Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana umat Islam menjalani ibadah puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Namun, bulan yang seharusnya mendidik kita untuk lebih bersederhana sering kali menjadi bulan pemborosan, terutama dalam perbelanjaan harian.
Dengan pelbagai promosi menarik, bazar Ramadan yang meriah, serta keinginan untuk menikmati juadah yang enak, ramai yang cenderung berbelanja lebih daripada keperluan.
Oleh itu, penting untuk mengamalkan belanja bijak agar kita tidak terjebak dalam pembaziran.
Kawal Perbelanjaan
Salah satu cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan ialah dengan merancang menu dan menetapkan bajet.
Dengan merancang menu berbuka dan sahur lebih awal, kita dapat mengelakkan pembelian makanan secara berlebihan yang akhirnya boleh menyebabkan pembaziran.
Senaraikan bahan-bahan yang diperlukan dan beli mengikut keperluan sahaja.
Ini bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan tetapi juga memastikan makanan yang dibeli digunakan sepenuhnya tanpa berlaku pembaziran.
Masak di rumah
Selain itu, bagi individu berkeluarga yang tidak mempunyai kekangan masa, memasak di rumah bukan sahaja lebih menjimatkan tetapi juga lebih sihat.
Juadah yang dimasak sendiri boleh dikawal dari segi kualiti dan kuantiti, berbanding makanan yang dibeli di luar.
Walaupun bazar Ramadan menawarkan pelbagai pilihan makanan yang menarik, harga makanan di bazar kebiasaannya lebih mahal dan tidak semestinya berkhasiat.
Dengan memasak di rumah, kita boleh menyediakan makanan yang lebih sihat mengikut cita rasa sendiri dan mengawal perbelanjaan dengan lebih baik.
Fokus barang keperluan
Pada bulan Ramadan, ketika membeli-belah, fokuslah kepada barang keperluan dan elakkan membeli makanan atau minuman yang tidak diperlukan.
Salah satu kesilapan biasa yang dilakukan ialah membeli terlalu banyak kuih-muih atau minuman manis yang akhirnya tidak dapat dihabiskan.
Oleh itu, setiap orang disarankan membeli makanan dalam kuantiti yang mencukupi untuk keperluan keluarga dan ini dapat mengelakkan pembelian mengikut nafsu semata-mata.
Meskipun banyak pasar raya dan kedai menawarkan promosi istimewa untuk barangan keperluan harian di bulan Ramadan, individu seharusnya membuat perbandingan harga sebelum membeli sesuatu.
Penggunaan aplikasi atau katalog dalam talian boleh membantu untuk mencari harga yang lebih murah mengikut bajet yang diinginkan.
Dengan membandingkan harga dan mencari promosi terbaik, kita dapat menjimatkan lebih banyak wang dalam tempoh sebulan ini.
Pembaziran makanan
Walaubagaimanapun, salah satu cabaran utama dalam pengurusan kewangan bulan Ramadan ialah pembaziran makanan.
Oleh kerana kita berpuasa sepanjang hari, kadangkala kita cenderung membeli atau memasak mengikut kehendak dan melebihi keperluan.
Akibatnya, banyak makanan yang tidak habis dimakan dan akhirnya dibuang. Untuk mengelakkan pembaziran, masak dalam kuantiti yang mencukupi dan simpan lebihan makanan untuk sahur atau hari berikutnya.
Selain itu, pertimbangkan untuk bertukar dan berkongsi makanan dengan jiran atau memberikan lebihan kepada mereka yang memerlukan.
Bijak berbelanja
Selain perbelanjaan makanan, ramai yang turut berbelanja lebih untuk pakaian baharu dan dekorasi rumah menjelang Hari Raya.
Walaupun ingin menyambut Aidilfitri dengan meriah, pembelian pakaian dan perhiasan rumah secara berlebihan boleh memberi kesan kepada bajet.
Oleh itu, sebelum membeli pakaian baharu, periksa dahulu pakaian sedia ada yang masih boleh digunakan. Jika perlu membeli, cari pilihan yang berkualiti dengan harga berpatutan.
Begitu juga dengan dekorasi rumah, cukup sekadar mengemas dan menyusun semula untuk memberikan suasana yang segar tanpa perlu mengeluarkan banyak wang.
Apa yang boleh disimpulkan, menguruskan kewangan dengan bijak di bulan Ramadan bukan sekadar untuk menjimatkan wang, tetapi juga untuk mengelakkan pembaziran dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sederhana.
Dengan merancang bajet, memasak sendiri, membeli hanya keperluan, membandingkan harga, serta mengawal perbelanjaan pakaian dan dekorasi, kita dapat menguruskan kewangan dengan lebih baik.
Ingatlah bahawa Ramadan bukanlah bulan untuk bermewah-mewah, tetapi bulan untuk mendidik diri agar lebih bersederhana dan berhemah dalam berbelanja.
Semoga dengan amalan ini, kita dapat menjalani Ramadan dengan lebih bermakna serta memperoleh keberkatan dalam kehidupan.
--BERNAMA
Mohd Khairi Ismail, ialah Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan Pensyarah Ekonomi di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu.