Oleh Danial Rahman
Baru-baru ini, Kerajaan MADANI Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberikan gred “D” oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam Laporan Penilaian Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM). Justifikasi yang diberikan adalah kerana kurangnya reformasi institusi yang signifikan dan janji yang belum ditepati.
Ketika diminta memberi komen, Anwar tidak mengelak. Beliau menjawab secara proaktif, mengibaratkan gred itu seperti peperiksaan sekolah, dan masih ada masa untuk mencapai gred “A” dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Realitinya, bukan keseluruhan Kerajaan MADANI wajar mendapat gred rendah. Ada pencapaian yang memberangsangkan, dan ada yang perlu diperbaiki. Soalan berbangkit adalah: Bagaimanakah menjadikan Gred A secara keseluruhan itu satu realiti? Dalam rencana ini, saya akan mengupas empat perkara utama.
Pertama: Pembangunan Ekonomi (Gred: B+ / B-)
Pentadbiran Anwar Ibrahim telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pembangunan ekonomi.
Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, nilai ringgit semakin kukuh, dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatat rekod RM160 bilion dalam separuh pertama 2024.
Komitmen pelaburan daripada NVIDIA, Google, AWS, dan Microsoft, antara lain, bernilai lebih daripada USD 17 bilion. Projek-projek berteraskan AI, pengkomputeran awan, semikonduktor, dan pusat data menjanjikan pengwujudan peluang pekerjaan yang signifikan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.
Disamping kadar pengangguran yang rendah, pencapaian ekonomi ini turut dicerminkan melalui penjanaan hampir 200,000 pekerjaan antara Januari 2023 dan Jun 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Pada pandangan saya, Kerajaan MADANI memperoleh Gred B+ dalam aspek pertumbuhan ekonomi dan pengurusan fiskal.
Namun, masih terdapat beberapa cabaran iaitu kadar gaji yang tidak meningkat, agihan kekayaan tidak saksama, dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Ini menyebabkan penilaian Gred berkurang kepada B-. Bagi mencapai Gred A, reformasi gaji, langkah anti-inflasi yang bersasar, dan memastikan agihan kekayaan yang saksama adalah keperluan utama.
Kemenangan Donald Trump, bakal Presiden Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa kejayaan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk semua rakyat. Jika isu asas ini tidak ditangani, ketidakpuasan dalam kalangan orang awam boleh membawa padah.
Kedua: Reformasi Politik dan Tadbir Urus Awam (Gred: A- / C)
Kerajaan Perpaduan Anwar layak menerima gred A- kerana mengekalkan kestabilan politik.
Kerjasama bekas ‘musuh politik’ dalam satu gabungan pragmatik dan berdisiplin belum pernah dilihat dalam lanskap politik negara. Walaupun mempunyai cabarannya tersendiri, rakyat Malaysia dan sektor perniagaan amat mengalu-alukan kestabilan kepimpinan ini selepas berhadapan dengan pergolakan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain itu, memerangi rasuah merupakan keutamaan Kerajaan MADANI, dengan pendakwaan berprofil tinggi menunjukkan komitmen pentadbiran. Namun, keraguan tetap berleluasa ekoran persepsi penguatkuasaan yang dilihat dibuat secara selektif.
Transformasi tadbir urus perkhidmatan awam pula, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara baharu, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, telah mula digerakkan dan sudah menampakkan keberhasilan positif dalam kalangan penjawat awam. Sebagai seorang “outsider,” Shamsul Azri membawa tenaga baru dan pengalaman kerjasama awam-swasta yang sangat berharga. Namun, beliau akan menghadapi cabaran besar kerana birokrasi negara, dengan 1.7 juta penjawat awam, amat selesa pada landasan sedia ada.
Selain itu, ketegangan antara kerajaan persekutuan dan negeri seperti dalam isu kawalan sumber minyak, pentadbiran agama, dan percukaian akan terus menguji Kerajaan MADANI.
Oleh itu, usaha reformasi pada masa ini sesuai mendapat Gred C. Masih ada banyak yang perlu dibuat. Bagi mencapai Gred A, Kerajaan perlu merealisasikan perubahan dalam beberapa aspek seperti pendanaan politik, persempadanan semula kawasan pilihan raya, had penggal Perdana Menteri, dan pemerkasaan jawatankuasa Parlimen.
