TINTA MINDA

WUJUDNYA ‘LOMPANG’ DALAM PEMERKASAAN PATRIOTISME BELIA DI MALAYSIA

18/09/2025 10:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Nur Aishah Zainal

Penyebaran maklumat kenegaraan menerusi media baharu adalah elemen penting bagi Malaysia untuk memperkasakan lagi semangat patriotisme dalam kalangan belia. Pelbagai strategi yang berkaitan dengan bidang ini amat penting untuk dilaksanakan dan diterokai dengan lebih mendalam bagi memantapkan semangat patriotisme belia ke arah yang lebih baik.

Bagi memperkasakan semangat patriotisme belia, lompang yang wujud perlu dikaji semula untuk melihat sejauh mana golongan ini begitu patriotik terhadap negara. Jika dilihat saban tahun Hari Malaysia yang disambut pada 16 September tidak sehebat dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

Hari Malaysia kelihatan agak sendu berbanding dengan Hari Kemerdekaan yang meriah dengan pemasangan jalur gemilang dan perarakan badan beruniform. Di mana silapnya kita sebagai rakyat Malaysia yang semestinya perlu meraikan kedua-dua sambutan ini, namun salah satu hari penting negara tidak begitu menyerlah dan berlalu begitu sahaja tanpa diraikan penuh kemeriahan?

Nilai patriotism rakyat masih longgar dan rendah

Situasi yang berlaku masa kini juga menggambarkan nilai patriotisme rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan belia masih longgar dan rendah serta memerlukan kajian secara terperinci dan menyeluruh bagi menentukan bagaimanakah tahap sebenar golongan ini. Kenyataan ini turut disokong oleh Hussein dan Haneza (2015) yang menyatakan bahawa semangat patriotisme generasi muda masih lagi berada pada tahap yang rendah dan memerlukan inisiatif lain seperti penekanan secara menyeluruh dan komprehensif terhadap matlamat patriotisme negara.

Melalui penekanan secara holistik dan mendalam yang dilakukan melalui bidang ini secara tidak langsung akan membantu negara bagi mencapai semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyatnya. Kajian berkaitan dengan indeks patriotisme yang dilaksanakan oleh pihak Biro Tatanegara (BTN) pada tahun 2014 di mana ianya melibatkan seramai 1,200 orang responden dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) memperlihatkan bahawa nilai patriotisme yang rendah dalam kalangan belia.

Hasil kajian yang dijalankan mendapati bahawa tahap Indeks Patriotisme Negara ini dalam kalangan penuntut IPTA/IPTS berada pada skor rendah iaitu pada purata 3.8. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa indeks patriotisme dalam kalangan golongan belia sememangnya berada pada tahap yang rendah. Secara tidak langsung, dapatan ini dapat memberikan satu gambaran awal bahawa generasi muda masa kini memiliki tahap patriotisme yang rendah serta ianya perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Pemerkasaan semangat patriotisme belia boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah. Antaranya kajian berkaitan dengan semangat patriotisme belia ini perlu dilakukan secara empirikal kerana tiada bukti yang saintifik mahupun bersifat statistik. Walaupun terdapat kajian terdahulu yang menyatakan bahawa tahap semangat patriotisme masih rendah dan longgar dalam kalangan belia di negara ini, namun begitu ianya agak sukar untuk menentukan bagaimana bukti kesahihannya terhadap tahap patriotisme belia secara saintifik serta ilmiah.

Oleh itu, kajian dan penelitian dalam bidang ini perlu dilakukan untuk melakukan penerokaan dengan lebih mendalam lagi bagi merungkai isu yang berkaitan secara empirikal.

Kurang pengetahuan dan ilmu berkenaan patriotisme

Kekurangan pengetahuan mengenai ilmu patriotisme juga menjadi permasalahan yang harus diterokai mengenalpasti lompang dalam isu ini. Dalam hal ini, penguasaan terhadap sesuatu pengetahuan mahupun maklumat adalah sangat penting dan berguna kepada diri seseorang individu.

Penguasaan terhadap ilmu pengetahuan perlu dilakukan berterusan bagi mengelakkan kecetekan ilmu pengetahuan dalam diri sendiri. Noraini (2020) menyatakan bahawa pendedahan maklumat kenegaraan kepada generasi muda amat penting bagi menghayati dan memberi pendedahan terhadap maklumat yang disampaikan.

Menurutnya juga, sebagai contoh pemahaman konsep Rukun Negara mendapati bahawa sebanyak 88 peratus yang memahaminya tetapi tidak diiringi dengan penghayatan dan amalan dalam kehidupan. Ini adalah berkemungkinan dipengaruhi oleh kesan kepada kekurangan pengetahuan terhadap aspek sedemikian. Berdasarkan kepada kekurangan pengetahuan terhadap maklumat kenegaraan, maka hal ini telah menyebabkan berlakunya kesulitan untuk memupuk pemahaman yang mendalam, pembentukan tingkah laku serta pembinaan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

Peranan media baharu

Peranan media baharu haruslah dinilai semula bagi memberikan satu proses pembelajaran seperti kefahaman, pendidikan, penyuburan dan penghayatan terhadap maklumat kenegaraan yang dipaparkan sehingga menimbulkan semangat patriotisme dalam kalangan belia. Ini adalah disebabkan golongan belia masa kini kurang memberikan fokus terhadap maklumat kenegaraan dan mereka dilihat tiada kecenderungan atau minat yang mendalam terhadap penyampaian maklumat kenegaraan di media baharu.

