PENA WANITA

BUNYI BISING MUSUH SENYAP, LINDUNGI PENDENGARAN PEKERJA ANDA!

01/08/2025 04:18 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Masalah kehilangan pendengaran dalam kalangan pekerja di Malaysia semakin menjadi kebimbangan yang serius, khususnya dalam sektor industri yang terdedah kepada bunyi bising berterusan seperti pembinaan, pembuatan, perlombongan dan logistik. Pendedahan kepada tahap bunyi yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang tanpa perlindungan mencukupi boleh menyebabkan kerosakan pendengaran kekal, dan malangnya, kerosakan ini sering berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari.

Menurut Laporan Statistik Penyakit Pekerjaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit pendengaran akibat bunyi bising mencatatkan bilangan kes tertinggi berbanding penyakit pekerjaan lain. Pada tahun 2021, sebanyak 3,648 kes dilaporkan, dan jumlah itu meningkat kepada 5,478 kes pada tahun 2022 dan pada tahun 2023. Peningkatan ini membuktikan bahawa kehilangan pendengaran akibat pekerjaan bukan lagi isu terpencil, malah telah menjadi salah satu masalah utama dalam kesihatan dan keselamatan pekerjaan di negara ini.


Gambar : Statistik Penyakit Pekerjaan Negara 2023 ( Jabatan Perangkaan Malaysia, 2024)

Bunyi yang melebihi 85 desibel (dB) secara berterusan adalah antara punca utama kepada masalah ini. Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994), majikan bertanggungjawab melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya. Di bawah akta ini, majikan wajib mengenal pasti, menilai dan mengawal sebarang risiko yang boleh membahayakan pekerja.

Dalam konteks pendedahan bunyi bising, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan kepada Bunyi Bising) 2019 diperkenalkan sebagai peraturan khusus. Mengikut Peraturan 6(1) peraturan tersebut, setiap majikan hendaklah memastikan bahawa tiada pekerja terdedah kepada paras pendedahan bunyi harian melebihi 85 dB(A) atau dos bunyi harian melebihi 100 peratus, paras tekanan bunyi maksimum melebihi 115 dB(A) pada bila-bila masa serta paras tekanan bunyi puncak melebihi 140 dB(C).

Kebanyakan mesin dan peralatan industri mengeluarkan tahap bunyi yang jauh melebihi paras ini. Pekerja yang terdedah tanpa peralatan perlindungan berisiko mengalami ‘Noise-Induced Hearing Loss’ (NIHL) yang tidak boleh dipulihkan. Selain daripada kesan kesihatan, kehilangan pendengaran juga menjejaskan produktiviti dan keselamatan di tempat kerja kerana ia mengganggu komunikasi antara pekerja, meningkatkan risiko kemalangan, dan menurunkan kecekapan kerja. Kesan kehilangan pendengaran akibat pekerjaan adalah menyeluruh dan memberi impak besar kepada kehidupan individu.

NIHL: Kesan Terhadap Kesihatan dan Ekonomi

Dari sudut kesihatan, pekerja boleh mengalami kerosakan kekal pada deria pendengaran dan masalah tinnitus iaitu bunyi berdengung dalam telinga yang mengganggu fokus dan tidur. Dari aspek psikologi, ia boleh mencetuskan tekanan emosi, kemurungan, dan rasa rendah diri, terutamanya apabila individu tidak dapat berinteraksi seperti biasa. Gangguan komunikasi ini juga mendorong kepada pengasingan sosial dalam kalangan pekerja yang terjejas.

Kesan terhadap prestasi kerja turut ketara. Pekerja yang sukar mendengar arahan atau bunyi persekitaran berbahaya berisiko tinggi mengalami kemalangan dan kesilapan kerja. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menjejaskan reputasi dan keberkesanan operasi sesebuah syarikat. Dari sudut ekonomi, beban kos rawatan perubatan, penggunaan alat bantuan pendengaran, kehilangan peluang pekerjaan serta kemungkinan pampasan kepada pekerja boleh memberi kesan besar kepada kedua-dua pihak pekerja dan majikan.

Tanggungjawab Bersama Majikan dan Pekerja

Majikan memainkan peranan penting dalam mencegah dan mengawal masalah ini. Langkah pertama ialah menjalankan penilaian risiko bunyi secara berkala di kawasan kerja bagi mengenal pasti zon berisiko tinggi. Seterusnya, majikan perlu melaksanakan program kawalan kejuruteraan seperti memasang penyerap bunyi atau pelindung akustik serta memastikan mesin disenggara dengan baik bagi mengurangkan tahap kebisingan. Di samping itu, penyediaan peralatan pelindung pendengaran seperti 'ear plug' dan 'ear muff' adalah satu keperluan asas. Namun, penyediaan sahaja tidak mencukupi – penggunaan yang konsisten dan betul perlu dipastikan melalui latihan dan pengawasan.

Pekerja juga harus memainkan peranan aktif dalam melindungi kesihatan pendengaran mereka. Mereka perlu menggunakan alat perlindungan yang dibekalkan, mematuhi arahan keselamatan dan segera melaporkan sebarang gejala awal seperti deringan dalam telinga (tinnitus) atau kekurangan kejelasan pendengaran. Latihan berkala dan pendidikan mengenai kesan pendedahan kepada bunyi bising serta cara penggunaan alat pelindung yang betul sangat penting dalam membina budaya keselamatan kerja yang berkesan.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan berkala termasuk ujian audiometri perlu dilaksanakan bagi mengesan awal sebarang kemerosotan pendengaran. Dengan pengesanan awal, intervensi seperti penempatan semula pekerja, perubahan proses kerja atau rawatan susulan boleh dilakukan sebelum kerosakan menjadi kekal. Majikan juga perlu memastikan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan kepada Bunyi Bising) 2019 yang digariskan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Kesimpulannya, usaha mencegah kehilangan pendengaran di tempat kerja adalah tanggungjawab bersama antara majikan dan pekerja. Majikan wajib menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif, manakala pekerja pula harus melindungi diri mereka dengan pengetahuan dan disiplin yang tinggi. Kesihatan pendengaran ialah aset tidak ternilai, sekali rosak tiada jalan kembali. Justeru, langkah pencegahan awal adalah kunci utama dalam memastikan kesejahteraan pekerja terjamin serta kelangsungan operasi industri berjalan lancar tanpa gangguan akibat isu kesihatan pekerjaan yang boleh dielakkan.

-- BERNAMA

Dr Zuritah A.Kadir ialah Pensyarah Kanan Program Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau Zuritah@uthm.edu.my

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)