Pemenang Hadiah Nobel 2024, James Robinson dan Daron Acemoglu, pengarang bersama buku “Why Nation’s Fail,” menekankan bahawa institusi tatakelola yang kuat dan inklusif merupakan indikator keberjayaan sesebuah negara. Oleh itu, mengutamakan reformasi-reformasi institusi sangat penting bagi membina semula kepercayaan awam dan memastikan kelestarian jangka panjang Malaysia.
Ketiga: Kesejahteraan Sosial, Keadilan, Belia, dan Pendidikan (Gred: B+ / C)
Kerajaan wajar mendapat Gred B+ ekoran usaha mengembangkan program-program pemerkasaan kebajikan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, serta Program Rancangan Makanan Tambahan untuk pelajar sekolah, program PLKN3.0 dan Rakan Muda untuk golongan belia, dan juga pelaburan yang besar bagi TVET.
Namun, cabaran tetap wujud seperti proses rasionalisasi subsidi yang mendapat kritikan kerana dilihat seperti diumumkan separuh masak terutamanya berkaitan klasifikasi T15 untuk golongan berpendapatan tinggi, yang secara tidak langsung “menghimpit” isi rumah M40. Di samping itu, usaha menangani kebantutan dan obesiti kanak-kanak, menjadikan TVET lebih menarik, dan mengatasi masalah buli serta kesihatan mental, kian berbangkit.
Dari sudut perundangan pula, Kerajaan mempunyai beberapa pencapaian utama termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori, pemberian hak kepada ibu Malaysia untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara, dan memperkenalkan undang-undang anti-menghendap. Selain itu, Bank Dunia telah mengiktiraf usaha Malaysia dalam mengukuhkan undang-undang bagi memperkasakan golongan wanita.
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan berbangkit mengenai sekatan kebebasan bersuara, keperluan lesen pengendalian media sosial, dan kelemahan dalam reformasi untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan. Batasan-batasan ini, antara lan, menurunkan gred kepada C.
Keempat: Dasar Luar, Kelestarian, dan Alam Sekitar (Gred: B+ / B)
Anwar mendapat gred B+ kerana telah berjaya meningkatkan profil global Malaysia. Pendiriannya yang berprinsip terhadap krisis kemanusiaan, seperti genosid di Gaza, dan peranan Malaysia yang semakin meningkat dalam BRICS mencerminkan penting negara dipersada antarabangsa. Tambahan juga, prestasi yang kukuh sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 boleh menaikkan gred ini kepada “A”.
Di dalam negara, usaha kelestarian memperoleh gred B. Belanjawan 2025 memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, tetapi masih terdapat cabaran seperti pembalakan, kehilangan biodiversiti, dan penyelarasan dasar domestik dengan advokasi antarabangsa. Pengenalan sebuah Pelan Tindakan Kesihatan Planet Nasional Malaysia, yang dirangka oleh Akademi Sains Malaysia, meletakkan negara sebagai peneraju dalam kelestarian, dan menawarkan harapan untuk kemajuan yang signifikan dalam bidang ini.
Kesimpulan dan Seruan untuk Bertindak
Eksperimen penilaian ini memang ‘menyeronokkan’. Namun, yang jelas adalah terdapat banyak faktor yang mempengaruhi gred yang diberikan. Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mencapai kemajuan yang membanggakan, dan gred “A” masih berada dalam jangkauan.
Bagi mencapainya, fokus dan usaha yang ikhlas amat diperlukan. Paling penting, ia adalah usaha bersama. Ahli kabinet perlu tampil lebih proaktif bagi meningkatkan keyakinan dalam kalangan rakyat dan perniagaan.
Bagi rakyat, mereka mesti terus memastikan kerajaan menjalankan tugas, dalam masa yang sama menyeimbangkan harapan mereka antara kepesatan reformasi dan matlamat jangka panjang.
Saya tetap optimis dan menantikan untuk menilai semula pandangan ini dalam beberapa tahun akan datang.
-- BERNAMA
Danial Rahman ialah Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI)