PENA WANITA

PERANAN NILAI INTEGRITI DALAM ISU RASUAH DI MALAYSIA

12/09/2025 10:22 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nazreena Mohammed Yasin, Hanisah Md Idris

Nilai integriti merupakan asas kepada pembentukan masyarakat dan sesebuah tamadun yang adil dan sejahtera.

Di Malaysia, isu rasuah masih menjadi salah satu cabaran terbesar dalam mencapai kemajuan yang sebenar sehingga ke hari ini.

Kes-kes terkini yang melibatkan pemimpin menjadikan isu ini semakin serius dan solusi yang berkesan perlu diambil untuk menangani isu ini.

Rasuah bukan hanya merosakkan ekonomi negara, tetapi juga mencemarkan nilai moral dalam masyarakat.

Integriti, sebagai satu prinsip etika yang mementingkan ketulusan, kejujuran dan bertanggungjawab, memainkan peranan penting dalam usaha memerangi rasuah.

Kepentingan nilai integriti

Perkataan ‘Integriti’ berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘Integritas’ yang bermaksud keseluruhan, kemurnian atau kesempurnaan.

Menurut Kamus Dewan, Edisi 2000, integriti bermaksud kejujuran, ketelusan, kesempurnaan dan keutuhan.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, integriti merujuk kepada tingkah laku yang beretika dan konsisten dengan prinsip moral yang tinggi, yang melibatkan kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab.

Nilai ini penting kerana ia membentuk kepercayaan dalam hubungan sosial, ekonomi dan politik.

Tanpa integriti, masyarakat akan mudah terjebak dalam masalah ketidakadilan dan penyelewengan kuasa.

Di Malaysia, penerapan nilai integriti dalam kehidupan seharian adalah langkah pertama untuk memastikan pembangunan negara dapat bergerak dengan lancar dan berdaya saing.

Tanpa integriti, pentadbiran awam dan sektor swasta akan mudah dicemari oleh rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, penting bagi setiap individu, terutamanya golongan muda, untuk memahami dan menghayati nilai integriti sebagai asas kepada pembentukan karakter yang baik dan bertanggungjawab.

Pendidikan berkaitan integriti di Malaysia

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berintegriti.

Di Malaysia, subjek berkaitan dengan nilai moral dan integriti telah diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan sejak awal lagi.

Subjek seperti Pendidikan Moral di sekolah menengah dan Pendidikan Sivik di sekolah rendah memberi penekanan terhadap pembinaan perwatakan dan penerapan nilai-nilai murni.

Contohnya, nilai nilai seperti jujur dan amanah sering diajar kepada pelajar-pelajar sekolah rendah.

Selain itu, subjek yang lebih khusus seperti Kursus Integriti dan Anti-Rasuah di peringkat institusi pengajian tinggi turut menekankan kepentingan moral dan integriti dalam kehidupan seharian dan bagaimana etika jika tidak dipraktikkan boleh membawa kepada pelbagai kesan buruk di masa depan seperti terjebak dengan amalan rasuah.

Namun begitu, pendidikan formal sahaja tidak mencukupi. Nilai integriti perlu diterapkan juga melalui pendidikan tidak formal, seperti melalui ajaran keluarga dan komuniti.

Pembentukan integriti bukan hanya berlaku dalam bilik darjah tetapi juga melalui contoh teladan yang diberikan oleh individu yang berada dalam persekitaran sosial dan profesional.

Keluarga, sebagai institusi pertama yang membentuk nilai dalam diri individu, harus memberi penekanan kepada kepentingan berintegriti dalam kehidupan seharian.

Ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing sebagai suri teladan bagi anak-anak mereka.

Masyarakat juga memainkan peranan mereka. Contohnya, kita boleh lihat masyarakat Melayu sangat menitikberatkan nilai-nilai yang baik yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada konsep integriti.

Akauntabiliti individu

Integriti bermula daripada sikap dan tanggungjawab seseorang terhadap sesuatu tindakan yang akan dilakukannya.

Individu yang mengangkat nilai integriti sebagai keutamaan tidak akan sesekali melibatkan diri dalam amalan yang tidak jujur dan beretika ini.

Aktiviti memberi rasuah, sogokan atau suapan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa hanya akan mencemarkan kredibiliti dan kewibawaan seseorang pada mata umum apatah lagi di sisi Islam sebagaimana hadis berikut:

Abdullah IbnuAmru RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Allah melaknat ke atas pemberi dan penerima rasuah. (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Seseorang yang sentiasa memelihara integriti berupaya membezakan perkara-perkara yang baik dan halal serta hal-hal sebaliknya atau haram.

Kesedaran sentiasa tertanam dalam dirinya bahawa impak yang akan diterima lebih besar dan kesan yang mendalam di sisi undang-undang dunia apatah lagi akhirat. Malahan, kesan ini tidak setimpal dengan perbuatan rasuah yang dilakukan.

