sinis yang mempersoalkan mengapa Perdana Menteri sering melakukan lawatan ke luar negara, sebelum ini ke China, Arab Saudi, Peru dan Brazil dari 4 hingga 19 November, kini ke Republik Korea pula dari 24 hingga 26 November.

Lawatan untuk mengembalikan keunggulan negara

Kenyataan Ahmad Farhan mengenai lawatan luar negara Perdana Menteri ini merungkai isu penting: Adakah kekerapan lawatan ini hanya demi populariti atau ‘personal glory’ peribadi Perdana Menteri di peringkat antarabangsa atau benar-benar demi kepentingan negara?

Tidak syak lagi, jika diteliti secara mendalam, lawatan-lawatan ini adalah strategi kukuh untuk mengembalikan keunggulan Malaysia di persada dunia, terutama dalam konteks pembangunan ekonomi negara di tengah-tengah lanskap geopolitik yang kian mencabar.

Mengukuhkan kerjasama dua hala diplomasi masa hadapan

Salah satu elemen kritikal dalam lawatan Perdana Menteri adalah pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin dunia. Ini bukan sekadar diplomasi simbolik, tetapi langkah strategik untuk memperkukuh hubungan bilateral yang dapat menghasilkan pelbagai manfaat.

China: Perbincangan dua hala dengan Premier China, Li Qiang, membuka jalan bagi kerjasama strategik dan lebih banyak pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi. Ini menunjukkan Malaysia tidak hanya menumpu kepada industri tradisional tetapi turut bersedia menjadi pemain utama dalam ekonomi moden.

Mesir: Melalui pertemuan dua hala dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, usaha memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Mesir meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu telah dibincangkan. Ini menggambarkan pendekatan holistik dalam memanfaatkan potensi rakan dagang utama, sambil mengukuhkan ekonomi domestik melalui eksport strategik.

Amerika Latin (Peru dan Brazil): Pertemuan dua hala dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, menunjukkan wawasan jauh Perdana Menteri untuk memperluaskan hubungan Malaysia ke pasaran baru yang sebelum ini kurang diterokai. Ini amat penting untuk mendiversifikasi rakan dagang negara di luar tumpuan tradisional seperti ASEAN, Eropah dan China.

Republik Korea: Paling mutakhir, dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol, Perdana Menteri dan Presiden Yoon telah bersetuju untuk mempererat hubungan di empat lapangan, yakni kerjasama politik dan keselamatan; kerjasama ekonomi; kerjasama budaya, pendidikan dan pelancongan; serta kerjasama serantau dan di peringkat global. Ini juga mencerminkan pendekatan terarah Malaysia untuk menjalin hubungan strategik dalam sektor berimpak tinggi.

Menarik pelaburan berimpak tinggi: Jual Malaysia dengan bijak

Aspek paling signifikan lawatan-lawatan ini adalah usaha Perdana Menteri menarik pelabur asing yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini lebih daripada sekadar pertemuan; ia adalah langkah untuk memastikan Malaysia kekal relevan dalam rantaian nilai global.

China: Di China, pertemuan dengan pelabur-pelabur utama seperti Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd, China Chengwei Capital, NRL Capital, Bank of China, SINOCHEM, SICC Co. Ltd, China Investment Corporation (CIC), China International Capital Corporation (CICC) dan Huawei Technologies Co. Ltd. adalah pertemuan berimpak tinggi.

Begitu juga sidang meja bulat bersama pemimpin-pemimpin industri mewakili 24 syarikat utama di China yang mahu meneroka peluang-peluang pelaburan dan perdagangan dalam sektor utama termasuk semikonduktor, aeroangkasa, kenderaan elektrik, komponen automotif, peranti dan peralatan perubatan serta pusat inovasi telekomunikasi.

Mesir: Sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang membuka peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui menunjukkan penekanan kepada sektor-sektor yang mampu menyokong matlamat jangka panjang Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Amerika Latin (Peru dan Brazil): Minat 22 pemimpin industri dan perniagaan daripada 20 organisasi, termasuk konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez dan Grupo Molicom, dalam Mesyuarat Meja Bulat dengan Perdana Menteri terhadap produk Malaysia menggambarkan keunikan dan daya saing barangan kita di peringkat global, seterusnya membuka peluang baharu untuk eksport ke pasaran Amerika Selatan.

Begitu juga libat urus Perdana Menteri dengan wakil-wakil daripada industri semikonduktor Brazil serta sesi meja bulat bersama 27 ketua industri termasuk persatuan perniagaan Brazil di mana banyak syarikat Brazil menyatakan minat untuk terus meneroka peluang pelaburan di Malaysia.

Republik Korea: Perbincangan dengan Hyundai Motor Company (HMC) dan OCI Holdings bagi mendukung penuh pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV) serta industri semikonduktor dan solar mampu membuka jalan untuk Malaysia menjadi hab utama teknologi hijau dan tenaga bersih di rantau ini.

Sama halnya dengan sesi ‘C-Suite Insight Session’ yang memberi ruang kepada Malaysia untuk berbincang terus dengan pemuka-pemuka syarikat terkemuka Republik Korea seperti Samsung, SIMMTECH, Poongsan Corporation, Lotte Energy Materials, Kumho Petrochemical dan lain-lain yang mempersembah rencana mereka untuk Malaysia.

Pemangkin kepada reformasi ekonomi dan politik

Kebergantungan kepada ekonomi yang kukuh adalah prasyarat kepada reformasi institusi dan politik. Oleh itu, semua lawatan ini bukan sekadar menjual Malaysia kepada pelabur tetapi juga untuk meletakkan asas yang kukuh bagi pelaksanaan agenda reformasi Perdana Menteri.

Dengan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang menarik, kerajaan dapat menjana pendapatan negara yang stabil. Hasilnya, tekanan fiskal akan berkurangan, memberikan ruang kepada pembaharuan dalam pelbagai bidang lain.

Dengan menjalin hubungan erat dengan negara-negara seperti China dan Republik Korea, serta memanfaatkan peluang di rantau seperti Amerika Latin, Malaysia sekali gus meningkatkan kedudukannya sebagai pemain global yang dihormati. Ini secara langsung akan memperkukuhkan suara Malaysia dalam organisasi antarabangsa.

Suara-suara sinis yang mempersoalkan kekerapan lawatan ini sering gagal melihat gambaran besar.

Ekonomi Malaysia memerlukan lonjakan besar untuk kekal kompetitif, dan lawatan ini adalah sebahagian daripada strategi holistik untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam lanskap ekonomi dunia yang semakin kompleks.

Tegasnya, lawatan luar negara Perdana Menteri bukan sekadar percutian diplomatik tetapi satu bentuk pelaburan strategik untuk masa depan Malaysia.

Hasil pertemuan dua hala, libat urus dengan pelabur serta penekanan kepada sektor ekonomi moden menunjukkan usaha gigih ini tidak sia-sia. Ketika dunia menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, langkah ini sebenarnya adalah satu keperluan, bukan lagi satu pilihan.

-- BERNAMA

Datuk Profesor Dr Mohd. Foad Sakdan adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)