Oleh Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sebagai pusat inovasi, penciptaan ilmu, dan pembentukan modal insan. Namun, model pembiayaan tradisional yang terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan dan yuran pengajian kini tidak lagi memadai untuk menampung keperluan universiti. Dengan kos operasi yang semakin meningkat dan persaingan global, reformasi model pembiayaan IPT menjadi keperluan mendesak untuk memastikan kelestarian dan relevansi institusi ini.
Sumber manusia adalah aset paling bernilai bagi IPT, iaitu pensyarah dan pelajar. Pensyarah membawa kepakaran yang menjadi asas kepada pengajaran dan penyelidikan, manakala pelajar adalah generasi baharu yang mampu mencipta inovasi. Dengan kelulusan dasar oleh Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 6 Disember 2024, pensyarah dan pelajar kini boleh menubuhkan syarikat start-up dan spin-off berdasarkan hasil penyelidikan mereka. Polisi ini membuka peluang besar untuk mengkomersialkan inovasi, menjana pendapatan tambahan kepada universiti, serta menggalakkan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
Bagi menyokong usaha ini, pusat inkubasi universiti perlu diperkukuh untuk menyediakan bimbingan, latihan keusahawanan, dan akses kepada pelabur. Universiti juga boleh menjana pendapatan melalui perkongsian keuntungan daripada syarikat spin - off yang berjaya. Di samping itu, pusat pengurusan harta intelek sedia ada perlu diperkuatkan untuk memastikan perlindungan hasil penyelidikan serta mempercepatkan pelesenan teknologi dan pengkomersialan inovasi. Strategi ini membolehkan universiti memanfaatkan hasil penyelidikan secara optimum dan menjana pendapatan tambahan melalui royalti dan perkongsian keuntungan.
Penyelidikan
Kerusi penyelidikan yang dibiayai oleh kerajaan atau sektor industri adalah satu lagi strategi penting. Contohnya, Kerusi Bajau Samah di UMS yang dibiayai Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM4 juta telah memacu penyelidikan dalam bidang budaya, sejarah, dan ekonomi komuniti Bajau Samah. Penubuhan kerusi penyelidikan lain dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan makanan dan tenaga boleh diperbaharui mampu memacu penyelidikan berimpak tinggi serta memperkukuh hubungan universiti dengan sektor industri.
Sabah, dengan keunikan ekosistemnya, menawarkan peluang besar untuk membangunkan living lab sebagai platform pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan komuniti. Sebagai contoh, Klias Wetlands di Beaufort berpotensi menjadi living lab berskala besar yang mengintegrasikan pelbagai aktiviti seperti pemuliharaan biodiversiti, akuakultur untuk penternakan udang galah, pelancongan berasaskan alam sekitar, dan pusat terapi untuk rehabilitasi. Konsep ini boleh mencontohi kejayaan model Langkawi Geopark yang menggabungkan penyelidikan biodiversiti, pelancongan mampan dan pembangunan komuniti setempat. Living lab ini bukan sahaja menjana pendapatan universiti tetapi juga memperkasakan komuniti setempat melalui inovasi sosial dan lestari.
Program TVET
Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut memainkan peranan penting dalam memastikan program universiti relevan dengan keperluan pasaran kerja. Dalam program ini, universiti berfungsi sebagai pemberi pensijilan akademik, manakala rakan industri menyediakan latihan teknikal dan praktikal. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan tetapi juga memastikan mereka memiliki kemahiran relevan yang memenuhi permintaan industri.
Teknologi Digital
Teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) pula mampu meningkatkan kecekapan universiti. Sistem pemantauan digital boleh digunakan untuk menilai prestasi fakulti, pusat penyelidikan, dan keberkesanan program akademik dengan lebih pantas dan tepat. Teknologi ini juga boleh digunakan untuk memproses permohonan penyelidikan serta membuat keputusan berdasarkan data terkini. Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia, sambil memastikan pengurusan universiti lebih produktif dan berkesan.
Internasionalisasi
Internasionalisasi memberikan peluang besar untuk menjana pendapatan dan memperkukuh reputasi global universiti. Dengan menarik pelajar antarabangsa yang membayar yuran lebih tinggi, universiti dapat meningkatkan pendapatan sambil memperkayakan pengalaman budaya di kampus. Program mobiliti pelajar dan program asasi yang bekerjasama dengan universiti antarabangsa juga membuka peluang untuk menarik pelajar serantau, menjadikan universiti Malaysia sebagai hab pendidikan global yang kompetitif.
Sokongan Kerajaan
Kerajaan turut memainkan peranan penting dalam reformasi pembiayaan IPT. Kenaikan yuran secara bersasar telah diperkenalkan, di mana pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi dikenakan yuran lebih tinggi, manakala pelajar daripada keluarga kurang mampu diberikan subsidi mengikut kedudukan ekonomi keluarga. Di samping itu, program endowmen alumni menggalakkan alumni untuk menyumbang kepada dana wakaf universiti secara berkala. Dana ini boleh dilaburkan untuk menjana pendapatan pasif yang mampan, yang kemudian digunakan untuk menyokong biasiswa, penyelidikan, dan pembangunan infrastruktur.
Bagi memastikan semua inisiatif ini berjaya, universiti memerlukan ekosistem sokongan yang kukuh. Pusat pengurusan harta intelek perlu diperkukuh untuk melindungi hasil penyelidikan, manakala unit pakar rundingan dan penulisan perjanjian perlu diwujudkan untuk memperkemas kerjasama dengan industri. Transformasi digital universiti juga perlu dipercepatkan bagi memastikan institusi kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Reformasi model pembiayaan IPT bukan sekadar langkah untuk menangani cabaran kewangan tetapi juga peluang untuk mentransformasikan institusi pendidikan tinggi menjadi lebih lestari, inovatif, dan relevan. Dengan memanfaatkan sumber manusia, pengkomersialan penyelidikan, teknologi digital, kerusi penyelidikan, program TVET, dan sokongan kerajaan, universiti di Malaysia mampu menjadi pemacu utama pembangunan negara sambil memenuhi tanggungjawab sosial mereka.
-- BERNAMA
Prof. Ir. Dr Rosalam Sarbatly ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sabah (UMS).