Fenomena mat rempit merupakan antara isu sosial dan keselamatan jalan raya yang paling membimbangkan di Malaysia.
Istilah mat rempit ini merujuk kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram atau menunggang dengan cara yang berbahaya di jalan awam.
Masalah ini bukan sahaja menjejaskan imej masyarakat, malah memberi kesan langsung terhadap kadar kemalangan dan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Walaupun aktiviti rempit sering dilihat sebagai hiburan atau gaya hidup dalam kalangan remaja, hakikatnya ia membawa risiko yang besar dari segi kehilangan nyawa, kecederaan kekal dan kerugian ekonomi kepada negara.
Kebanyakan mat rempit adalah terdiri daripada golongan remaja dan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun.
Lazimnya mereka ini berlatar belakangkan sosio-ekonomi sederhana atau rendah, bekerja dalam sektor tidak formal seperti penghantar makanan, mekanik motosikal atau masih penuntut di peringkat sekolah dan kolej.
Faktor utama yang mendorong penglibatan dalam aktiviti rempit termasuklah pengaruh rakan sebaya, keinginan mencari identiti diri, tekanan hidup dan kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
Dalam konteks sosial, aktiviti rempit menjadi saluran untuk menonjolkan keberanian dan kepuasan diri, terutamanya apabila mereka menerima sorakan daripada penonton atau pengikut di media sosial.
Namun begitu, tindakan tersebut sering mengundang padah kerana mereka terdedah kepada risiko kemalangan yang tinggi.
Kesalahan dan Risiko Kegiatan Mat Rempit
Antara jenis kesalahan yang sering dilakukan oleh golongan ini termasuklah menyertai perlumbaan haram di jalan awam, menunggang dengan kelajuan berlebihan dan melakukan aksi berbahaya seperti ‘wheelie’, ‘superman’ dan ‘zig-zag’.
Selain itu, mereka juga gemar mengubahsuai motosikal tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ini termasuklah percubaan untuk meningkatkan kelajuan enjin atau menghasilkan bunyi ekzos yang kuat.
Tidak kurang juga yang menunggang tanpa mempunyai lesen memandu sah, tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat serta melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Ada juga di antara mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah atau alkohol ketika menunggang yang memburukkan lagi keadaan pemanduan di jalan raya.
Kesalahan-kesalahan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab mereka terhadap nyawa sendiri dan keselamatan orang lain.
Kegiatan mat rempit mempunyai hubungan yang signifikan dengan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
Kemalangan Rempit
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih daripada 6,000 kemalangan maut dilaporkan berlaku di atas jalan raya setiap tahun.
Dalam kata lain, kemalangan telah meragut dalam 18 nyawa setiap hari.
Apa yang lebih menakutkan adalah lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan setiap tahun adalah daripada penunggang dan pembonceng motosikal.
Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya melibatkan remaja lelaki berumur di bawah 30 tahun.
Kajian lanjut oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula menunjukkan bahawa punca utama kemalangan motosikal ialah disebabkan oleh kelajuan yang tinggi, kehilangan kawalan dan pelanggaran peraturan lalu lintas.
Ini adalah di antara ciri-ciri tipikal tingkah laku penunggang mat rempit.
Perlumbaan haram biasanya berlaku pada waktu malam, terutamanya pada hujung minggu di lebuh raya atau jalan utama yang lapang.
Dalam keadaan jalan yang gelap dan licin, mereka berlumba dengan kelajuan tinggi tanpa perlindungan yang mencukupi.
Selain menyebabkan kehilangan nyawa di kalangan mereka sendiri, aktiviti rempit turut mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Banyak kes dilaporkan di mana pemandu kenderaan awam, penunggang motosikal lain dan pejalan kaki menjadi mangsa akibat tindakan tidak bertanggungjawab mat rempit.
Dalam sesetengah kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah atau meninggal dunia akibat dirempuh oleh penunggang yang melarikan diri daripada sekatan polis.
Situasi ini menimbulkan rasa takut dan tidak selamat dalam kalangan masyarakat, terutamanya apabila aktiviti rempit dijalankan berhampiran kawasan perumahan.
Faktor Sosioekonomi Rempit
Fenomena ini turut berpunca daripada pelbagai faktor sosial dan ekonomi.
Keterbatasan peluang pekerjaan serta tekanan hidup menjadikan motosikal sebagai simbol kebebasan dan status mampu milik bagi golongan muda.
Selain itu, kurangnya peluang aktiviti sukan bermotor yang sah dan selamat menyebabkan mereka mencari alternatif melalui perlumbaan haram.
Pengaruh media sosial juga memainkan peranan besar apabila aksi berbahaya ditonjolkan sebagai sesuatu yang mengagumkan dan mengangkat status penunggang di mata rakan sebaya.
Di samping itu, kegagalan dalam sistem pendidikan moral dan disiplin serta kelemahan institusi keluarga dalam memantau pergerakan anak-anak turut mendorong berlakunya masalah ini.
Dari sudut ekonomi, kemalangan jalan raya melibatkan kos rawatan hospital, kehilangan produktiviti serta kerosakan harta benda yang tinggi.
Dari sudut sosial pula, ia mencetuskan pelbagai masalah lain seperti penyalahgunaan dadah, pergaduhan geng motosikal, kecurian motosikal dan gangguan ketenteraman awam.
Imej masyarakat belia turut tercemar apabila aktiviti rempit dikaitkan dengan sikap liar dan tidak berdisiplin.
Secara tidak langsung, fenomena ini menggugat kesejahteraan dan keselamatan negara.
Kajian MIROS pada 2018 menunjukkan kerajaan kerugian sekitar RM3.12 juta per kematian.
Namun haruslah diingatkan bahawa ini adalah anggaran statistik untuk penilaian dasar (bukan pampasan undang-undang), yang wajar dikemaskinikan mengikut inflasi dan pendapatan semasa.
Pendekatan Menyeluruh
Untuk membendung isu ini, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan melalui gabungan pendidikan, penguatkuasaan dan pembangunan sosial belia.
Pendidikan keselamatan jalan raya harus diterapkan sejak di bangku sekolah melalui kurikulum dan aktiviti ko-kurikulum yang menarik.
Penguatkuasaan undang-undang pula perlu diperketatkan dengan hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam perlumbaan haram, termasuk penyitaan motosikal dan hukuman penjara.
Di samping itu, pihak berkuasa dan swasta perlu menyediakan litar lumba sah dan terkawal bagi mereka yang benar-benar berminat dengan sukan permotoran.
Program pemulihan dan kaunseling juga wajar dilaksanakan untuk memberi peluang kepada penunggang muda berubah dan menyertai aktiviti yang lebih berfaedah.
Peranan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi belia amat penting dalam menganjurkan program kesedaran serta aktiviti alternatif yang lebih sihat.
Kesimpulannya, isu mat rempit bukan sekadar masalah disiplin jalan raya, tetapi manifestasi cabaran sosial dalam kalangan generasi muda.
Ia mencerminkan kegagalan dalam aspek bimbingan moral, kekangan ekonomi serta pengaruh budaya moden yang menyanjung keberanian tanpa batas.
Aktiviti berbahaya ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan diri penunggang, malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Oleh itu, usaha menangani isu ini perlu dilakukan secara bersepadu oleh semua pihak kerajaan, keluarga, masyarakat dan institusi pendidikan.
Isu ini perlu dibicara dan diperkatakan berulang kali sehinggalah kita berjaya melahirkan generasi muda yang lebih berdisiplin serta berhemah di jalan raya.
-- BERNAMA
Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).