Membina kepercayaan dan ketelusan

Nilai integriti menjadi asas dalam membina kepercayaan dan ketelusan antara individu, organisasi mahupun masyarakat.

Individu yang berintegriti akan mengekalkan tingkah laku dan tindakan mereka dalam apa jua situasi.

Fungsi sesuatu sistem boleh berjalan dengan lancar sekiranya setiap anggota organisasi atau sektor mengutamakan kejujuran dan keadilan tanpa terlibat dalam amalan rasuah.

Integriti menjadi benteng amalan ketidakjujuran daripada terus berleluasa dalam aktiviti rasuah.

Selain itu, integriti menggalakkan ketelusan sebagai kunci pencegahan amalan yang tidak sihat ini.

Sebagai contoh, apabila sesuatu keputusan atau sesuatu proses kewangan dibentangkan dengan jujur, jelas dan telus tanpa sebarang agenda yang disembunyikan, perjalanan sesebuah pengurusan akan lebih baik dan terancang.

Justeru, apabila kedua-dua ciri ini sukar diperkukuhkan, maka akan bermulalah kepincangan sesebuah organisasi atau perniagaan. Akhirnya nanti akan mengakibatkan banyak kerugian dan terjadinya muflis.

Sasaran untuk mencapai matlamat keuntungan atau laba dengan segera tidak akan berkekalan andai integriti gagal dijadikan tunjang dalam mengendalikan sesebuah pengurusan.

Peranan kerajaan dan agensi penguatkuasaan di Malaysia

Kita sedia maklum bahawa kerajaan Malaysia, melalui pelbagai agensi, telah mengambil pelbagai langkah untuk memerangi rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) contohnya, adalah antara badan utama yang bertanggungjawab dalam memerangi rasuah dengan menyiasat dan mendakwa individu yang terlibat dalam amalan rasuah.

Selain itu, Akta Anti Rasuah 1997 dan dasar-dasar seperti "Zero Tolerance Policy" terhadap rasuah turut diperkenalkan bagi memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Walaupun begitu, usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk sektor swasta, masyarakat dan individu itu sendiri.

Dalam hal ini, penanaman nilai integriti dalam kalangan rakyat Malaysia adalah amat penting. Tanpa sokongan daripada setiap individu untuk mematuhi prinsip etika dan moral, usaha pencegahan rasuah tidak akan berjaya.

Kerajaan mahupun agensi-agensi penguatkuasaan diharapkan terus kekal mempromosikan keadilan dalam apa jua isu yang ditangani.

Kepimpinan yang berintegriti seharusnya menjadi model positif dan menunjukkan komitmen untuk melakukan perkara yang betul mengikut landasan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan.

Pengukuhan nilai integriti dalam kalangan generasi muda di Malaysia

Generasi muda khususnya generasi baru yang dikenali sebagai ‘Gen Beta’ adalah aset penting negara yang akan mewarisi kepimpinan dan tanggungjawab negara pada masa hadapan.

Oleh itu, penanaman nilai integriti dalam kalangan pelajar dan mahasiswa perlu diberi perhatian yang serius. Pihak sekolah, universiti dan pihak berkuasa pendidikan perlu memperkenalkan lebih banyak program yang menggalakkan pembudayaan integriti dalam kalangan pelajar di sekolah.

Contohnya, aktiviti-aktiviti kempen anti-rasuah, forum-forum mengenai kepentingan integriti dalam profesion, serta penganjuran pertandingan atau seminar yang membincangkan isu-isu berkaitan integriti boleh membantu memperkukuhkan kesedaran mengenai nilai ini.

Selain itu, melalui penglibatan aktif dalam program-program kebajikan, sukarelawan, dan projek-projek komuniti di peringkat universiti atau kolej, generasi muda juga dapat belajar tentang pentingnya kejujuran, tanggungjawab sosial dan berintegriti.

Pendidikan yang komprehensif mengenai integriti boleh membentuk generasi yang lebih peka terhadap kepentingan moral dan etika dalam kehidupan mereka dan sedar akan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Secara kesimpulannya, nilai integriti memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah.

Dengan penekanan yang kuat terhadap pendidikan integriti, serta sokongan berterusan daripada kerajaan dan masyarakat serta institusi keluara, kita dapat mengatasi masalah rasuah yang selama ini menjadi penghalang kepada kemajuan negara.

Oleh itu, kita perlu tahu bahawa nilai integriti bukan sahaja membantu individu menjadi lebih beretika dan bertanggungjawab, tetapi juga memberi impak positif terhadap pembangunan sosial, ekonomi, dan politik negara secara holistik.

Justeru, dengan memperkukuh integriti dalam kalangan semua lapisan masyarakat, memastikan bahawa Malaysia terus maju ke arah sebuah negara yang adil, sejahtera, dan bebas daripada amalan rasuah dengan tahap integriti yang tinggi.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Al-Quran, Ar-Ra’d: 11)

-- BERNAMA

Dr Nazreena Mohammed Yasin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Hanisah Md Idris ialah Pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)