TINTA MINDA

LAKSANA PENILAIAN AWAL KONDISI BANGUNAN PASCA GEMPA DEMI KESELAMATAN AWAM

11/09/2025 11:21 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Sr Dr Irwan Mohammad Ali

Gegaran lemah berukuran magnitud 4.1 yang mengejutkan warga Segamat seawal pagi 24 Ogos 2025 menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak kebal daripada ancaman gempa bumi.

Walaupun Malaysia bukan berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang sering mengalami aktiviti seismik, namun kejadian ini membuktikan bahawa kesan gegarannya juga boleh dirasai. Sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan bangunan sedia ada susulan impak gegaran tersebut.

Menurut sumber, gempa bumi yang dicatat pada jam 6.13 pagi itu berpusat kira-kira 5 kilometer di barat Segamat dengan kedalaman 10 kilometer. Gegaran turut dirasai oleh penduduk di kebanyakan kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.

Walaupun setakat ini tiada kerosakan rasmi dilaporkan, ramai penduduk menyatakan pengalaman cemas apabila terasa katil bergegar, lampu berayun, dan ada yang menyangka bunyi dentuman akibat letupan atau kenderaan melalui kawasan kediaman mereka.

Tindakan Proaktif Kerajaan Negeri

Kerajaan Negeri Johor yang diterajui oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi telah bertindak secara proaktif dengan menasihati rakyat supaya segera menjauhi struktur-struktur yang tidak kukuh serta sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

Tindakan ini mencerminkan tindakan kerajaan negeri yang pantas mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan semua pihak meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka.

Walaupun gegaran yang berlaku adalah lemah, kesedaran awal penting bagi mengelakkan panik dan memberi panduan kepada rakyat tentang tindakan segera yang perlu diambil.

Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa tersebut dan menekankan bahawa pihaknya akan meneruskan pemantauan secara berterusan.

Keupayaan negara untuk mengesan, merekod, dan menghebahkan maklumat mengenai gempa bumi dengan segera merupakan aspek penting dalam pengurusan bencana moden.

Di sebalik jaminan bahawa tiada kerosakan besar dilaporkan, penilaian awal teknikal yang lebih mendalam masih diperlukan. Walaupun gegaran berintensiti rendah, ia boleh menyebabkan keretakan atau kerosakan struktur yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar.

Peranan, Kepakaran RISM dan MyRBS

Retakan kecil pada dinding, asas yang berubah kedudukan, atau kelemahan pada sambungan struktur boleh menjadi ancaman pada masa depan sekiranya tidak dibaiki. Di sini, juruukur bangunan berdaftar berperanan dalam membantu membuat penilaian awal impak bencana.

Mereka merupakan profesional yang diiktiraf oleh Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) dan bernaung dibawah Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS) dengan kepakaran menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kondisi bangunan.

Melalui penilaian teknikal, mereka dapat menentukan tahap keselamatan bangunan, mengenal pasti risiko, serta mengeluarkan laporan profesional sebagai rujukan untuk tindakan selanjutnya.

Antara peranan utama juruukur bangunan selepas berlakunya bencana seperti gempa bumi adalah memastikan tahap keselamatan struktur bangunan dapat dikenal pasti dengan segera.

Pertama, mereka menjalankan penilaian awal terhadap struktur bangunan bagi menentukan sama ada ia masih selamat untuk diduduki atau sebaliknya perlu dikosongkan sementara demi mengelakkan risiko kemalangan.

Selain itu, juruukur bangunan juga berperanan dalam mengesan kerosakan tersembunyi seperti retakan halus, asas bangunan yang terjejas, atau bahagian yang longgar yang berpotensi menjadi ancaman kepada penghuni.

Selepas gempa, kerosakan bangunan boleh berbeza dari retakan kecil pada dinding, kaca pecah dan perabot jatuh, hingga kepada keretakan struktur utama, bumbung runtuh, atau bangunan condong. Justeru, ia memerlukan penilaian awal dari pakar seperti juruukur bangunan.

Seterusnya, juruukur bangunan turut memberikan cadangan teknikal berkaitan pembaikan termasuklah langkah-langkah pembaikan segera atau pengukuhan struktur agar bangunan kembali stabil.

Di samping itu, juruukur bangunan juga boleh menyediakan laporan forensik yang lengkap berdasarkan kepada keperluan semasa.

Laporan ini penting kerana ia boleh dijadikan rujukan oleh pemilik bangunan, pihak berkuasa tempatan, syarikat insurans, dan kontraktor dalam proses tuntutan, perancangan pembaikan, serta langkah pencegahan pada masa hadapan.

Peranan ini meletakkan juruukur bangunan sebagai salah satu pihak profesional yang turut menyumbang dalam usaha memastikan keselamatan awam selepas berlakunya bencana alam seperti gempa bumi ini.

Tingkatkan Kesedaran Awam

Dengan adanya pemeriksaan awal pakar secara profesional, risiko runtuhan secara tiba-tiba akibat kelemahan struktur dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya dapat diminimakan, sekaligus melindungi nyawa penghuni serta pengguna bangunan.

Jelas, kejadian gempa bumi yang sering berlaku kebelakangan ini mendedahkan keperluan untuk meningkatkan kesedaran awam. Ramai penduduk yang panik kerana tidak pasti langkah yang perlu diambil. Malah ada juga yang menyangkakan gegaran berpunca daripada gangguan makhluk halus.

Situasi ini membuktikan pentingnya pendidikan bencana yang lebih sistematik, termasuk panduan asas keselamatan semasa gempa. Antaranya seperti menjauhi tingkap, berlindung di bawah struktur yang kukuh, dan mengelakkan penggunaan lif.

Selain itu, bangunan lama pula lebih berisiko mengalami kerosakan kerana kebanyakannya dibina sebelum piawaian anti-gempa diperkenalkan.

Justeru, pemeriksaan berkala dan kerja pengukuhan struktur bangunan perlu dipertimbangkan oleh pemilik serta pengurus bangunan.

Walaupun gempa bumi lemah yang berlaku tidak mengakibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan besar, ia tetap memberi mesej jelas bahawa Malaysia perlu lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana gempa di masa depan.

Kini pemeriksaan bangunan pasca gempa tidak boleh dianggap pilihan, sebaliknya perlu dijadikan keperluan asas dalam pengurusan risiko bencana.

Hanya melalui kesedaran, tindakan awal, dan kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal, profesional, dan masyarakat, kerajaan dapat memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin walaupun berdepan ancaman alam yang tidak diduga.

Mandatorikan penilaian awal kondisi bangunan pasca gempa bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan pemilik bangunan demi keselamatan semua.

-- BERNAMA

Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali ialah Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Juruukur Bangunan Berdaftar

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)