TINTA MINDA

ASEAN MESTI BERSATU, TEGAS TANGANI ISU IKLIM

22/09/2025 11:01 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nurul Latiffah Abd Rani dan Fairus Muhamad Darus

Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) yang berlangsung di Langkawi baru-baru ini telah melabuhkan tirainya dengan mesej penting iaitu ASEAN perlu bersatu dan lebih tegas dalam menangani isu perubahan iklim.

Mesyuarat ini menjadi medan perbincangan mendalam tentang cabaran serantau berkaitan perubahan iklim, pencemaran merentas sempadan, serta pemeliharaan biodiversiti.

Walaupun pelbagai resolusi telah dipersetujui, cabaran sebenar kini adalah memastikan setiap komitmen diterjemahkan ke dalam tindakan konkrit oleh negara anggota.

Isu Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di ASEAN

Rantau ASEAN tidak terkecuali dalam isu perubahan iklim global.

Episod bencana alam seperti banjir besar, kemarau panjang dan ribut tropika semakin kerap berlaku, malahan menjejaskan keselamatan makanan, kesihatan awam dan ekonomi.

Negara pesisir pantai seperti Vietnam, Thailand dan Filipina menghadapi risiko kenaikan paras laut yang boleh menenggelamkan kawasan penempatan.

Selain itu, polemik pencemaran merentas sempadan seperti jerebu akibat pembakaran terbuka dan pencemaran laut daripada plastik dan sisa industri masih kekal menjadi isu kritikal yang perlu ditangani secara bersama.

Tambahan pula kemusnahan biodiversiti akibat penebangan hutan dan pembangunan tidak lestari semakin membimbangkan.

Akibatnya, banyak habitat terhapus dan mengancam spesies terancam serta mengurangkan keupayaan bumi menyerap karbon.

ASEAN, sebagai salah satu rantau terkaya biodiversiti, berisiko kehilangan aset semula jadi yang menjadi warisan penting generasi akan datang.

Isu sebegini diperbincangkan secara berulang di dalam AMME disebabkan ketidakselarasan polisi antara negara anggota yang menyukarkan pelan tindakan bersama dilaksanakan.

Ada negara yang proaktif dalam dasar iklim dan alam sekitar, manakala ada yang masih bergantung penuh kepada sumber alam sekitar bagi menjana pembangunan ekonomi secara konservatif.

Mekanisme penguatkuasaan serantau yang lemah turut menyumbang pelaksanaan dasar tidak konsisten.

Cabaran anggota ASEAN

Pertama, perbezaan tahap ekonomi dan keutamaan pembangunan menyukarkan kesepakatan menyeluruh.

Negara maju seperti Singapura mempunyai kapasiti kewangan dan teknologi tinggi untuk dasar hijau, sementara Laos dan Myanmar masih bergelut dengan pembangunan asas.

Kedua, konflik antara kepentingan nasional dan komitmen kolektif menjadi penghalang.

Negara pengeluar arang batu atau minyak menghadapi dilema apabila diminta mengurangkan penggunaan tenaga fosil, kerana ia sumber ekonomi utama mereka.

Ketiga, kekangan kewangan dan teknologi menjejaskan pelaksanaan tenaga boleh baharu, sistem pemantauan iklim dan inovasi hijau.

Sokongan antarabangsa, termasuk daripada Dana Iklim Hijau (Green Climate Fund), amat diperlukan.

Selain itu, kelemahan penguatkuasaan serantau membuatkan resolusi sering tinggal di atas kertas.

Walaupun ASEAN menyokong Perjanjian Paris dan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal, tidak semua negara konsisten dalam pelaksanaan.

Akhirnya, kesedaran awam dan pendidikan alam sekitar yang berbeza antara negara turut membantutkan keberkesanan dasar.

Tanpa penglibatan rakyat, dasar kerajaan sukar mencapai matlamat.

Hala Tuju Selepas AMME-18

Walaupun AMME-18 telah tamat, ia meninggalkan amanah besar kepada negara anggota untuk memastikan janji tidak sekadar retorik.

ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam pendidikan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti, dan pembangunan tenaga boleh baharu.

Platform seperti AMME perlu berfungsi bukan sahaja sebagai ruang rundingan, tetapi juga medan pemantauan dan penilaian pencapaian.

Suara kolektif ASEAN di pentas global penting untuk menuntut tanggungjawab negara maju dalam menyokong kewangan, teknologi dan pemindahan kepakaran.

Tanpa sokongan ini, usaha rantau membangun untuk mencapai matlamat iklim global akan terbatas.

Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN

Malaysia yang kini memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang tahun ini berada pada kedudukan strategik untuk memacu agenda perubahan iklim serantau.

Dengan tempoh kepengerusian yang bakal berakhir hujung tahun, Malaysia sedang berada di fasa penting untuk memastikan inisiatif yang digerakkan mampu meninggalkan kesan berpanjangan kepada rantau ini.

Sebagai pemudah cara diplomasi iklim, Malaysia telah berperanan menggalakkan perbincangan lebih terbuka antara negara anggota tentang jurang kemampuan dan keutamaan.

Melalui pengalaman luas menangani isu jerebu serantau, Malaysia menekankan kepentingan mekanisme pemantauan bersama yang lebih berkesan bagi memastikan masalah pencemaran merentas sempadan dapat ditangani secara kolektif.

Selain itu, Malaysia turut mengangkat peranan sebagai peneraju teknologi hijau dan pendidikan alam sekitar di rantau ini.

Pelaburan dalam tenaga boleh baharu, mobiliti hijau serta penyelidikan biodiversiti telah diketengahkan sebagai model yang boleh dicontohi negara jiran.

Universiti, badan penyelidikan dan industri tempatan pula diperkenalkan sebagai rakan strategik untuk membina rangkaian inovasi serantau.

Di samping itu, Malaysia memanfaatkan kepengerusian ini untuk mengemukakan cadangan konkrit seperti penubuhan Mekanisme Pemantauan Iklim ASEAN, pengukuhan dana serantau bagi adaptasi iklim, serta peluasan kerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam aspek pembiayaan dan pemindahan teknologi.

Sekiranya inisiatif ini dapat diteruskan oleh kepengerusian seterusnya, ASEAN akan lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim dan mencapai sasaran global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Perjanjian Paris.

Dengan pendekatan tegas yang ditonjolkan sepanjang kepengerusian ini, Malaysia berpotensi meninggalkan legasi sebagai pencetus langkah lebih berani dalam menjadikan ASEAN rantau yang bersatu, inklusif dan berdaya tahan terhadap krisis iklim global.

Mesej AMME-18

AMME-18 telah berakhir dengan mesej jelas bahawa isu perubahan iklim di ASEAN memerlukan kesepakatan kolektif.

Namun, perjalanan selepas mesyuarat lebih penting daripada kenyataan bersama yang dikeluarkan.

Cabaran seperti jurang ekonomi, kepentingan nasional, kekangan kewangan, kelemahan penguatkuasaan dan tahap kesedaran rakyat mesti ditangani dengan serius.

Kepimpinan yang tegas, diplomasi yang berkesan, serta kerjasama serantau yang inklusif boleh menjadikan ASEAN contoh rantau membangun yang bersatu dalam menghadapi krisis iklim global.

Seruan “ASEAN mesti bersatu, tegas isu iklim” kini perlu diterjemahkan menjadi tindakan nyata.

-- BERNAMA

Dr Nurul Latiffah Abd Rani dan Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)