TINTA MINDA

CATATAN SEORANG PENDIDIK KEPADA BAKAL PENDIDIK SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2025

28/08/2025 12:50 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah

Oleh Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah

Kita semua merupakan rakyat Malaysia, dan kita semua wajar disantuni dan menyantuni. Rukun Negara yang kelima, "Kesopanan dan Kesusilaan" menekankan betapa peri pentingnya kesopanan disemai dan dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malaysia MADANI ialah kerangka pembangunan negara yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membentuk masyarakat maju, sejahtera, dan berakhlak, berasaskan enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan.

Penulis cuba menghurai perspektif penulis sebagai ahli akademik, pensyarah dan penyelidik di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi terhadap tema Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 yang bertemakan, "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni".

Mendidik bakal pendidik

Dalam konteks mendidik bakal pendidik, penulis melihat peranan untuk menyantuni pelajar tanpa mengira latar belakang mereka, dan penulis sebagai pendidik mereka juga wajar disantuni.

Dengan erti kata lain, simbiosis antara pendidik yang mengajar bakal pendidik berlaku bukan sahaja secara formal, mahupun informal.

Dalam aspek penyampaian kuliah, setiap idea dan pandangan yang diberikan oleh mahasiswa perlu dihargai kerana ia merupakan cebisan pengetahuan yang perlu kira raikan hasil dari pemikiran dan pengalaman mereka.

Daripada situ, kita boleh lihat kematangan mereka dan penambahbaikan yang boleh kita pertimbangkan. Penulis secara peribadi lebih suka berkomunikasi secara dua hala dalam atmosfera pembelajaran dalam kuliah. Di samping dapat menggalakkan pelajar berfikir, ia dapat meningkatkan tahap keyakinan dan kemahiran komunikasi mereka.

Tambahan pula, mereka merupakan bakal guru yang memerlukan mereka bersifat ekstrovert dan proaktif dalam pembelajaran mereka.

Penyediaan Tugasan

Dari aspek penyediaan tugasan, mereka juga perlu disantuni dalam proses menyiapkannya.

Setiap kali tamat kuliah, penulis sering mengalu-alukan mana-mana kumpulan yang ingin membincangkan kemajuan tugasan masing-masing dan memerlukan input tambahan daripada penulis dari semasa ke semasa. Etika dalam menyiapkan tugasan amat penulis tekankan.

Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan dengan cara dan kaedah yang betul.

Pembahagian tugasan perlu dilaksanakan secara adil dan saksama kepada setiap ahli kumpulan supaya tiada pelajar yang hanya menumpang nama. Penulis suka mengingatkan pelajar untuk memaklumkan kepada penulis andai terdapat ahli kumpulan yang tidak memberikan kerjasama dalam menyiapkan tugasan.

Penulis akan menegur mereka secara peribadi di dalam pejabat penulis tanpa pengetahuan rakan-rakan yang lain. Prinsip penulis, usah dimalukan insan di khalayak ramai, kerana nasib kita pada masa akan datang masih lagi menjadi rahsia.

Begitu juga dengan pembentangan tugasan, teguran akan penulis lakukan andai pelajar hanya membaca tulisan yang tertera pada slaid pembentangan tanpa ada penerangan tambahan daripada pelajar.

Kepesatan teknologi dan jangkaan tinggi

Generasi MADANI pada hari ini bakal berhadapan dengan kepesatan teknologi dan jangkaan yang tinggi daripada pihak industri.

Maka, pengetahuan, kemahiran dan sikap secara holistik perlu dibentuk semasa mereka berada di alam universiti supaya atribut yang wujud dalam diri graduan seiring dan sejalan dengan apa yang dikehendaki oleh pihak majikan.

Menyantuni mahasiswa bukan sahaja terhad di dalam dewan kuliah. Selain berperanan sebagai pensyarah, penulis juga berperanan sebagai penasihat akademik, penyelia latihan mengajar dan penyelia projek tahun akhir.

