Sejarah bukanlah sekadar senarai tarikh dan peristiwa, tetapi ia adalah ilmu tentang negara dan masyarakat. Ia adalah tiang seri tamadun, yang menegakkan keperibadian bangsa, membentuk nilai dan memberi arah untuk masa hadapan.
Lontaran ini ditegaskan PMX dalam sebuah Majlis Peluncuran Dan Penyampaian Watikah kepada Majlis Sejarawan Negara (MSjN) pada 8 September 2025 lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Beberapa pandangan awal PMX wajar dilihat dan diambil perhatian.
Menggugat kerangka Barat
Edward Said, seorang pemikir Palestin, pernah menegaskan bahawa “Orientalism is never far from what Denys Hay has called the idea of Europe: a collective notion identifying ‘us’ Europeans against all ‘those’ non-Europeans.” Kolonial yang sering membentuk pandangan kita tentang diri kita sendiri.
Dalam hal inilah pentingnya pembangunan jati diri bangsa dan negara. Ia merupakan identiti, nilai, prinsip serta pegangan hidup yang mencirikan seseorang individu atau bangsa.
Terbentuk daripada latar agama, budaya, sejarah, bahasa dan adat resam yang kukuh. Tanpa jati diri, kita mudah hilang arah, terikut-ikut dengan arus luar dan longgar prinsip.
Postkolonial: Merdeka atau terpukau?
Walaupun telah merdeka, kita dilihat masih ada kecenderungan untuk terpukau dengan model pembangunan Barat. Membandingkan pencapaian fizikal dan kemajuan teknologi secara selari tanpa menilai kesesuaian dengan akal budi masyarakat.
Soalan besar yang ditinggalkan PMX untuk kita fikirkan ialah bagaimana kita mampu melihat titik pertemuan modeniti itu di mana?
Modeniti merujuk kepada keadaan, ciri atau sifat menjadi modern (moden). Ia bukan sekadar kemajuan teknologi semata-mata, tetapi juga merangkumi cara berfikir, sistem nilai dan struktur masyarakat. Persoalan ini penting kerana kemodenan tidak boleh diterima secara membuta tuli. Moderniti haruslah berteraskan nilai budaya dan pengalaman sejarah sendiri.
Sejarah sebagai tiang seri tamadun
Soekarno dalam pidato kemerdekaan ke 21 Indonesia pernah berkata “Jangan Sekali-kali Meninggalkan Sejarah (JASMERAH)”. Ia sekali gus menyampaikan bahawa sejarah sebagai guru bangsa dan bangsa yang lupa sejarah akan hilang arah dan mudah dijajah semula.
Manakala mendiang sejarawan tersohor negara Profesor Emeritus Khoo Kay Kim pernah menegaskan “Sejarah adalah nyawa sesebuah bangsa. Tanpa sejarah, bangsa itu akan hanyut.”
Jika sejarah hanya dilihat sebagai bahan hafalan di bilik darjah maka ianya tidak diminati dan mati.
Tetapi jika sejarah difahami sebagai refleksi maka ia menjadi panduan. Misalnya sejarah tentang kejatuhan Melaka, bukan hanya kisah tentang penjajahan Portugis.
Tetapi pengajaran tentang bagaimana kelemahan kepimpinan, perpecahan dalaman dan kerakusan boleh membawa kepada keruntuhan sebuah kuasa besar.
Menggali sumber, menafsir nilai
PMX menyarankan sejarah boleh digali daripada pelbagai sumber - bukan sahaja manuskrip rasmi, tetapi juga novel, hikayat, catatan peribadi, malah cerita rakyat. Namun mengingatkan yang lebih penting ialah konteks dan penafsirannya. Sejarah bukan sekadar fakta tetapi makna.
Fakta hanya menceritakan apa yang berlaku. Makna menjelaskan mengapa ia berlaku dan apa pengajarannya.
Misalnya, membaca Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang bukan hanya untuk mengetahui salasilah raja-raja Melayu, tetapi untuk memahami sistem nilai, adat serta kepercayaan yang membentuk masyarakat pada zamannya.
