PENA WANITA

UDARA BERSIH: HAK ASASI UNTUK KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

01/10/2025 10:26 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Juliana Jalaludin

Udara bersih bukan sekadar keperluan asas, tetapi hak asasi manusia yang kritikal untuk kesihatan dan kesejahteraan.

Namun, Hampir seluruh populasi dunia, iaitu lebih 99 peratus, menghirup udara yang melebihi piawaian kualiti udara yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Pencemaran udara kini menjadi ancaman kesihatan awam seluruh dunia dengan WHO menganggarkan lebih 7 juta kematian pramatang setiap tahun.

Pencemaran Udara Jejas Semua Organ Tubuh

Bukti saintifik terkini menunjukkan pencemaran udara bukan sekadar menjejaskan sistem pernafasan, malah memberi kesan kepada hampir semua organ tubuh manusia.

Partikel halus seperti PM2.5 boleh memasuki aliran darah, menyebabkan keradangan kronik dan meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes, kanser paru-paru serta penyakit neurodegeneratif.

Malah, kajian neuroepidemiologi terkini membuktikan partikel ini mampu menembusi sawar darah-otak dan memberi kesan kepada kesihatan mental, termasuk keresahan, kemurungan, dan penurunan fungsi kognitif.

Di Malaysia, fenomena jerebu, pencemaran trafik, serta pelepasan industri memberi implikasi kepada sistem kesihatan awam.

Data dan kajian terkini menunjukkan peningkatan kes asma dan penyakit respiratori selari dengan episod jerebu.

Penyelidikan tempatan terkini oleh universiti awam turut membuktikan pendedahan pencemar trafik, dan pencemar udara dalaman seperti bioaerosol di sekolah serta taska boleh menjejaskan sistem imun dan perkembangan kanak-kanak, sekali gus memberi kesan langsung kepada generasi muda negara.

Sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 26 September bertema “Clean Air, Healthy People”, tema yang dipersetujui di bawah IFEH iaitu Pertubuhan yang menaungi pengamal kesihatan persekitaran di seluruh dunia.

Malaysia perlu menjadikan sambutan ini sebagai pemangkin untuk memperkukuh pelaksanaan dasar dan polisi dikalangan komuniti, akademia dan industri baik di peringkat nasional mahupun antarbangsa, yang telah dirangka dan dimanfaatkan bagi menyelaras data saintifik serta panduan dasar.

Udara yang sihat kini diiktiraf sebagai isu kesihatan global yang penting.

Malaysia sedang memperkukuh agenda pengurusan alam sekitar melalui Pelan Tindakan Udara Bersih (CAAP) menjelang 2025, di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pelan ini menekankan kawalan lebih ketat terhadap pencemaran udara, pembakaran terbuka dan pelepasan industri, di samping menggalakkan pengangkutan hijau, tenaga boleh diperbaharui , serta pemantauan udara menggunakan teknologi terkini.

Selain itu, terdapat inisiatif seperti Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Kebangsaan (NEHAP) bagi melindungi komuniti dari risiko alam sekitar, serta Garis Panduan Pengurusan IEQ (Indoor Environmental Quality).

NEHAP yang baru dibangunkan pula menjamin kualiti udara dalaman, kesihatan dan kesejahteraan di sekolah, taska, serta melalui Industry Code of Practice (ICOP) oleh DOSH untuk memastikan pekerja dan penghuni di bangunan komersial berpenghawa dingin dan berpengudaraan mekanikal dilindungi daripada pendedahan pencemar.

Langkah ini bukan sahaja memastikan kualiti udara yang sihat, tetapi juga mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dengan menggalakkan pengurusan tenaga yang cekap di bangunan komersial, sekolah, dan institusi.

Pada peringkat antarabangsa, usaha ini diperkukuh dengan ’Global Healthy Indoor Air Pledge ’yang akan dilancarkan pada 23 September 2025 sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York mengiktiraf udara dalaman sihat sebagai hak asasi manusia sejagat.

Malaysia turut memainkan peranan penting melalui penglibatan NGO dan akademia, melalui GO AQS, MAEH,(Malaysian Environmental Health Association) serta universiti yang menyokong seruan global ini di pentas antarabangsa.

Malaysia perlu menangani isu kualiti udara dalaman dan luaran secara menyeluruh, bukan sahaja untuk melindungi kesihatan rakyat, tetapi juga untuk menjamin produktiviti dan kesejahteraan generasi akan datang.

Dengan kerjasama kerajaan, industri, komuniti, dan individu, agar setiap helaan nafas selamat dan menyihatkan serta membawa kesihatan, kehidupan yang lebih sejahtera, serta menjamin masa depan yang lestari

-- BERNAMA

Prof Juliana Jalaludin ialah Ketua Projek Kualiti Udara & Impak Kesihatan, UPM dan Pakar Kesihatan Persekitaran, NEHAP, MOH.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)