Penasihat akademik sebagai pakar rujuk

Sebagai penasihat akademik, penulis kerap dirujuk oleh pelajar yang bukan sahaja mempunyai masalah dalam aspek akademik, malah aspek peribadi yang memberi kesan kepada pengajian mereka.

Umpamanya, masalah kewangan, ahli keluarga yang ditimpa penyakit dan banyak lagi. Penulis cuba menasihati sebaik mungkin, namun, andai kurang berkesan, penulis akan minta mereka berjumpa dengan perkhidmatan kaunseling dan sebagainya.

Begitu juga dengan aspek penyeliaan, penulis agak tegas, namun teguran yang dibuat untuk kebaikan pelajar. Mereka berada di tahun akhir pengajian sebelum menamatkan pengajian dan akhirnya memulakan kerjaya khususnya pendidik di sekolah.

Walau bagaimanapun, teguran yang diberikan bertempat dan bukannya sepanjang masa. Misalnya, kesalahan berulang, tidak membuat penambahbaikan seperti mana yang dicadangkan dan sebagainya.

Penulis bukanlah yang terbaik, namun jauh di sudut hati penulis mengharapkan, mereka dapat belajar sesuatu daripada penulis dan mengamalkan mana-mana yang dirasakan baik untuk mereka apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Tambahan pula, mereka bakal mendidik generasi muda sekarang yang dibesarkan dengan persekitaran teknologi yang pesat berkembang, dan tidak sama dengan pengalaman pembelajaran di sekolah bertahun-tahun dahulu. Nasihat penulis, santunilah anak-anak murid mereka mengikut batas dan peraturan yang ditetapkan.

Bakal guru perlu didedahkan isu sosial, budaya dan ekonomi

Bakal guru juga didedahkan kepada isu-isu sosial, budaya, dan ekonomi yang mempengaruhi pembelajaran murid. Penulis cuba mengaplikasikan pedagogi yang menekankan pendekatan mesra budaya, supaya guru mampu menyesuaikan kaedah mengajar dengan latar belakang murid.

Umpamanya, pelajar tahun akhir yang melaksanakan projek sarjana muda (PSM) di bawah penyeliaan penulis digalakkan untuk membangunkan sesuatu yang boleh diaplikasikan sewaktu mereka berada di sekolah kelak.

Salah satunya, mereka membangunkan aktiviti berasaskan etnomatematik iaitu aktiviti matematik yang menggabungkan budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Contohnya, tanglung dengan konsep poligon, kolam (budaya kaum India) dengan konsep geometri, rumah limas Johor dengan konsep pelan dan dongakan, wau bulan dengan konsep transformasi dan terdapat juga pelajar PhD penulis yang melaksanakan kajian berkaitan pendidikan murid Orang Asli.

Secara tidak langsung kita menyantuni anak-anak murid dengan latar belakang yang berbeza.

Wujud hubungan baik dengan rakan sekerja

Penulis juga sering menasihati pelajar untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan rakan sekerja apabila berada di sekolah kelak.

Mereka juga sering diingatkan bahawa, mereka tidak semestinya akan ditempatkan di sekolah pilihan mereka, tetapi boleh ditempatkan di mana-mana sahaja termasuklah di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, tidak kira di mana mereka ditempatkan, sama ada di bandar, luar bandar, sekolah berkeperluan khas, atau sekolah Orang Asli, budi pekerti, hormat, dan kesantunan terhadap murid, rakan sejawat, dan masyarakat perlu diutamakan.

Tuntasnya, dalam konteks penulis sebagai pendidik di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, rakyat disantuni dalam Malaysia MADANI bermakna penulis dan rakan-rakan sejawatan melatih guru yang berjiwa pendidik iaitu yang mengajar dengan hati, menghormati latar belakang murid, dan memikul amanah untuk membina masyarakat berilmu dengan penuh santun dan tanggungjawab.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah ialah daripada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)