Dalam hal ini beberapa tokoh klasik seperti Tun Sri Lanang dan Munshi Abdullah yang tulisannya mungkin perlu ditafsir semula.
Selama ini, tokoh-tokoh ini sering dibaca melalui lensa kolonial. Munshi Abdullah, misalnya, sering digambarkan sebagai sekadar “pegawai” yang membantu British. Tetapi pandangan yang lebih mendalam menunjukkan beliau sebagai pelopor pemikiran moden yang kritis terhadap masyarakatnya.
Begitu juga Tun Sri Lanang, yang karya beliau bukan hanya catatan istana, tetapi juga cerminan bagaimana masyarakat Melayu memandang kuasa, adat dan legitimasi politik.
Sejarah kezaliman jangan diulang
Bagaimana sejarah boleh dilihat dalam konteks kezaliman dan kerakusan agar ia memberi pengajaran dan tidak diulang? Soalan ini sangat relevan. Sejarah penuh dengan kisah penguasa yang lalai, tamak dan zalim.
Dari kejatuhan kerajaan-kerajaan Melayu, kejatuhan khalifah Islam hinggalah kepada kejatuhan tamadun dunia lainnya.
George Santayana, seorang ahli falsafah menulis: “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.” Jika sejarah dibaca secara jujur, ia menjadi amaran agar kesilapan tidak diulang.
Menggapai bintang, mengakar ke bumi
Analogi tentang “menggapai bintang di langit tetapi mengakar ke bumi” amat puitis dan sarat makna.
Ia membawa mesej keseimbangan. Bangsa ini perlu berani mendepani teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan dunia digital.
Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh tercabut daripada akar nilai, akhlak dan sejarah sendiri. Inilah cabaran Malaysia MADANI bagi membina negara yang maju secara teknologi tetapi tetap berakar pada nilai kemanusiaan dan jati diri bangsa.
Sejarah untuk semua
Sejarah tidak boleh dimonopoli oleh elit akademik atau sejarawan sahaja. Ia mesti dituturkan dalam bahasa yang difahami orang awam, diceritakan semula dengan penuh penghayatan dan dijadikan inspirasi.
Sejarawan Ibn Khaldun, yang dalam karya agungnya Muqaddimah menulis: “Sejarah itu ibarat berita tentang masyarakat, ia mengandungi sebab-sebab yang jelas, dan memberi penjelasan tentang bagaimana keadaan manusia berubah dari satu masa ke satu masa.”
Majlis Sejarawan Negara : Keputusan yang tepat pada masa yang tepat
Penubuhan Majlis Sejarawan Negara (MSjN) adalah langkah strategik dan tepat pada waktunya. Ia membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan sejarah sebagai wahana pembinaan negara bangsa.
MSjN berperanan besar dalam menyelaras agenda sejarah selaras dengan hasrat negara.
Pada masa yang sama, ia mendukung Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang mengangkat warisan budaya sebagai asas pembangunan dan Dasar Perpaduan Negara yang menjadikan sejarah sebagai jambatan penyatuan masyarakat majmuk.
Ia satu usaha memastikan bahawa sejarah bukan hanya tinggal dalam buku, tetapi hidup dalam jiwa rakyat-sebagai inspirasi, panduan dan sumber kekuatan bangsa.
Kesimpulannya, bangsa yang melupakan sejarahnya adalah bangsa yang sedang menggali liang kuburnya sendiri.
Ia cermin jati diri memantulkan wajah sebenar kita. Naratif kejayaannya harus dibanggakan, kegagalannya mesti diinsafi dan tinggalan nilainya wajib dipertahankan.
Sejarah mengajar bahawa tamadun runtuh bukan kerana musuh di luar, tetapi kerana kelalaian, perpecahan, dan kehilangan akhlak di dalam.
MSjN harus menghantar mesej bahawa sejarah bukan hiasan muzium, tetapi panduan hidup.
Ia mesti diangkat sebagai tiang seri tamadun, mengukuhkan bangsa dengan nilai, menyatukan masyarakat berbilang kaum dalam membina Malaysia MADANI yang benar-benar berakar kepada tradisi serta teguh melangkah ke masa depan.
-- BERNAMA
Dr Lutfan Jaes ialah Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).