TINTA MINDA

OPT: SUMBER ALTERNATIF LESTARI BAGI INDUSTRI KAYU-KAYAN MALAYSIA

23/12/2024 11:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Ahmad Anwar Safwan Sidek

Batang kelapa sawit atau Oil Palm Trunk (OPT) kini menjadi tumpuan sebagai bahan mentah alternatif yang berpotensi besar dalam industri kayu-kayan Malaysia. OPT adalah hasil sampingan daripada pokok kelapa sawit yang telah diproses, ianya kini semakin diiktiraf sebagai penyelesaian lestari bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kayu tropika dan kayu getah.

Malaysia, dengan keluasan ladang kelapa sawit mencecah 5.8 juta hektar, menghasilkan lebih 13.6 juta batang kelapa sawit setiap tahun. Menurut Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Larry Sng Wei Shien, ketika menghadiri Seminar Oil Palm Trunk (OPT): Pemangkin Kelestarian Industri Kayu-kayan Malaysia 2024 pada 21 November 2024, pokok sawit mempunyai jangka hayat produktif selama 25 tahun, maka batang kelapa sawit mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan. Tambah beliau, sejumlah besar batang kelapa sawit yang boleh digunakan sebagai bahan mentah alternatif dalam industri perkayuan yang dapat mengurangkan kebergantungan pada kayu tropikal dan getah.

Keunikan dan Kelebihan OPT

OPT mempunyai struktur berserat yang berbeza daripada kayu keras tradisional. Walaupun batangnya mempunyai kepadatan yang berubah-ubah, lebih padat di bahagian luar dan lebih lembut di tengah, sifat ini membuka peluang untuk pelbagai aplikasi dalam industri kayu dan perabot. Dari segi estetik, OPT memiliki corak semula jadi yang menarik, dengan warna kekuningan hingga coklat muda, menjadikannya bahan pilihan untuk reka bentuk kontemporari.

Namun, OPT memerlukan pemprosesan khas. Kandungan lembapan yang tinggi, sehingga 80-90 peratus, menjadikannya kurang tahan secara semula jadi. Dengan rawatan seperti pengeringan dan penambahan lapisan pelindung, OPT dapat diubah menjadi bahan yang tahan lama dan stabil untuk pelbagai produk seperti papan lapis dan produk biokomposit.

OPT juga memberikan faedah ekonomi dan alam sekitar. Dengan menggunakan OPT sebagai bahan mentah, industri dapat mengurangkan kos bergantung pada sumber kayu import, di samping menyokong pemuliharaan hutan tropika yang semakin terancam.

Aplikasi OPT dalam Industri

OPT semakin mendapat tempat dalam pembuatan pelbagai produk kayu. Contohnya, ia boleh digunakan untuk menghasilkan meja, kerusi, pintu kabinet, serta panel dinding yang ringan tetapi menarik. Selain itu, OPT boleh diproses menjadi bahan biokomposit untuk aplikasi pembungkusan yang biodegradable, sekali gus menggantikan bahan plastik yang mencemarkan.

OPT turut sesuai untuk digunakan dalam produk seni bina, seperti pemisah ruang atau panel hiasan dalaman. Sifatnya yang boleh dikombinasikan dengan bahan lain, seperti logam atau kayu keras, meningkatkan kestabilan struktur produk akhir.

Menurut Datuk Larry Sng, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) menunjukkan OPT mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan pasaran. OPT juga dilihat sebagai sumber biojisim yang sesuai untuk produk kayu seperti papan lapis, kayu gergaji dan produk biokomposit.

Cabaran dan Langkah ke Hadapan

Walaupun OPT menjanjikan banyak kelebihan, cabaran dalam pemprosesan dan kualitinya perlu diatasi. Sifatnya yang rapuh dan kelembapan tinggi menjadikannya kurang sesuai untuk komponen struktur utama. Namun, teknologi terkini dalam pemprosesan kayu membuka jalan untuk mengatasi kelemahan ini, seperti menggunakan bahan pengikat dan teknik laminasi untuk meningkatkan kekuatannya.

MTIB juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan penggunaan OPT melalui pelbagai inisiatif. Antaranya ialah menyediakan kemudahan pengujian dan khidmat nasihat teknikal, selain memajukan pembangunan produk OPT melalui Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC). Langkah ini membantu meningkatkan kesedaran dan keyakinan terhadap OPT dalam kalangan pemain industri kayu.

OPT diharapkan dapat dijadikan sebagai antara sumber bahan mentah alternatif yang mampan dalam industri perkayuan. MTIB akan terus komited dalam menyokong industri melalui penyelidikan R&D, latihan dan kerjasama strategik.

OPT: Masa Depan Industri Kayu-Kayan

OPT tidak hanya membantu industri memenuhi permintaan bahan mentah, tetapi juga memainkan peranan penting dalam usaha melindungi alam sekitar. Dengan potensi untuk menggantikan kayu tropika, OPT menyokong kelestarian hutan dan mengurangkan pembaziran hasil pertanian.

Sebagai bahan mentah tempatan yang kos efektif dan mesra alam, OPT mampu membantu industri kayu-kayan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global. Dengan sokongan berterusan daripada agensi seperti MTIB, OPT dijangka menjadi pemacu penting dalam membentuk masa depan industri kayu-kayan yang lebih lestari dan inovatif.

-- BERNAMA

Ts. Ahmad Anwar Safwan Sidek ialah Felo Industri Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)