Penggunaan media baharu seperti media sosial dilihat amat penting bagi membantu untuk meningkatkan proses pembelajaran seseorang individu seperti golongan belia agar peka terhadap maklumat yang disampaikan. Hal ini adalah kerana ciri-ciri yang dimiliki oleh media sosial di mana amat pantas, cepat dan mudah memberi impak keberkesanan penyampaian maklumat kenegaraan yang disampaikan dengan lebih efisyen kepada golongan belia.

Maklumat kenegaraan

Selain itu, maklumat kenegaraan yang dipaparkan di media baharu turut mengalami kesukaran dalam pembinaan proses pemahaman, penghayatan dan pembelajaran belia menerusi mesej yang disampaikan. Sesetengah mesej yang disampaikan seperti selain kurang jelas, teks yang panjang dan tidak interaktif menimbulkan kekeliruan serta kebosanan untuk golongan belia yang membacanya.

Sesetengah maklumat yang disampaikan melalui atas talian masih boleh dipertikaikan memandangkan artikel atau maklumat yang panjang hanya dibaca tajuk sahaja. Ini ditambah lagi, perbezaan perspektif dan sikap setiap individu adalah berbeza dan menunjukkan bahawa pemikiran belia tidak cukup matang serta mengalami kesulitan dalam menafsir maksud mesej yang diterima menerusi media baharu.

Akibatnya, golongan belia menjadi kurang minat terhadap maklumat kenegaraan, mudah mempercayai maklumat yang palsu dan kurang memahami sesuatu mesej yang disampaikan terutamanya yang berkaitan dengan maklumat kenegaraan. Dari sudut yang berbeza, terdapat kandungan maklumat kenegaraan yang disampaikan menerusi media baharu berbentuk teks atau artikel. Dalam erti kata lain, bentuk maklumat seumpama ini menyukarkan golongan belia untuk lebih memahami mesej yang hendak disampaikan.

Ini menjadikan penyampaian maklumat kenegaraan kepada golongan belia menjadi kurang berkesan. Gaya pembelajaran seseorang dalam memproses maklumat juga adalah berbeza. Justeru itu, maklumat yang menyukarkan dan tidak bersesuaian dengan proses pembelajaran belia akan menyebabkannya sukar untuk memahami dan menerima mesej yang hendak disampaikan. Impaknya, golongan belia akan menjadi bosan dan kurang menumpukan perhatian terhadap maklumat kenegaraan yang hendak disampaikan. Tambahan lagi, golongan belia masa kini dilihat lebih cenderung kepada maklumat yang lebih ringkas dan mudah difahami.

Kandungan maklumat yang terlalu panjang khususnya berbentuk teks kurang mendapat tempat di hati belia. Kandungan maklumat yang ringkas dan berbentuk infografik lebih memudahkan pemahaman belia. Hal ini adalah berdasarkan kepada faktor penyampaian dan penerimaan mesej yang semakin meluas menerusi pelbagai medium media baharu seperti blog, laman sesawang dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya juga mempengaruhi kecenderungan belia untuk memilih maklumat yang ringkas untuk bahan bacaan.

Ambil serius semangat patriotisme yang semakin longgar

Semangat patriotisme kelihatan agak longgar dalam kalangan generasi muda masa kini perlu dipandang serius dan haruslah mempunyai pelbagai pendekatan yang mampan untuk menyemarakkan lagi nilai patriotisme dalam kalangan belia. Bagi mewujudkan persekitaran yang patriotik, kegiatan atau program melalui media baharu yang hendak dilaksanakan kepada golongan belia di jabatan kerajaan mahupun swasta juga mestilah berinovasi dan mampu menarik minat golongan muda. Bagi tujuan ini, kajian dan penilaian terperinci kepada setiap program yang dilaksanakan mestilah dilakukan agar apa yang dilakukan kerajaan dapat memenuhi kehendak generasi muda masa kini.

Pihak yang terlibat iaitu organisasi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mestilah memanfaatkan penggunaan media baharu dalam setiap aspek terutamanya dalam menyemai nilai-nilai positif berkaitan dengan semangat patriotisme dalam kalangan golongan belia. Pembaharuan dan kepantasan dalam penyampaian maklumat dan pengubahsuaian corak media baharu ini berupaya membawa pengaruh yang sangat besar kepada pemerkasaan semangat patriotisme belia di negara ini.

--BERNAMA

Dr Nur Aishah binti Zainal ialah Pegawai Penerangan Unit Komunikasi Korporat (UKK), Kolej Komunikasi Jasin (KKJS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)